Zahrah de Tigris





Penulis   :  Khairyn Othman        
Negara   :  Malaysia        
Bahasa   :  Melayu        
Genre     :  Adventure - Spiritual 
Penerbit  : Jemari Seni Sdn Bhd     
Bilangan Mukasurat :      
Tarikh Terbitan :  October 2007  
ISBN :  978-983-43217-7-2
Rating :   





 
Ulasan : 

Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan dan peluang untuk bernafas di bumi ALLAH ini. Ini buku ketiga selepas Dame Zoete Sarah, Nuansa Kota Merah. Sebenarnya aku patut baca buku ni dulu sebelum baca Dame Zoete Sarah sebab watak utama Nisa wujud dahulu dalam cerita ini. Tetapi biasalah kan aku ni selalu tonggang terbalik. Tak kira yang mana satu awal dan akhir bila hati dah suka he he he.

Permulaan kisah kehidupan seharian Nisa di Baghdad, Iraq sebagai sukarelawan di hospital dan guru, membuatkan aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Nisa sehinggakan dia berani mencampakkan dirinya di negara yang tengah berperang ini. Penulis berjaya mengolah perjalanan cerita melalui teknik flashback dan berjaya menyampaikan mesej melalui monolog pergolakan dan tekanan perasaan yang dialami oleh Nisa dengan begitu berkesan sekali. 

Penulis banyak berkongsi rasa dan pengalaman melalui blognya. Penulis menceritakan bagaimana permulaan perjalanannya ke Baghdad sehinggalah pengalaman berada di negara yang sedang bergolak dan berperang itu. Suatu pengalaman yang sungguh dahsyat dan tidak dapat digambarkan. Aku rasa tidak ramai yang sanggup mengambil risiko seperti Nisa ini untuk merasai pengalaman yang sedemikian. Membaca karya ini bukan sahaja buat aku rasa seolah-olah sedang berada di Baghdad dan mendengar sendiri bunyi bom dan tembakan M16, melihat kesengsaraan rakyat tempatan terutamanya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa yang cedera, mayat yang bergelimpangan mereput merata-rata di sepanjang jalan, bekalan makanan dan minuman tak cukup, tiada bekalan elektrik, keadaan dalam negara yang huru hara dan tidak selamat akibat perbalahan puak. Malah ia meninggalkan pelbagai rasa dihatiku ini seperti kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang mengerti bagaimana keperitan dan kepayahan meneruskan kehidupan di dalam negara yang sedang dijajah oleh tentera bersekutu Amerika ini. 
  

Aku jadi emosi dan teruja nak tahu kesudahan watak Nisa dan Dr Patrick. Banyak ilmu yang dapat aku pelajari melalui karya hebat ini. Aku juga dapat mengetahui tentang pemerintahan pemimpin kuku besi Saddam Husin yang sebenar, tempat-tempat menarik di Baghdad dan bandar-bandar sekitar Iraq dan Jordan. Semoga aku dapat pergi ke sana, tempat bermulanya tamadun Islam ini suatu hari nanti insya Allah.

Sejujurnya cerita ini buat aku jadi sedih dan pilu dengan saudara-saudara Islamku yang menjadi mangsa kekejaman dan kerakusan peperangan di bumi Iraq suatu masa dahulu. Bacalah, kisah ini penuh dengan kisah kemanusiaan, kisah penderitaan dan perjuangan yang dahsyat di bumi Baghdad, Iraq. Kisah ini patut diteladani dan bersama ambil peduli. Bersatulah saudara Islamku membantu saudara di negara Islam yang lain.






Sinopsis



 

Zahrah de Tigris... adalah Khairunnisa Si Kembang Tigris... Anak gadis dari Malaysia yang menuntut di Tanah Ratu ini, memang degil orangnya. Dilarang makin keras, dirayu pula makin tegar. Dia berkelana bersendirian mencari sebuah cinta. Cinta yang paling hakiki: cinta Rabbulizzati.

Nisa pasrah menerokai sebuah kota yang pernah menjadi puncak peradaban Islam suatu waktu dulu. Kota Baghdad yang pernah terkenal dari masyrik sampai ke maghrib itu sedang berantakan: dihamburi mortar dan peluru. Cerita pilu, Kota Negeri Seribu Satu Malam itu menjadi Kota Ngeri Seribu Satu Malam.

Menjadi guru dan jurubahasa, membuatnya mudah memahami budaya orang-orang di Lembah Tigris.


 
Begitu sudah d situ lain pula ujiannya; dia terpaksa keraskan jiwa, kuatkan semangat tetapi perlahan-lahan hati perempuannya diketuk jua. Nam un cinta mereka tak mungkin bersatu kerana Doktor Patrick Dcvereux, seorang ateis.

 

Hayatilah sebuah novel adventure-spiritual daripada penulis yang pernah menjadi Wartawan Terbaik Bahasa Inggeris 2003. Sebuah cerita yang harus dihayati oleh siapa sahaja yang cintakan kemanusiaan sejagat.






... lagu Tak Kenal maka Tak Cinta - Fran & Roy ...




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Khairyn Othman