Penulis : Rehan Makhtar
Negara : Malaysia
Bahasa : Melayu
Genre : Malay Fiction
Penerbit : Blogijau Enterprise
Bilangan Mukasurat : 422
Tarikh Terbitan : Mac 2023
ISBN : 978-967-14261-3-5
Rating : ★★★★★
الحَمْد لله dengan izinNYA, aku masih diberi kesempatan lagi untuk membaca karya ke 20 penulis hebat ini selepas Jiwa, Sugar? Yes Please, Hurt, Checkmate, Luruh, Hati Yang Kau Pinjamkan,The Reason, Rapuh, Objection, Tulus, Anak Perempuan Dato' Pengarah, Dengarlah Jeritan Hatiku, Noktah, Dingin, Dia Untuk Aku, Takdir Untuk Aku, Seseorang Untuk Aku, Dia...Cinta Yang Kucari dan Tiba-tiba, Dia Ada.
Kisah Benjamin dan Sufi ini menyedarkan aku tentang qada' dan qadar Tuhan. Mereka bertemu dan dianugerahkan oleh ALLAH rasa kasih dan sayang dalam keadaan yang tidak mereka sangka. Setiap rasa kasih dan cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu pasti akan diuji sama ada kita bersedia atau tidak. Hanya kasih sayang yang berpaksikan iman yang kuat mampu menghadapi segala dugaan yang datang.
Tiada siapa pun yang boleh menerima dan jatuh kasih kepada orang yang pernah menyakiti dan hampir membunuh kita. Namun, ini yang terjadi kepada Sufi ketika berusia 16 tahun dalam kejadian samun dan ditikam oleh seorang remaja lelaki hingga kehilangan buah pinggang. Setelah sedekad berlaku, mereka bertemu kembali di tempat kerja yang sama tanpa Sufi mengetahui Benjamin adalah pemuda yang ingin ditemui kembali dan adalah penderma buah pinggangnya.
Islam menyeru umatnya untuk menjauhi sifat dendam dan mengamalkan sikap saling memaafkan. Sifat dendam akan menjadikan jiwa seseorang itu keras dan kotor. Benci dan dendam hanya akan buat kita menyesal di kemudian hari, kerana kita tidak tahu bilakah penghujung hidup kita di dunia ini.
Benar, dendam tidak akan buat kita rasa bahagia dan tenang. Malah, dendam akan buat jiwa kita semakin keras, mati dan boleh memusnahkan diri sendiri. Kemaafan adalah dendam yang terbaik dan terindah. Tiada manusia di dunia ini yang tidak buat kesalahan dan kesilapan.
Memang bukan mudah untuk memaafkan seseorang dan melupakan sesuatu yang pahit untuk dikenang. Dalam Al Quran disebut banyak kali supaya memaafkan orang lain kerana ia adalah sifat yang terpuji dan mulia. Jadi, cuba dan cuba untuk memaafkan kerana apabila kita maafkan orang lain, insya Allah akan dikurniakan ketenangan kepada kita dan moga kita termasuk dalam kalangan orang yang paling mulia disisiNYA.
Firman
Allah SWT yang bermaksud "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu
padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu
padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui
(semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. "~ Surah Al Baqarah
ayat 216.
