Tiba-Tiba, Dia Ada

 



Penulis  : Rehan Makhtar
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit : Penulisan2u
Bilangan Mukasurat : 647
Tarikh Terbitan : January 2014
ISBN : 978-967-0567-21-1
Rating : ★★






Ulasan :

Pertama kali 'membedah siasat' karya penulis ini setelah terlihat tajuk yang agak simbolik ini di perkongsian geng goodreads. Ia seakan menggamit hatiku untuk menyelongkar karya penulis yang baharu sahaja aku kenali ini.


Karya mengisahkan tentang Aryana Mukhlis (Arya) yang berusia 29 tahun, telah diminta menerima pinangan mengejut atas perancangan keluarga kedua-dua belah pihak yang bersahabat baik setelah berlaku satu kisah yang tidak diketahui oleh Arya. Walaupun pada mulanya Arya berat hati untuk menerima Zakhri Adha (Ayie) kerana perbezaan usia yang 7 tahun lebih muda dari Arya dan masih lagi belajar di Universiti di Berlin. Namun Arya akhirnya menerima pinangan tersebut dan akur dengan pilihan harapan mama dan papanya malah menganggap ia adalah jodoh yang telah ditakdirkan untuknya. Tetapi sehari selepas mereka bernikah, alangkah terkejutnya Arya setelah terdengar perbualan Ayie sekeluarga tentang 'kisah Gay Ayie' sehingga terjadinya perancangan menyatukan mereka berdua.

Namun Arya pasrah dan bertekad untuk membantu dan percayakan Ayie dan akan bersama-sama di samping Ayie untuk mencari kebenaran kisah itu. Setelah berada di Berlin, baharulah Arya mengetahui kisah sebenar Ayie dan mula mengenal cinta Ayie. Walaupun Ayie lebih muda dari Arya tetapi Ayie sebenarnya lebih matang, bertanggungjawab dan sentiasa mengajarnya erti cinta sebenar dalam melayari bahtera rumah tangga yang masih hijau itu. Namun di saat kebahagiaan baru menjelma, Arya terpaksa meninggalkan Ayie untuk membantu projek papanya yang menghadapi masalah. Kemudian, muncul pula fitnah tentang Ayie dan Ayie terlibat dalam kemalangan kereta dan hilang ingatan kerana mengalami sindrom prosopagnosia. Ujian dan dugaan ini terpaksa diharungi oleh Arya  demi meraih semula cinta dan kasih seorang suami yang telah diciptakan untuknya. Mampukah Arya mengharunginya ? Kalau nak tahu bagaimana kesudahan cerita ini, mesti dapatkan buku ini ye....    



Seandai dirinya tercipta untukku, relaku menjadi miliknya.

Perjalanan hidup tak seperti yang direncana. Ada masa perkara tak diduga mencelah. Ohmai... Pening. Ini kehendak mama dan papa yang kononnya bukan paksaan tapi harapan. Aryana rela untuk menjadi milik Zakhri Adha yang lebih muda daripadanya. Tiba-tiba dia dipinang, ditunangkan, dinikahkan lalu tiba-tiba suami segera ada di sisi.

“Bukan apa. Kot-kotlah Arya rasa kita ni tipikal kahwin paksa. Lagipun mesti Arya terkejut lagi. Yalah, tiba-tiba aje saya ada, kan?” – Ayie

“Kita bukan kahwin paksa pun. Tak mainlah tipikal kahwin paksa, okey. You’re my husband. Islam ajar, di mana tempatnya seorang isteri kalau tak di sisi suami?” - Arya

Aryana mencuba sedaya upaya menjadi isteri Ayie yang matang, tak padan dengan usianya. Ayie yang selalu mengusik, menyakat dan menzahirkan sayang dengan cara yang tersendiri.

“Such a sweet talker...” - Arya

“Told ya... I was born with it...” – Ayie

Tapi, tipu kalau dia tak rasa curiga. Ada ‘bau-bau hanyir’ dengan pernikahan tiba-tiba ini. Puncanya ada di bumi Berlin sana. Lalu mereka terbang ke Deutschland mencari jawapan tentang segalanya. Hinggalah dugaan hebat menyapa, tanpa sapaan dan salam. Menguji kesabaran Aryana sebagai isteri dan kematangan Zakhri Adha sebagai suami.

“So, Ayie cam tak siapa depan Ayie ni?” - Arya

“Yes, ini Aryana. Isteri Ayie. Haruman yang sama, gaya lenggang yang sama dan debar hati Ayie ni sama bila dia ni ada dekat...” - Ayie

Mereka tahu keindahan cinta berpaksikan ijab dan kabul ini tak akan terlepas daripada dicemari fitnah dunia. Dan mereka juga tahu dugaan itu bukan untuk dielak tapi ditewaskan. Adakah mereka berjaya menghadapinya?




...inilah lagu Bisikan Nurani - In-Team yang diperdengarkan oleh Ayie kepada Mummy to-be Arya ...





Pendapat peribadi aku, karya penulis ini boleh dikatakan hampir kepada genre romantik komedi dan memang tidak mengecewakan aku. Tema dan plot ceritanya berkaitan cinta perbezaan usia yang hadir selepas nikah. Gaya penulisan bahasanya bersahaja dan menghiburkan. Walaupun terdapat beberapa kesilapan perkataan dan ayat dalam karya ini, namun aku kira masih boleh diterima dan diperbaiki dan harap penulis akan lebih berhati-hati dalam karya di masa akan datang. Watak-watak utama dalam karya ini berjaya mencuit hati aku. Walau bagaimanapun, aku memang jatuh hati dengan watak romantik 'Ayie' yang mempunyai auranya yang tersendiri dan tahniah kepada penulis kerana berjaya menghidupkan watak-watak penting dalam cerita ini secara keseluruhannya dan memeriahkan suasana cerita ini melalui dialog 'sempoi' dan dialog/monolog aksi nakal dan bersahaja. 

