Wasilah Cinta Weera




Penulis   :  Rose Harissa
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  PTS Litera Utama Sdn Bhd

Bilangan Mukasurat : 607
Tarikh Terbitan : 2010
ISBN : 978-983-3892-70-9
Rating : 
 
Ulasan :
 
Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA, aku berjaya mendapatkan karya yang telah sekian lama kucari-cari selama ini dan dapat menghayati karya pertama penulis hebat ini. Alangkah gembiranya aku setelah terlihat buku ini di laman bookcafe.com.my dan terus aku beli tanpa bertanguh-tangguh lagi. Pergh...karya ini telah berjaya membuatkan aku bersengkang mata mengorbankan masa tidurku sehingga ke awal pagi. Kisah di antara Weera dan Ray dalam karya hebat ini bukanlah kisah cinta yang terjalin di antara lelaki dan wanita yang biasa kita lihat dan dengar. Tetapi ia adalah kisah kasih sayang luhur dan syahdu sesama manusia yang memberi pengertian lebih luas dan mendalam jika dapat diselami dengan mata akal dan mata hati. Memang agak berbeza dan berjaya memperlihatkan kepada pembaca dari manakah datangnya perasaan cinta yang ada dalam diri kita itu. Sesungguhnya perasaan kasih dan sayang itu Allah jadikan untuk setiap makhluk yang ada di muka bumi ini ada sebab dan tujuannya. Tetapi ramai antara kita yang masih jahil dan seringkali buruk sangka, menghukum tanpa usul periksa dan membuat tuduhan mengaibkan tanpa melihat dari sudut yang kita tidak faham dan ketahui.

Tahniah dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berjaya menghasilkan karya yang sungguh meruntun jiwa sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Walaupun cerita ini buat aku sebak dan menangis sampai bengkak mata, tetapi aku rasa begitu puas hati tahap lebih MAKSIMA dan begitu teruja sekali membaca setiap baris ayat dari karya syahdu ini sampaikan rasa macam nak ulang baca dan baca lagi tak nak berhenti. Karya yang boleh buat pembaca muhasabah diri dan belajar untuk menjadikan sebab cinta dan sayang itu kerana Allah. Hanya cinta yang diletakkan kerana Allah yang akan mendapat keberkatan dan rahmatNya. Memang berbaloi aku beli buku ini. Semoga kisah ini dapat dijadikan teladan, inspirasi dan peringatan kepada kita semua bahawa rasa cinta dan kasih sayang itu adalah milik Allah dan bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik balik semua nikmat rasa cinta dan kasih sayang itu daripada kita sama ada kita suka ataupun tidak. Karya yang sungguh terkesan di mata hati dan mata akalku dan pasti terngiang-ngiang di telingaku setiap bait-bait ayat yang keluar dari mulut Tajul Aweera - "...Ingat aku suamimu, aku mahu ada dekat denganmu, selalu ada dalam hati dan batinmu, aku mahu ada dalam setiap doamu..."


A DEFINITE MUST READ !!!


Sinopsis

Sebuah kisah yang sarat makna kasih sayang sesama manusia. Ia menawarkan keharuan ikhlasnya perhubungan antara Tajul Aweera (Weera) dan Raymond Azman Ananda (Ray), dua sahabat yang saling menyayangi dan disalah erti hubungan hanya kerana mereka lelaki. Namun pada mereka setiap manusia boleh berbicara soal keteguhan hati, kasih dan keikhlasan asalkan ia kerana Allah. Dalam satu keadaan yang tidak disengajakan dan atas rasa simpati dan tanggung jawab melindungi maruah, Weera menikahi Sari Ayu untuk menggantikan tempat Firdaus tunang Sari Ayu yang telah menikahi bekas teman wanitanya. Pelbagai ujian dan halangan perlu ditempuhi Weera demi menawan hati isteri yang baru dicintainya.

 

Namun, isterinya juga telah salah sangka dan termakan dengan hasutan Firdaus dan memandang serong dengan ikatan kasih sayang di antara Weera dan Ray. Ujian Allah akhirnya menyentuh Weera. Fitnah Firdaus tidak malu-malu menghambur untuk menghancurkan rumah tangga Weera dan Ayu, namun Weera tetap teguh kerana dia percaya ujian mendatangkan kebahagiaan untuk sesiapa yang mengertikannya. Ray akhirnya dijemput Ilahi setelah bertarung dengan sakit saraf Neuron Motor yang kronik.

