Cinta Itu Gila


 

Penulis   :  Anna Lee  
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Prolog Media
Bilangan Mukasurat : 211
Tarikh Terbitan : Jun 2020  
eISBN :  978-967-17515-7-2 
Rating :

 
    
Ulasan :

الحَمْد لله dengan izinNYA, aku masih diberi kesempatan lagi untuk bedah siasat karya ke 10 penulis hebat ini selepas I'm Yours, Kenzi X Embun, Couple, Naskah Terakhir Laura Isabel, Jika Aku, Mesej, Aku, Dia & Pinky Promise, Terukir Cinta dan Hello it's me. Ini adalah eBook pertama yang kubaca dari Pn Penulis ni tau.

Kisah Nisa dan Yusof ni menyedarkan aku tentang qada' dan qadar Tuhan. Kisah dua jiwa yang terikat dengan ikatan pernikahan yang manis dan indah. Namun, kemanisan dan keindahan hidup bersama itu semakin pudar dan hilang ditelan waktu dan jalan terakhir yang mereka pilih adalah berpisah. Peribahasa Melayu mengatakan 'berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul'. Membaca setiap baris ayat dalam karya ini memang buat aku sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mataku ini melimpah keluar sampai bengkak mata aku menangis baca kisah diorang ni tau. Walaupun kisah diaorang ni agak pendek je, tapi berjaya menyedarkan aku tentang pentingnya komunikasi di antara suami dan isteri, saling jujur dan berterus terang dengan pasangan kita.

Siapa sangka cinta mampu buat orang hilang akal hingga buat perkara yang kita tak sangka-sangka. Begitulah yang terjadi kepada Nisa yang pada awalnya sanggup pentingkan diri sendiri kerana cinta dan kasihnya kepada Yusof. Namun, rahsia yang disimpan oleh Nisa tidak dapat disimpan lagi setelah hampir 9 tahun hidup bersama. Kerana desakan dan tuduhan Yusof, Nisa akhirnya ambil keputusan untuk undur diri, beralah dan tidak pentingkan diri sendiri lagi dan  berkorban hati dan perasaan. Nisa relakan Yusof bernikah lagi. Nisa tidak sanggup berterus terang tentang kekurangan dirinya yang tidak boleh hamil dan ambil keputusan untuk berpisah dengan Yusof, suami yang amat dicintainya demi untuk kebahagiaan suami yang amat inginkan zuriat yang ramai.  

Alangkah sedih dan aku begitu kasihan dengan takdir hidup Nisa yang mengalami Sindrom Mayer Rokintansky Kuster Hauser (MRKH). Atau dengan bahasa mudah ialah wanita yang dilahirkan dengan vagina dan rahim yang kurang berkembang sempurna bahkan tidak berkembang sama sekali dan wanita yang mengalami masalah ini tiada haid, tidak dapat hamil dan melahirkan anak. Aku yakin, semua wanita di dunia ini ada impian untuk hamil, ingin melahirkan anak dan ingin menjadi ibu. Namun, tidak semua wanita itu bertuah dan dikurniakan impian yang sebesar itu. 

Walaupun akhiran kisah ini cukup membahagiakan bila Nisa dan Yusof bersatu semula setelah 3 tahun 6 bulan mereka berpisah. Namun, punca segala masalah dalam kisah mereka dan pengorbanan Nisa meninggalkan kesan yang begitu mendalam di hati Yusof. Ternyata, Nisa masih menjadi cinta hati Yusof. Bacalah, anda pasti akan dapat rasa apa yang kurasa.  

Aku mengakui ALLAH adalah PERANCANG TERBAIK dan lebih tahu apa yang lebih baik buat hambaNYA. Dan setiap yang berlaku itu pasti adalah yang terbaik untuk kita. Setiap yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi di sebalik segala kejadian yang hanya dapat kita sedari di kemudian harinya.  

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya"~ Surah Al Baqarah ayat 286.

Banyak mutiara ilmu yang dapat aku kutip dan pelajari melalui kisah sedih Nisa ini. Diharap kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan dan memberi manfaat buat semua pembaca diluar sana.

Wallahu a’lam ( والله أعلمُ) ertinya Dan ALLAH Yang Maha Mengetahui.

 

Cinta Itu Gila ... Bagi yang Mencintai

 

Sinopsis 

Blurb :

Apabila pasangan yang bakal bercerai terperangkap dalam satu rumah ketika PKP. - It's a war !!!

Berita tentang perintah kawalan pergerakan menyebabkan kedua suami isteri yang bermusuhan ini terpaksa tinggal sebumbung. Hubungan yang retak semakin parah. Perang mulut kerap berlaku. Adegan sinis, sabotaj hidup masing-masing silih berganti.

Namun, PKP telah membawa mereka menyedari tentang sesuatu. Memahami tentang sesuatu.

Mampukah 'Korea Utara' dan 'Korea Selatan' ini berdamai ? Masih adakah jalan untuk menyelamatkan kisah mereka? Ada rahsia yang disembunyikan.

Cinta itu gila, kisah pengorbanan demi sebuah cinta. Sejauh manakah pengorbanan itu akan dilakukan?

 

 

 ... lagu Masing-Masing- Ernie Zakri & Ade Govinda ...

 


 ... lagu If You Go Away - Neil Diamond ...

 

 

 

kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ...  
 

 

 

 

No comments:

Post a Comment