Andai BAVARIA Takdirku





Penulis   :  NurulSham Saidin
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Tarbiah Dewasa
Penerbit  :  Galeri Ilmu
Bilangan Mukasurat : 296   

Tarikh Terbitan : 2011
ISBN : 978-983-097-275-6   

Rating : 


Ulasan :

الحَمْد لله dengan izinNYA ini adalah buku ketiga yang aku dah baca selepas Dingin Salju Indiana dan Dingin Salju Wisconsin.  

Secara peribadi, penulis berjaya membuka mata dan akalku akan kisah Aisha gadis Melayu yang telah berkahwin dengan duda anak satu, lelaki Jerman ini. Kisah ini adalah kisah benar perjalanan hidup Pn Nieda dan suami, Wolfgang. Penulis berjaya memperlihatkan keadaan dan kehidupan sebenar berkahwin dengan lelaki warga asing dan menetap di negara asing. Bukan mudah sebenarnya dan perlukan kesabaran dan semangat juang dan jihad yang tinggi. 

Aku tak nak komen panjang lebar. Cukup aku katakan kisah ini buat aku sebak hingga bengkak mata menangis tuhh. Banyak mutiara ilmu yang dapat aku kutip dan pelajari melalui kisah ini.  Ia menyedarkan aku dan buat aku berfikir lebih mendalam lagi akan segala ujian, dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Aisha untuk membimbing suami dan anak tiri yang baru mengenal Islam. Semoga kisah Aisha ini dapat dijadikan inspirasi, teladan dan pengajaran buat semua pembaca diluar sana yang agak teruja, teringin, sedang dan akan berkahwin dengan lelaki warga asing. 

Ucapan terima kasih daripada hatiku yang paling dalam dan tahniah kepada penulis karya hebat ini kerana telah berkongsi sebuah kisah benar yang menggetarkan jiwa dan ragaku. Memang benar, setiap manusia itu tidak sama ujian dan dugaannya. Namun jika kita yakin dan hanya bergantung harap padaNYA,  kita pasti dapat menghadapi setiap yang berlaku dalam hidup kita insya Allah.     


T.E.R.B.A.I.K.

 
Sinopsis :
 
Aisya, seorang wanita Melayu yang berpendidikan tinggi dan menyandang jawatan yang baik telah bertemu dengan seorang lelaki Jerman, Olaf yang ditugaskan ke Malaysia untuk jangka masa dua tahun. Pertemuan yang pada mulanya sebagai sahabat itu kemudiannya membuahkan rasa cinta dan berakhir ke gerbang perkahwinan dua tahun kemudian.

Kisah bermula apabila Aisya perlu mengikut suami pulang ke negara asalnya, dan tinggal di sebuah kampung pedalaman di Obermichelbach, Bavaria, Jerman. Di sinilah Aisya mula merasai cabaran sebagai seorang Muslim yang hidup di kalangan penduduk beragama Kristian yang sangat tradisional.
Namun, dia mendapat kekuatan untuk menyesuaikan diri kerana suaminya yang penyayang dan sangat memberati agama Islam. Kala itu, Aisya berpendapat bahawa dia harus berada di sisi suami kerana satu lagi tanggungjawabnya adalah untuk membantu suaminya mempelajari syariat seperti solat dan membaca Al Quran.

Dari segi ketauhidan, suaminya tiada keraguan lagi. Kekuatan Aisya adalah abangnya, Ustaz Ashrof yang telah mengingatkannya untuk bersabar, menjadi cerdik dan mengambil keputusan yang betul apabila telah berkeputusan untuk berkahwin dengan seorang yang situasi hidupnya seperti Olaf itu.

Novel ini juga menceritakan tentang perspektif popular masyarakat Eropah mengenai Islam dan kaitannya dengan perang salib. Ia juga memaparkan keadaan cuaca dan musim di Jerman serta masyarakat Islam di sana. Juga diselitkan cara penyediaan makanan orang-orang di sana.

Dugaan sebenar Aisya bermula sepeninggalan Olaf ke Palestin untuk satu misi bantuan keamanan. Olaf dilaporkan hilang dalam misi tersebut. Apakah kesudahannya ?





Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-


Kata orang, cinta itu boleh mencipta keajaiban.
 Kosher adalah daging sembelihan orang-orang Yahudi dari bangsa Israel sahaja.

Ya Allah, aku meminta kepadaMU, semoga diberikan kekuatan menghadapi waktu-waktu kehilangan ini. Semoga aku tidak hilang kewarasan.

Menggenggam bara api, biarlah sampai jadi abu.
Selagi diberi nyawa, hiduplah dengan berani.

Tidak berlaku semua kepedihan ini, 
melainkan ALLAH mahu menjadikan kamu seorang yang besar. 

Apabila kita yakin dan bergantung penuh padaNYA, 
kita akan tabah menerima apa sahaja ujian yang terjadi dalam hidup kita.

Tanpa halangan dalam kehidupan,
kehidupan itu tidak akan terasa manisnya.

Setiap sesuatu kejadian itu ada sebab-musababnya untuk berlaku


 
... lagu Kembara Di Tanah Gersang  - Al Jawaher ...
 





No comments:

Post a Comment