Tiba-Tiba, Dia Ada

 



Penulis  : Rehan Makhtar
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit : Penulisan2u
Bilangan Mukasurat : 647
Tarikh Terbitan : January 2014
ISBN : 978-967-0567-21-1
Rating : ★★






Ulasan :

Pertama kali 'membedah siasat' karya penulis ini setelah terlihat tajuk yang agak simbolik ini di perkongsian geng goodreads. Ia seakan menggamit hatiku untuk menyelongkar karya penulis yang baharu sahaja aku kenali ini.


Karya mengisahkan tentang Aryana Mukhlis (Arya) yang berusia 29 tahun, telah diminta menerima pinangan mengejut atas perancangan keluarga kedua-dua belah pihak yang bersahabat baik setelah berlaku satu kisah yang tidak diketahui oleh Arya. Walaupun pada mulanya Arya berat hati untuk menerima Zakhri Adha (Ayie) kerana perbezaan usia yang 7 tahun lebih muda dari Arya dan masih lagi belajar di Universiti di Berlin. Namun Arya akhirnya menerima pinangan tersebut dan akur dengan pilihan harapan mama dan papanya malah menganggap ia adalah jodoh yang telah ditakdirkan untuknya. Tetapi sehari selepas mereka bernikah, alangkah terkejutnya Arya setelah terdengar perbualan Ayie sekeluarga tentang 'kisah Gay Ayie' sehingga terjadinya perancangan menyatukan mereka berdua.

Namun Arya pasrah dan bertekad untuk membantu dan percayakan Ayie dan akan bersama-sama di samping Ayie untuk mencari kebenaran kisah itu. Setelah berada di Berlin, baharulah Arya mengetahui kisah sebenar Ayie dan mula mengenal cinta Ayie. Walaupun Ayie lebih muda dari Arya tetapi Ayie sebenarnya lebih matang, bertanggungjawab dan sentiasa mengajarnya erti cinta sebenar dalam melayari bahtera rumah tangga yang masih hijau itu. Namun di saat kebahagiaan baru menjelma, Arya terpaksa meninggalkan Ayie untuk membantu projek papanya yang menghadapi masalah. Kemudian, muncul pula fitnah tentang Ayie dan Ayie terlibat dalam kemalangan kereta dan hilang ingatan kerana mengalami sindrom prosopagnosia. Ujian dan dugaan ini terpaksa diharungi oleh Arya  demi meraih semula cinta dan kasih seorang suami yang telah diciptakan untuknya. Mampukah Arya mengharunginya ? Kalau nak tahu bagaimana kesudahan cerita ini, mesti dapatkan buku ini ye....    



Seandai dirinya tercipta untukku, relaku menjadi miliknya.

Perjalanan hidup tak seperti yang direncana. Ada masa perkara tak diduga mencelah. Ohmai... Pening. Ini kehendak mama dan papa yang kononnya bukan paksaan tapi harapan. Aryana rela untuk menjadi milik Zakhri Adha yang lebih muda daripadanya. Tiba-tiba dia dipinang, ditunangkan, dinikahkan lalu tiba-tiba suami segera ada di sisi.

“Bukan apa. Kot-kotlah Arya rasa kita ni tipikal kahwin paksa. Lagipun mesti Arya terkejut lagi. Yalah, tiba-tiba aje saya ada, kan?” – Ayie

“Kita bukan kahwin paksa pun. Tak mainlah tipikal kahwin paksa, okey. You’re my husband. Islam ajar, di mana tempatnya seorang isteri kalau tak di sisi suami?” - Arya

Aryana mencuba sedaya upaya menjadi isteri Ayie yang matang, tak padan dengan usianya. Ayie yang selalu mengusik, menyakat dan menzahirkan sayang dengan cara yang tersendiri.

“Such a sweet talker...” - Arya

“Told ya... I was born with it...” – Ayie

Tapi, tipu kalau dia tak rasa curiga. Ada ‘bau-bau hanyir’ dengan pernikahan tiba-tiba ini. Puncanya ada di bumi Berlin sana. Lalu mereka terbang ke Deutschland mencari jawapan tentang segalanya. Hinggalah dugaan hebat menyapa, tanpa sapaan dan salam. Menguji kesabaran Aryana sebagai isteri dan kematangan Zakhri Adha sebagai suami.

“So, Ayie cam tak siapa depan Ayie ni?” - Arya

“Yes, ini Aryana. Isteri Ayie. Haruman yang sama, gaya lenggang yang sama dan debar hati Ayie ni sama bila dia ni ada dekat...” - Ayie

Mereka tahu keindahan cinta berpaksikan ijab dan kabul ini tak akan terlepas daripada dicemari fitnah dunia. Dan mereka juga tahu dugaan itu bukan untuk dielak tapi ditewaskan. Adakah mereka berjaya menghadapinya?




...inilah lagu Bisikan Nurani - In-Team yang diperdengarkan oleh Ayie kepada Mummy to-be Arya ...





Pendapat peribadi aku, karya penulis ini boleh dikatakan hampir kepada genre romantik komedi dan memang tidak mengecewakan aku. Tema dan plot ceritanya berkaitan cinta perbezaan usia yang hadir selepas nikah. Gaya penulisan bahasanya bersahaja dan menghiburkan. Walaupun terdapat beberapa kesilapan perkataan dan ayat dalam karya ini, namun aku kira masih boleh diterima dan diperbaiki dan harap penulis akan lebih berhati-hati dalam karya di masa akan datang. Watak-watak utama dalam karya ini berjaya mencuit hati aku. Walau bagaimanapun, aku memang jatuh hati dengan watak romantik 'Ayie' yang mempunyai auranya yang tersendiri dan tahniah kepada penulis kerana berjaya menghidupkan watak-watak penting dalam cerita ini secara keseluruhannya dan memeriahkan suasana cerita ini melalui dialog 'sempoi' dan dialog/monolog aksi nakal dan bersahaja. 

Terima kasih kerana berkongsi dan berjaya menghasilkan karya yang bukan sahaja mencuit hati malah menyedarkan dan mengajak pembaca untuk sama-sama merenung, menerima dan yakin jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita adalah yang terbaik, terindah dan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Terima dan kasih pasangan kita kerana Allah dan terima kekurangan dan kekhilafan pasangan sebagai satu kesempurnaan dalam melayari alam rumahtangga. Perbezaan usia pasangan suami isteri itu bukanlah satu penghalang yang besar dalam melaksanakan amanah Allah melayari bahtera perkahwinan. Hormati suami walaupun suami lebih muda dari isteri dan sentiasa meletakkan hak dan tempat suami itu di kedudukan yang paling tinggi selepas Allah. Semoga dipermudahkan dan Allah akan pandu kita melayarkan bahtera rumah tangga ini hingga ke syurga-Nya, insya-Allah.

 

"...Gott sei Dank, ich habe sie..."
"...Thank you Allah, I have you..."



kalau ingin tahu lebih lanjut karya penulis boleh klik link ini ye ... 


 

No comments:

Post a Comment