Nyanyian Tanjung Sepi





Penulis   :  Noor Suraya         
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Creative Enterprise Sdn Bhd    

Bilangan Mukasurat : 755  
Tarikh Terbitan : 2006  
ISBN :   978-983-893-676-7  
Rating :   

 
Ulasan :


Alhamdulillah dengan izin-NYA, aku sudah pun membaca buku ke 6 karya penulis hebat ini selepas Langsir Biji Remia, Jaja & Din, Surat Ungu Untuk Nuha, Mahadewi dan Panggil Aku Dahlia.

Subhanallah, apa yang aku boleh tulis kat sini, sebuah kisah yang sungguh meruntun jiwa kepada sesiapa sahaja yang dapat menghayati jalan cerita yang penuh pengajaran dan mencengkam pelbagai rasa di hati ini. Walaupun akhiran kisah ini cukup membahagiakan setiap watak utama bersatu semula dengan cinta pertama masing-masing di dalam kisah ini. Namun ia tetap meninggalkan kesan yang begitu mendalam di hati pembaca. Cuba baca ye kalau tak percaya.


Penulis hebat ini berjaya membuatkan aku sebak dan berfikir panjang akan pengorbanan kasih seorang wanita, isteri dan ibu bernama Syarifah Nuur Khalida Syed Edriss al Bukhary, isteri kepada Dr Aqmar Aziz Hj Zubir yang telah menikahi cinta pertamanya Tengku Dara Aida tanpa pengetahuan Khalida setelah sembilan tahun hidup bersama dan setelah pemergian puteri tunggal tercinta. Mereka sebenarnya adalah bersaudara tiga pupu dan disatukan atas wasiat keluarga. Sebelum bernikah dan semasa belajar di USM, Khalida pernah memendam perasaan terhadap pensyarahnya Dr Zainur Arieff tanpa mengetahui mereka sebenarnya menyimpan perasaan yang sama. Namun, Khalida terpaksa menerima lamaran Dr Aqmar demi wasiat keluarga ayahnya.  

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari... Adakah aku mampu melakukan seperti Khalida mengorbankan perasaan sendiri, mengundur diri dan membawa diri jauh demi seorang insan yang bergelar LELAKI dan SUAMI yang sudah dikasihinya??? Aku rasa tidak ramai yang mampu dan tidak semudah itu. Di akhir kisah ini, Khalida dan Dr Zainur di takdirkan bertemu semula dan menyambung kembali ikatan kasih yang terputus di antara mereka.

Walaupun aku sebenarnya tidak dapat menerima dan amat sedih dengan perpisahan mereka dan terkilan dengan tindakan Dr Aqmar menikahi Tunku Dara Aida tanpa pengetahuan Khalida dan atas alasan untuk menyelamatkan akidah Tunku Dara Aida. Namun, aku mula tersedar, akur dan mengakui kita adalah manusia biasa dan tidak mungkin mampu untuk mengatur dan menghalang setiap ketentuan ALLAH swt ke atas hambaNya. Setiap yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi di sebalik segala kejadian yang hanya dapat kita sedari di kemudian harinya. Aku terharu dan kagum dengan pengorbanan Khalida dan Dr Aqmar yang rela berpisah demi kerana cinta yang lebih utama kepada ALLAH swt. Kelihatan pada mata luaran kita seperti sesuatu yang amat payah dan menyiksakan untuk dilakukan. Namun, pengorbanan dan kehilangan itu sebenarnya adalah suatu nikmat yang tidak ternilai buat mereka berdua tanpa mereka sedari. Malah kehilangan dan kesedihan itu akan dapat mendekatkan lagi diri mereka kepada ALLAH swt.

Semoga kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan dan memberi pengajaran buat kita semua. Ucapan terima kasih daripada hatiku yang paling dalam dan tahniah kepada penulis karya hebat ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang mampu menyedarkan dan buat pembaca muhasabah diri. 

'Cinta sesama manusia tidak memadai untuk melayarkan bahtera hidup ini. Asasnya, tetap cinta kepada ALLAH. Cinta kepada ALLAH harus melebihi cinta sesama insan. Cinta yang tidak berbanding, cinta yang tiada tandingannya. Cinta kepadaMu, rindu kepadaMu adalah segala-galanya dalam dunia ini.'



T.E.R.B.A.I.K.

Sinopsis

Dan sepi itu terus menghambat aku ke mana-mana sehingga menjadikan aku resah gelisah tiada jalan pulang. Aduhai, masa yang indah itu sudah pergi semuanya... sehingga tidak ada apa-apa lagi yang tersisa untukku di sini.

Aku seperti camar yang patah sayap. Aku bagaikan biduk tanpa perhentian. Aku umpama permaisuri tanpa kerajaan. Lalu bagaimana lagi harus aku kutip sisa hari-hari mendatang yang sirna itu, bersendirian? Tanpa dia dan tanpa kamu? Aku betul-betul kesepian. mana hilangnya semua masa lalu yang indah itu?








Aqmar : Senyuman itu membuat hutan rasanya terbakar, dan lirikan mata sang bidadarinya membuat beku hatinya bisa cair.



  









Zainur : Beku hatinya pernah 'sekali' cair dengan panahan mata sang dewi cinta. Cintanya pernah hangus pada sinar api renungan dia.





 








Khalida : Kekasih, akulah rusuk kirimu yang hilang itu!

 


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

Tuhan, ampunkan aku kerana masih belum reda sepenuhnya atas kehilangan ini
Aku adalah hambaMu yang lemah
Kuatkanlah hatiku untuk menerima semua takdirMu ini dengan tulus dan luhur
Tuhan, sesungguhnya aku ini hambaMu yang tidak berdaya , aku mohon belas kasihanMu

ALLAH lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita
ALLAH tidak membuat sesuatu itu dengan sia-sia
melainkan ada hikmah yang tersembunyi di sebalik segala kejadian dan peristiwa

Semua yang ada di dunia ini adalah sekadar pinjam-pinjaman
Kalau ALLAH ingin mengambil balik semula, itu sememangnya hak ALLAH

Jangan percaya pada cinta kedua seorang lelaki kerana sesungguhnya mereka tidak bisa melupakan cinta pertama mereka itu sepanjang perjalanan waktu


Buah berangan masaknya merah
Hendak belayar pergi ke hulu
Luka di tangan darahnya merah
Luka di hati Tuhan yang tahu


... lagu Nyanyian Tanjung Sepi - Rosiah Chik & Khaty Ibrahim ...

 

... lagu Love Me Tender - Elvis Presley ...



 

kalau ingin tahu lebih lanjut tentang penulis boleh klik link ini ye...   



No comments:

Post a Comment