Biarkan Ia Pergi




Penulis   :  Liza Nur
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction/Cinta
Penerbit  :  Buku Prima
Bilangan Mukasurat : 583
Tarikh Terbitan : 2009
ISBN :  978-967-5234-74-3
Rating :  

 

Ulasan :

Alhamdulillah syukur kerana dengan izinNYA aku masih bernafas dan di beri peluang "menyelongkar" karya kedua penulis yang baru sahaja aku kenali ini dan telah pun menjadi penulis favorite aku. Sebenarnya buku ini  telah pun berada di tanganku sejak beberapa bulan yang lalu, namun atas faktor tuntutan harian baru kini dapat kuhadapnya. Seperti bukunya yang pertama kubaca Bukan Salahku, karya ini juga mempunyai tema sedih yang hampir sama dan amat meruntun jiwaku sehingga meninggalkan parut dihati ini. Membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar, membuatkan aku jadi sesak nafas, bengkak mata tersedu sedan dan sakit dada. Penulis hebat ini telah berjaya memaparkan dan berkongsi suatu kisah realiti kehidupan yang begitu pilu dan sungguh menyayat hatiku ini. Bayangkan jika impian untuk mendapat kebahagiaan bersama insan yang tercinta dan tersayang di sekeliling kita hilang diragut dalam sekelip mata, melenyapkan segala mimpi-mimpi indah yang pernah kita angankan dan kita terkapai-kapai seorang diri.

Aku rasa kisah ini juga memang sesuai sekali dijadikan sebagai pengajaran dan motivasi yang amat berguna kepada pembaca terutamanya kepada generasi muda dalam mengenal dan mengharungi kehidupan yang sebenarnya sebagai manusia di bumi ALLAH ini. Cerita tentang ketabahan dan kegigihan seorang gadis mangsa keadaan yang sarat dengan emosi ini sejujurnya mencengkam pelbagai rasa di hatiku ini sewaktu membaca karya ini dari awal hingga akhir. Watak Alissa membuatkan aku tersedar, termenung panjang dan berfikir lebih jauh akan setiap ujian dan penderitaan yang dihadapinya. Andainya aku berada ditempatnya, mampukah aku untuk mengharungi setiap dugaan sengsara seperti Alissa ? Tabahkah aku menerima takdir yang sebegini hebat ? Dapatkah aku bertahan dengan segala cercaan dan hinaan manusia di sekelilingku? Ketulusan dan pengorbanan kasih Zaq dalam karya ini pasti menjadi dambaan bukan sahaja setiap gadis yang senasib seperti Alissa malah yang tidak senasib dengannya juga. Baca dan renung kisah CINTA SYAHDU HEBAT ini dengan mata hati dan mata akalmu nescaya banyak ilmu yang dapat diperolehi dari karya hebat ini. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku kepada kita itu ada nikmat dan hikmah yang tidak kita ketahui sebabnya. Hanya ALLAH yang mengetahui. Namun jangan kita mempersoalkannya dan terima segala ujian mendatang itu dengan redha dan berlapang dada. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmatNYA insya-ALLAH.   

Highly Recommended Book 

 

Sinopsis
 
Kisah tentang Alissa (Lis) pelajar di University of Adelaide yang telah menjadi mangsa keadaan yang tidak disengajakan. Alissa telah diculik dan dibawa ke sebuah motel semasa menghantar baju Fara rakan sebiliknya ke rumah sepupunya Elina. Hanya menyedari kesuciannya telah diragut setelah sedar dari lena. Alissa tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya, mengapa dan siapakah yang bertanggungjawab. Zaquan Zachery Antasya (Zaq) pelajar di La Trobe University di Melbourne telah mendapat berita abangnya Aidil Aqasha telah dimasukkan ke ICU di Adelaide Central Hospital atas cubaan bunuh diri setelah ditinggalkan oleh teman wanitanya, Elina. Zaq naik berang dan begitu marah sehinggakan bertekad untuk membuat perhitungan dan mencari Elina. Zaq telah bertemu dengan rakan sekolahnya Badry dan Fara bekas teman wanita sahabatnya Haris di kelab secara tidak sengaja dan Zaq telah terminum air minuman Fara yang mengandungi dadah didalamnya. Haris, rakan Zaq telah membuat rancangan menculik Elina supaya Zaq dapat bersemuka dengan teman wanita abangnya itu. Zaq telah bertemu Elina di motel dan hanya sedar setelah dikejutkan oleh Haris. 




