Bidadari Bermata Jeli





Penulis   :  Hana Ilhami
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Penulisan2u

Bilangan Mukasurat : 676   
Tarikh Terbitan : Ogos 2017
ISBN : 978-967-2102-07-6   
Rating :

    
Ulasan :
 

Alhamdulillah dengan izin-NYA, aku berjaya mendapatkan karya ke 4 penulis hebat ini selepas Membakar Syurga Mengguyur Neraka, Ya Maulana dan Perempuan Lindungan Kaabah.  

Aku tidak mahu comment lebih-lebih, cukup jika aku katakan ini kisah benar dan memang terjadi di luar sana. Tahniah dan terima kasih di atas keberanian penulis berkongsi dan mendedahkan isu anak luar nikah atau anak tak sah taraf ini. Tahukah kita anak tidak sah taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol. Anak ini lahir kurang dari tempoh 6 bulan selepas perkahwinan. Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak berkenaan. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka-mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Tahukah kita semua Hurun 'Ain adalah sebutan untuk bidadari yang dikurniakan oleh ALLAH kepada hamba-hambaNya yang soleh di syurga. Siapakah bidadari ini dan kenapa di sebut dalam al-Quran sebagai bidadari bermata jeli adalah laksana mutiara yang tersimpan baik dan menggambarkan keindahan dan kecantikan bidadari yang tidak dapat kita bayangkan dan bandingkan di dunia ini.

Di awal cerita memang aku tertanya-tanya kerana ada banyak watak yang ada dalam cerita ni dan agak payah untuk aku kaitkan setiap satunya. Banyak persoalan yang aku dok fikir dalam kepala otak ni. Penulis bijak mengolah perjalanan cerita setiap watak yang ada dalam cerita ni sehinggakan aku tak sabar-sabar nak selak muka surat seterusnya. Teknik flashback atau imbas kembali dari awal hingga akhir cerita memang buat aku suspen dan mencabar kesabaranku nak habiskan baca buku ni. Bukan tu je,  boleh buat pembaca pening lalat kalau tak tumpukan pembacaan secara terus menerus kerana setiap cerita berkait dan baru terbongkar segala rahsia yang tersimpan. Akhiran cerita ni buat aku terkelu dan sedih sikit sebab Ain atau Tamara dan Daniel adalah anak kepada Stanley adoi... siapalah kita untuk menolak dan mempertikaikan takdir ALLAH.

Banyak mutiara ilmu tentang penyakit tekanan perasaan dan jiwa yang dapat aku kutip dan pelajari melalui kisah ini. Baru aku tahu penyakit Sleep Walking atau Somnambulisme ialah penyakit seseorang itu berjalan dan tak sedar ketika dalam tidurnya. Berpunca daripada stress atau frustration yang menyebabkan fikiran seseorang itu terbeban. Selalu berlaku kepada kanak-kanak tapi orang dewasa pun ada juga yang mengalaminya. Satu lagi penyakit Dissociative Identity Disorder (DID) iaitu merupakan kelainan mental di mana penderitanya akan menunjukkan ada dua atau lebih keperibadian (alter). Maksudnya pesakit ni selalu ingin jadi orang lain dan ada nama dan beberapa karakter yang berbeza. Child alters pula adalah sebahagian daripada DID. Biasanya berlaku kepada mangsa dera sewaktu kecil.

Semoga kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan dan memberi pengajaran buat kita semua. Ucapan terima kasih daripada hatiku yang paling dalam dan tahniah kepada penulis karya hebat ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang mampu menyedarkan dan buat pembaca muhasabah diri. 
 
 



T.E.R.B.A.I.K
 

 
Sinopsis



Di The Stanley’s Suite Hotel, Tamara merupakan gadis kelahiran Bosnia yang dipelihara oleh orang Malaysia dan dijadikan anak angkat. Penampilannya ayu mengalahkan gadis Melayu, berbaju kurung, bertudung persis ustazah. Tapi pabila terlanggar eksekutif housekeeper yang garang dan cerewet itu, terkeluar habis loghat Negeri Sembilannya.

“Oh, mak kau kopalo jendol!”

“Hey, you! Stop right there!” 



Pertemuan dengan Daniel Haidar berlaku pabila secara tak sengaja dia terlanggar jejaka itu. Kerana terlalu takut, Tamara terus melarikan diri tanpa menoleh pun. Punyalah selama ini dia berhati-hati dan mengelak daripada terserempak dengan salah seorang anak CEO The Stanley’s Suite Hotel itu.

“Does dejavu really happen?”

“Well, according to research, about two thirds of us experience at least one dejavu in our lifetime.” 


Pertemuan dengan Tamara bagaikan dejavu bagi Daniel Haidar. Terasa Tamara begitu dekat di hati. Sudahlah langgar sampai berterabur fail, stafnya itu melarikan diri pula. Kanta lekap berwarna kelabu yang melekat pada fail, menjadi permulaan episod antara Daniel dan pemilik kanta lekap itu.

“Kalau you nak selamat, you ikut apa I cakap.” 



Penyelianya, Cik Eka Kamila memberi arahan agar Tamara tampil dalam rupa baru di hadapan Daniel. Dia perlu jadi seorang perempuan tembam, tapi hanya di depan Daniel. Apa motif Cik Eka? Namun berjaya juga Daniel menemukan si pekerja yang misteri itu. Tapi entah kenapa Daniel bagai tidak peduli dengan rupa Tamara. Siap pelawa makan malam bersama lagi. Sesuatu yang sangat mengejutkan bagi seorang Daniel Haidar yang menetapkan kualiti yang tinggi untuk pasangan hidupnya.

“Have dinner with me tonight...”

“Hah?” 


Apakah Tamara pun sudah jatuh hati? Tapi hatinya sudah lama dihuni oleh Helmi. Helmi yang selalu ada tika dia larut dalam derita yang melemaskan.

KARL – Doktor pelatih yang berwajah Inggeris itu sebenarnya telah lama jatuh hati terhadap Tamara. Meskipun dia tahu rahsia dan aib yang disembunyikan, tapi itu bukan penghalang baginya hendak memiliki si bidadari bermata jeli. Namun kehadiran Daniel menyukarkan keadaan. Di antara Helmi dengan Daniel, abangnya itu lebih memberikan ancaman. Beberapa siri kejadian aneh yang berlaku dalam hidupnya, membuatkan Daniel tertanya-tanya. Dejavu yang Daniel rasakan selama ini apakah benar-benar dejavu? Dan apakah realiti sebenar di sebalik sisi gelap hidup Tamara yang mampu mengubah ramah menjadi marah?



... lagu Ya Rabbana Tharafna ...




No comments:

Post a Comment