Pengertiannya, menitis lembut pada kata 'Wasilah Cinta Weera'.


Kalau nak tahu bagaimana kisah yang sebenar, cuba dapatkan dan baca karya ini sendiri ye. Tidak rugi anda beli, baca dan selami maksud tersirat yang cuba disampaikan dalam karya hebat ini. Anda pasti akan tersentuh dan disentuh dengan jalan cerita yang menusuk qalbu ini.




...lagu Hanya Kau Yang Mampu - Aizat adalah luahan hati Tajul Aweera ...




 ...lagu Dan Sebenarnya - Yuna adalah luahan hati Sari Ayu ...
 





Hayati mutiara indah yang ditulis di dalam karya hebat ini :-


 " Sabda Rasulullah : Jika orang membenci kerana ada sesuatu yang kurang dari perangai isterinya, maka ketahuilah bahawa pada bahagian yang lain ada yang menyenangkan "

" Mukmin yang sempurna imannya, ialah sebaik-baik peribadinya. Dan sebaik-baik peribadi ialah orang yang sebaik-baiknya dengan isteri "

" Berdoa adalah cara paling ampuh untuk mengubati rasa patah hati. Dengan berdoa kita boleh mengeluh, menangis, mengadu dan mencurahkan segala bebanan hidup kepada Allah. DIA adalah sumber keteduhan dan ketenangan kerana DIA adalah pelindung semua makhluk "

" Kecantikan seorang perempuan bukan terletak pada paras rupanya tetapi sejauh mana dia dapat menjaga maruahnya. Kecantikan wanita tidak bererti apa-apa jika dibandingkan dengan kemuliaan akhlak dan perilakunya. Tetapi ingat, wanita tidak diciptakan untuk dikagumi semua lelaki tetapi sebagai sumber kebahagiaan seorang suami. Kecantikan isteri hanya untuk suami "

" Kegagahan seorang lelaki ialah terletak pada sejauh mana dia dapat menahan dan menjaga marahnya "

" Ada 5 perkara yang apabila kita menatapnya akan mendapat pahala iaitu melihat Kaabah, mushaf al-Quran, melihat wajah ibu bapa, orang alim dan memandang wajah suami isteri dengan penuh kasih sayang "

" Dalam Islam, cinta yang sejati itu adalah cinta yang diserahkan kepada Allah dan suami hanyalah jalan untuk isteri memperoleh reda Allah. Cinta suci hanya lahir daripada iman dan takwa "

Doa Rasulullah kepada Aishah : " Wahai Tuhanku,Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan "

" Isteri solehah merupakan pendamping dan sahabat yang paling baik bagi suami. Dialah penenang, pendamai, penyeju, penolong, pembakar semangat buat suami yang berada dalam kesusahan "

" Tindakan membahagiakan orang lain disebut sebagai shadaqah. Kata yang berasal dari 'shadaqa', yang bererti benar sejati atau tulus. Orang yang bersedekah adalah orang yang tulus imannya. Sedekah bukan sahaja berbentuk harta atau wang ringgit malah ukhwah sejati "

" Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan lebih baik bagiku, matikanlah aku jika kematian lebih baik bagiku "

  Rasulullah bersabda : " Besarnya pahala bergantung kepada besarnya ujian, dan sesungguhnya apabila Allah menyenangi suatu kaum, Dia menguji mereka. Barang siapa yang reda (atas ujian yang ditimpa) maka Allah meredainya, dan barang siapa yang marah, maka Dia marah."


" Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa kita kecuali dengan izin Allah. Jika kita beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hati kita. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Berlindunglah kepada Allah daripada kejelikan ujian dan fitnah. Redalah menerima takdir Allah dengan menyakini bahawa ujian adalah penghapus dosa."

" Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku hingga akhirnya dan sebaik-baik perbuatan hingga kesudahannya dan sebaik-baik masaku hingga menjumpainya "

"...Ya Allah, jika tiba saatnya Engkau ambil nyawa kami, jadikanlah kami tetap berada kebenaran, iman dan kecintaan kepadaMu. Dan bangkitkanlah kami ya Allah, dalam kelompok para anbiya, syuhada dan solihin..." 

"...Ya Allah, jadikan aku dan isteriku orang yang selalu Husnul Khatimah dan istiqamah. Berikan kami keturunan anak-anak yang soleh dan solehah dan jadikan keluarga kami keluarga yang sakinah, mawaddah dan warrahmah..." 



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang penulis boleh klik link ini ye...  
Rose Harissa  
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment