Saya Tunggu Awak




Penulis  :  Bonda Nor
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Novel Tarbiah
Penerbit :  Galeri Ilmu Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 633
Tarikh Terbitan : October 2013
ISBN : 978-983-097-445-3
Rating : ★★





Ulasan :

Syukur kepada Allah swt kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan sekali lagi untuk menghayati mutiara indah dari karya yang sungguh hebat ini. Karya ini merupakan karya pertama penulis hebat ini yang baru aku baca dan terus terang aku katakan " this is the best Islamic novel that I've ever read and its really worth to buy it ". Novel ini aku kira paling unik berbanding dengan novel-novel lain yang pernah aku baca setakat ini, kerana penulis ini bukan sahaja berjaya menyingkap kisah seorang ustazah malah berjaya mengangkat cerita ini untuk dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup pembacanya. Juga secara tidak langsung, penulis juga berjaya mentarbiah pembaca bagaimana cara untuk meningkatkan kualiti iman dalam mengharungi hidup berumah tangga yang penuh dengan dugaan dan cabaran.  Selain itu, penulis juga banyak menyelitkan ayat al-Quran, sabda Nabi dan kata-kata mutiara para ulama muktabar yang sekaligus menjadikan novel ini amat berbeza sekali dengan novel yang lain di pasaran.  

Pendapat peribadi aku, karya ini merupakan antara karya yang paling terbaikkkkk pengisiannya yang pernah aku baca setakat ini. Membaca setiap baris ayat dari buku ini memang sungguh memilukan dan menyayat hati aku, menginsafkan dan berjaya membuatkan aku menitiskan airmata tanpa henti dan sungguh terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam. Sejujurnya aku mengakui dan menginsafi kekhilafan diri ini, tanggungjawab yang diamanahkan kepada seorang wanita yang bergelar isteri tidak semudah yang disangkakan. Terlalu banyak ujian dan dugaan duniawi yang perlu aku tempuhi dan pelajari dalam melayari bahtera rumah tangga yang penuh pancaroba ini sehingga terkadang aku juga merasakan tempias yang tidak kurang hebatnya.



Sinopsis

Mengisahkan tentang Ustazah Hanna Mardhiah mempertahankan rumah tangga yang dibinanya bersama suami tercinta Farhan  dengan dua orang cahaya mata.  Hanna yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti al-Quran Malaysia (UAM) terpaksa berhadapan dengan anak muridnya yang bernama Rafiq Aqlan yang telah menunjukkan minat padanya dan telah mencurahkan rasa cintanya pada Hanna. Walaupun Hanna tidak membalas cinta tersebut, namun Hanna cuba melawan pergolakan dalam jiwanya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh serta memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah swt agar tidak terus hanyut dengan godaan itu. Pelbagai ujian dan dugaan yang terpaksa Hanna harungi walaupun setelah kematian suaminya yang tercinta, Hanna terus melawan pergolakan jiwa dan ujian tersebut sehinggalah ke nafasnya yang terakhir.

Di sebalik kisah yang sungguh meruntun jiwa ini, aku cuba menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa ketentuan Allah tidak berlaku selari dengan impian manusia. Setiap ujian ada tempoh tamatnya.  Kekecewaan yang dirasai pada ketika ini akan pudar ditelan masa.  Sebagai seorang Muslim, kita perlu berpegang teguh pada Rukun Iman. Qada' dan Qadar Allah adalah satu perkara yang perlu diyakini. Di sebalik semua ketentuan pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sememangnya Allah sentiasa mendahului segala perancangan dan sebagai manusia kita harus pasrah menerima aturan takdir-Nya.  Kekecewaan yang pernah kita lalui mungkin akan menjadi satu nikmat yang akan kita syukuri satu masa nanti.

Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada Bonda Nor kerana telah berkongsi karya hebat ini dan berjaya menghasilkan karya yang sungguh unik dan mantap sehingga menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Apa yang pasti " Saya Tunggu Awak - dalam hidup ini tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab kepada perkara yang lain pula ".  Ya Allah kuatkan imanku dan bimbinglah aku untuk menjadi isteri yang solehah.  Mudah-mudahan Allah akan pandu kita semua melayarkan bahtera rumah tangga kita ini hingga ke syurga, insya-Allah.




Allah swt berfirman :

" Sesungguhnya , tidak ada satu musibah pun yang menimpa di muka bumi dan tidak pula pada dirimu melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh, yang demikian itu sangat mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) agar kamu tidak berdukacita terhadap apa yang luput daripadamu dan supaya kamu tidak terlalu bergembira terhadap apa yang Dia berikan  kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. " ~ (Al-Hadid 57: 22-23)




No comments:

Post a Comment