Dingin


 

Penulis   :  Rehan Makhtar       
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Blogijau Enterprise
Bilangan Mukasurat : 451
Tarikh Terbitan : Dis 2023  
ISBN :  978-629-98903-0-0 
Rating :  ★★

       
 


 

Ulasan :

الحَمْد لله dengan izinNYA, aku masih diberi kesempatan lagi untuk bedah siasat karya ke 6 penulis ini selepas Dia Untuk Aku, Takdir Untuk Aku, Seseorang Untuk Aku, Dia...Cinta Yang Kucari dan Tiba-tiba, Dia Ada. 

Ini kisah tentang fitnah dan dendam. Kisah Amirul dan Mukminin kali ni memang buat aku sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mataku ini melimpah keluar. Aku terpaksa berhenti membaca beberapa kali sebab aku tak sanggup nak teruskan bacaan. Aku terlalu kasihan dengan Mukminin dan terlalu marah dengan perangai dendam kesumat Amirul yang tidak boleh diterima akal langsung.  

Watak Mukminin menyedarkan aku akan setiap ujian dan penderitaan yang dihadapinya. Andai aku berada ditempatnya, mampukah aku untuk mengharungi setiap dugaan sengsara sepertinya ? Tabahkah aku menerima takdir yang sebegini hebat ? Dapatkah aku bertahan dengan segala cercaan dan hinaan manusia di sekelilingku terutama orang yang paling dikasihi ? Mukminin adalah contoh wanita tabah, sabar dan redha dengan ujian yang dihadapinya. Rela beralah dan mengorbankan diri sendiri demi insan yang amat disayangi. Hanya mereka yang telah mengalaminya sahaja yang dapat memahami segala apa yang dirasa oleh Mukminin. Ada banyak kesalahan ejaan dan ini juga agak mengganggu konsentrasi bacaanku. Sebab tu aku terpaksa buang satu ★ ...

Ya aku faham kenapa Amirul begitu marah, benci dan berdendam kerana Mukminin telah memfitnahnya atas cubaan merogol sehingga hidupnya musnah sekeluarga. Walaupun, mungkin ada mesej baik yang ingin penulis sampaikan secara tidak langsung. Namun, aku tidak dapat menerima perlakuan kejam dan penderaan secara fizikal dan seksual Amirul terhadap Mukminin memang tahap tiada perikemanusiaan langsung. Amirul tidak beri peluang kepada Mukminin untuk beri penjelasan sebenar. Aku memang kechewa watak hero jadi Red Flag.  Amirul bertuah kerana Mukminin masih setia dan sanggup berkorban diri dan perasaan demi kasih dan sayangnya yang tidak berbelah bahagi terdapat Amirul.    

Son Of Anonymous ~ Tidak ada orang baik yang tidak punya masa lalu, dan tidak ada orang jahat yang tidak punya masa depan. Setiap orang memiliki kesempatan yang sama untuk berubah menjadi lebih baik. Bagaimanapun masa lalunya dahulu, sekelam apa lingkungannya dulu, dan seburuk apa perangainya di masa lampau. Berilah kesempatan seseorang untuk berubah.

Benar, dendam tidak akan buat kita rasa bahagia dan tenang. Malah, dendam akan buat jiwa kita semakin keras, mati dan boleh memusnahkan diri sendiri. Kemaafan adalah dendam yang terbaik dan terindah. Tiada manusia di dunia ini yang tidak buat kesalahan dan kesilapan. Memang bukan mudah untuk memaafkan seseorang dan melupakan sesuatu yang pahit untuk dikenang. Dalam Al Quran disebut banyak kali supaya memaafkan orang lain kerana ia adalah sifat yang terpuji dan mulia. Jadi, cuba dan cuba untuk memaafkan kerana apabila kita maafkan orang lain, insya ALLAH akan dikurniakan ketenangan kepada kita dan moga kita termasuk dalam kalangan orang yang paling mulia disisiNYA.

Banyak mutiara ilmu yang dapat aku kutip dan pelajari melalui kisah ini. Diharap kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan dan memberi manfaat buat semua pembaca diluar sana.

Wallahu a’lamوالله أعلمُ) ertinya Dan ALLAH Yang Maha Mengetahui.

 


Sinopsis
 

Kehidupan Amirul di tempat baharu berseri bila matanya terpaku pada seseorang. Mukminin sentiasa bersendiri. Tidak mahu didekati, jauh sekali mendekati. Tembok yang gadis itu bina tinggi tapi dia tetap mahu memanjatnya. 

Amirul sendiri tidak menyangka, perasaan ingin tahu dalam dirinya berubah kepada satu rasa asing yang kini mendiami hati. Kerana itu, dia telah bersedia untuk lakukan segalanya demi Mukminin ini. 


“Tolong aku, Mirul. Aku akan buat apa aje untuk balas budi kau…” – Mukminin

Melihat airmata itu, hatinya menderita. Amirul sanggup bukan hanya kerana belas. Darah dan luka pada tubuhnya menjadi saksi segala keikhlasan. Tapi, kenapa Mukminin mengkhianati? Mengubah seluruh hidupnya. Kebencian pada Mukminin, tidak akan dapat dilakar biarpun habis selautan tinta. 

 


 

“Jangan muncul depan aku lagi, Min. Atau aku tak akan lepaskan kau lagi…”- Amirul.

Mukminin pula, hidup sendirian tidak langsung membuatkan dia sunyi. Semuanya terasa cukup. Namun, dunia yang sentiasa berputar ini sekali lagi membawanya berdiri di hadapan Amirul.

“Kau bawa kematian pada jasad aku yang masih bernyawa, Min…” - Amirul

Amirul menzahirkan kebencian yang nyata. Mukminin pula sedar, kekejamannya pada Amirul sedang menuntut bela. Dan, pastinya tidak dapat dia lunas biarpun seisi dunia dipersembahkan.

“Walaupun aku tahu semua ni, tak akan dapat tebus balik kisah lalu kita,
tapi maafkan aku,” - Mukminin

Rayuan Mukminin tidak mampu menghangatkan hati Amirul. Mereka terus berjalan di atas permukaan tasik yang beku. Membiarkan hati dan jiwa terus kebas. Permukaan tasik itu akhirnya retak. Mukminin sedang jauh tenggelam dan dia tahu Amirul tidak akan menariknya ke permukaan. Lelaki itu sekadar membiarkan dia terus lemas dalam kebencian.

 

  ... lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah  - Aishah ...

 

 

  ... lagu Beribu Sesalan  - Shila Amzah, Ning Baizura & Jaclyn Victor ...

 


 

 

kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ...