Tulus


 

Penulis   :  Rehan Makhtar  
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Blogijau Enterprise
Bilangan Mukasurat : 608
Tarikh Terbitan : Feb 2023  
ISBN :  978-967-14261-9-7 
Rating :

 

 
       
 


Ulasan :

الحَمْد لله dengan izinNYA, aku masih diberi kesempatan lagi untuk bedah siasat karya ke 10 penulis hebat ini selepas Anak Perempuan Dato' Pengarah, Dengarlah Jeritan Hatiku, Noktah, Dingin, Dia Untuk Aku, Takdir Untuk Aku, Seseorang Untuk Aku, Dia...Cinta Yang Kucari dan Tiba-tiba, Dia Ada. 

Kisah Taqrees dan Ayla ini menyedarkan aku tentang qada' dan qadar Tuhan. Mereka bertemu dan dianugerahkan oleh ALLAH rasa kasih dan sayang dalam keadaan yang tidak mereka sangka.  Setiap rasa kasih dan cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu pasti akan diuji sama ada kita bersedia atau tidak. Hanya kasih sayang yang berpaksikan iman yang kuat mampu menghadapi segala dugaan yang datang.

Watak Ayla dalam karya ini buat aku termenung panjang dan berfikir lebih jauh lagi atas apa yang berlaku dalam takdir hidupnya. Adakah aku mampu menghadapi segala ujian dan takdir sepertinya? Inilah kebenaran hidup yang harus kita terima walaupun amat payah kerana setiap manusia pasti akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Ada sebab kenapa ALLAH uji kita kerana DIA sayang kita dan nak tengok sejauh mana kesabaran, ketaatan dan keimanan kita terhadapNYA. Kita kena sentiasa ingat, segala apa yang ada di bumi ini hanya milik DIA dan segala-galanya adalah pinjaman daripada DIA.

Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) : bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan'' ~ Surah Ash Syarh:ayat 5-6.

Jika hari ini kita sedang diuji dengan kesulitan, percayalah, di sebalik kesusahan itu pasti ada kemudahan, kesenangan ataupun hikmah yang lebih besar maknanya untuk diri kita. Sabarlah dan percayalah pada janji ALLAH. Kerana pada setiap kesusahan ada kesenangan di kemudian hari kelak insya Allah.

ALLAH adalah PERANCANG TERBAIK  dan lebih tahu apa yang lebih baik buat hambaNYA. Dan setiap yang berlaku itu pasti adalah yang terbaik untuk kita. 

Ada banyak mutiara ilmu keluarga, nasihat dan pengajaran yang boleh kita kutip dan pelajari melalui kisah diorang ni. Semoga kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan dan pengajaran buat semua pembaca diluar sana.

Wallahu a’lam ( والله أعلمُ) ertinya Dan ALLAH Yang Maha Mengetahui.

 

Sinopsis 

Walau ditinggalkan wanita yang dirasakan cinta hati, Taqrees masih percaya yang cinta sejati itu ada untuknya. Satu hari nanti, takdir akan bawa wanita itu di depan mata.

Biarlah dikata cinta itu satu kebahagiaan, Ayla hanya percaya cinta hanya membawa derita. Dia tidak perlukan sesiapa dalam hidupnya kerana dia tahu hanya dirinya sahaja yang tahu menjaga hati sendiri.

Dua insan itu bertemu dan berpisah. Meninggalkan kekesalan yang bukan sedikit di hati masing-masing. Ayla menutup segala jejak. Pergi menutup kisah hitam yang tidak terpadamkan. Taqrees terus asa menjejaki. Tidak hanya kerana budi.

Kisah yang diyakinkan hanya satu episod itu, rupa-rupanya menjadi siri yang masih panjang.

Pencarian Taqrees berakhir bila Ayla muncul di depan mata. Tapi, wanita itu kini bergelar ibu. Berkali dia menafi, perasaan yang sejak sekian lama ini tak mampu dibohongi biarpun dia tahu, cinta Ayla adalah milik satu-satunya lelaki yang ada dalam hidup wanita itu kini.

Lelah mendakap hati culas Ayla, Taqrees pujuk diri untuk terima segala penafian. Namun, yang culas itu tiba-tiba jinak. Ayla hadir di depannya, menyerah diri. Merayu Taqrees akur untuk satu pernikahan.

Hidup berdua dalam ikatan bersyarat, tidaklah semudah yang disangka tapi Taqrees masih berusaha. Namun, apakan daya… Ayla kini berdiri di tebing yang curam. Memilih Taqrees bermakna melepaskan Amar, anak yang disayang. Dengan hati yang reda, Taqrees melepaskan Ayla pergi bersama Amsyar, ayah kandung Amar. Walaupun, dia juga tahu cinta di hati Ayla ada untuknya.
Sejak sekian lama.



 

 

“Kalau awak sedih lagi sebab saya, saya harap awak ingat yang saya pernah beri bahagia pada awak…” – Ayla

 

 

 

“Abang ingatkan abang minum madu. Siapa sangka… abang teguk racun. Manisnya hingga abang tak boleh nak beza langsung…” - Taqrees

Bersama atau sebaliknya, Taqrees dan Ayla berharap mereka akur mendakap takdir dengan erat.

 

 

 

 

 

 

 

 ... lagu Salju Di Danau Rindu - Mamat Exists ...

 


 

 kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ...  

 
 
 

 

 

No comments:

Post a Comment