Perancangan yang pada awalnya hanya untuk menakut-nakutkan Elina telah bertukar menjadi suatu tragedi hitam buat Zaq setelah menyedari dia telah meragut mahkota kesucian gadis yang bersamanya ketika dia dalam keadaan khayal dan tidak tahu apa yang telah dilakukannya. Zaq dan Haris terkejut bila dapat tahu gadis yang telah diculik dan bersama dengan Zaq pada malam itu sebenarnya bukanlah Elina setelah cuba bersemuka dengan Aqasha dan teman wanitanya Elina. Hidup Zaq jadi tidak keruan, menyesal dengan tindakannya dan tidak tentu arah mencari gadis misteri yang tidak berdosa itu dan bertekad untuk mencari sehingga kembali ke tanahair dengan bantuan Haris. Berita tentang Alissa yang telah dihalau oleh emak dan abahnya di kampung setelah hamil tidak melunturkan semangat dan harapan Zaq malah bertekad untuk terus mencari Alissa dan anaknya sehingga jumpa. 



Pada malam majlis syarikat papanya, Zaq telah terjumpa dengan seorang budak lelaki seirasnya bernama Ameen Zaquan dan telah menemukan Zaq dengan Alissa yang dicari selama lima tahun. Pertemuan tersebut telah merapatkan hubungan mereka dan Zaq telah melamar Alissa untuk menjadi isterinya yang sah. Namun pada malam majlis perkahwinan di rumah Zaq, Izani bekas teman lelaki Alissa telah membongkar segala rahsia yang disimpan oleh Zaq kepada Alissa. Pengakuan Zaq telah menyebabkan Alissa menjadi benci dan terlalu marah kerana telah ditipu sehingga menghalau Zaq keluar dari rumah. Zaq telah terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan teruk di kepala dan koma selama lebih setahun. Adakah Alissa dan Zaq akan bahagia bersama ? Jadi, kalau ingin tahu apakah yang terjadi seterusnya kepada Zaq dan Alissa, kena baca karya ini ye. Akhiran cerita yang sungguh syahdu dan memang tak puas aku baca buku ni dan rasa tak nak berhenti baca je tau he he.


 


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-


" Albert Einstein pernah berkata, It's not that I am so smart, it's just that I stay with problems longer "

" Hidup ini tidak pernah kering dari dugaan dan cabaran. Manusia mesti berani berjuang untuk mendapat sesuatu yang diingini mereka "

" Kejayaan sebenarnya bukanlah apabila kita terus-menerus meraih kemenangan tetapi apabila kita tahu untuk bangun semula setiap kali kita jatuh tersungkur. Tak ada jalan singkat untuk berjaya "

" Hebat sungguh dugaan yang dihadiahkan Tuhan untuk menguji fitrah manusia. Kadang-kadang kita ada di atas dan adakalanya kita ada di bawah, macam pusingan roda "

" Ada 6 sebab manusia merintih tangis iaitu kegembiraan, kesakitan, penyesalan, kepiluan, ketakutan dan tindak balas elergi "

" Kadang-kadang kita terlupa betapa beruntungnya kita sampai kita lihat orang yang jauh lebih malang "

" Hidup ada hitam dan putihnya. Namun terpulang kepada seseorang itu untuk mengatur jalan, mengubah yang hitam kepada yang putih. Selagi nyawa dikandung badan, hidup ini perlu diteruskan jua. Biar perit. Biar sakit. Biar terdera hati nurani. Insya-Allah, ada hadiah yang tuhan janjikan untuk setiap kesabaran manusia "

" Masa itu bagaikan nyawa. Kalau masa itu emas, maknanya ia boleh dibeli. Tapi masa tak boleh kita beli, tak boleh diputar kembali, seumpama nyawa "

" Sejarah yang sudah terukir takkan dapat diubah "

" Dalam hidup ini keputusan terbahagi kepada dua. Satu, yang mampu kita pilih mengikut keinginan sendiri. Manakala yang satu lagi, keputusan yang tak mampu kita pilih tetapi terpaksa kita laksanakan yang diberi nama tanggungjawab. Namun tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita adakalanya bertukar kepada sesuatu yang kita ingini jika kita melaksanakannya dengan rela " 


...Kenny, Remy & Martin - Suratan atau Kebetulan ~ luahan hati Alissa...



...Sudirman - Merisik Khabar ~ luahan hati Zaq...



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Liza Nur    


  

2 comments:

  1. Replies
    1. Buku ni lama dah sy beli di https://www.karangkrafmall.com skrg ni tak pasti ada lagi ke tak

      Delete