Terima kasih kerana berkongsi dan berjaya menghasilkan karya yang bukan sahaja mencuit hati malah menyedarkan dan mengajak pembaca untuk sama-sama merenung, menerima dan yakin jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita adalah yang terbaik, terindah dan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Terima dan kasih pasangan kita kerana Allah dan terima kekurangan dan kekhilafan pasangan sebagai satu kesempurnaan dalam melayari alam rumahtangga. Perbezaan usia pasangan suami isteri itu bukanlah satu penghalang yang besar dalam melaksanakan amanah Allah melayari bahtera perkahwinan. Hormati suami walaupun suami lebih muda dari isteri dan sentiasa meletakkan hak dan tempat suami itu di kedudukan yang paling tinggi selepas Allah. Semoga dipermudahkan dan Allah akan pandu kita melayarkan bahtera rumah tangga ini hingga ke syurga-Nya, insya-Allah.

 

"...Gott sei Dank, ich habe sie..."
"...Thank you Allah, I have you..."



kalau ingin tahu lebih lanjut karya penulis boleh klik link ini ye ... 


 

Bukan Hanya Ada Kita






Penulis  :  Nazurah Aishah
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 543
Tarikh Terbitan : April 2013
ISBN : 978-967-0508-12-2
Rating :









Ulasan :  

Semalaman aku 'membedah siasat' isi kandungan karya ini walaupun beberapa kali aku cuba berhenti dari meneruskan misi ini dan agak payah untuk aku menghabiskan hingga ke muka surat yang terakhir. Apa yang pasti karya poligami penulis ini sungguh berat untuk aku menghadamnya kerana ia sememangnya menjeruk pelbagai rasaku. Aku mengakui sememangnya karya ini pasti akan membuat ramai insan yang bergelar isteri yang akan terluka, kecewa dan patah hati bila membaca karya ini. Dan aku merasakan penulis karya ini cuba menyelami, meluah dan berkongsi rasa, jiwa dan perasaan seorang isteri kedua (Medina), isteri pertama (Aiza) dan suami (Zahrin). Namun begitu, aku dapati dalam karya ini penulis lebih banyak memperlihatkan watak Medina sebagai isteri kedua yang lebih mempunyai keistimewaan di hati Zahrin  yang nyata keistimewaan inilah yang tidak ada pada watak Aiza isteri pertama dalam karya ini. Sebagai seorang isteri aku juga terasa tempias bagaimana luluh hati Aiza dan sejujurnya kenyataan ini memang amat memilukan dan amat menghiris hatiku.

Okey aku tidak mahu beri komen lebih-lebih dari pembacaan karya ini kerana aku rasa kisah yang cuba dipaparkan oleh penulis ini agak menyesakkan dada dan meruntun jiwaku yang bergelar seorang isteri ini. Dan yang pasti selepas ini aku tidak mahu lagi membaca karya tentang poligami yang sungguh mengganggu gugat ketenteraman hati nurasi ku ini. Walau bagaimanapun, tahniah kepada penulis ini kerana berani dan berjaya mengupas, berkongsi dan mengajak pembaca bersama menghayati dan memahami konflik dalaman poligami yang tidak terjangkau dek akal ini. Terima kasih juga pada review geng goodreads for recommendation sehingga aku boleh terbaca karya yang sungguh mengegar rasa. 



Hati ingin selalu bersama kerana dialah bahagia, tetapi dalam dunia ini... Bukan Hanya Ada Kita.

Telah ditakdirkan bahawa aku, Medina akan menjadi isteri kedua kepada Zahrin, biarpun aku telah berikrar tidak akan sekali-kali menyakiti hati perempuan lain sebagaimana hati ibuku.

Dia bahagia yang aku pinjam tanpa izin... dan aku tidak akan menuntut lebih daripada apa yang Aiza dapat. Aku tidak akan menyusahkan Zahrin kerana aku mahu jadi ‘jiwanya yang tenang’.

Salahkah senyum ini pabila ada insan lain yang bersedih? Berdosakah bahagia ini apabila nanti ada insan lain yang menjeruk rasa?

Tidak ada perempuan yang dengan mudahnya reda menerima seorang lagi perempuan dalam hidup suaminya. Dan aku tidaklah terlalu kejam untuk meranapkan kebahagiaan orang lain.

Jika bahagia ini milik kita biarlah kita berteman sampai abadi. Jika ini bukan jalannya biarlah kita dibentangkan pilihan yang mendamaikan.



kalau ingin tahu lebih lanjut karya penulis ini boleh klik link ...  
Nazurah Aishah



Tunas





Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 539
Tarikh Terbitan : 2008
ISBN : 978-967-5118-06-7
Rating : ★★





Ulasan :

Alhamdulillah akhirnya aku berjaya dapatkan karya terakhir ini dan aku rasa lengkap sudah semua karya penulis hebat ini aku baca. Dan barulah aku faham jalan cerita sebenar untuk karya "aA + bB" yang telah pun aku baca pada tahun lepas. Sebab banyak yang aku tidak faham semasa aku membacanya dulu. Kini baru terbongkar rahsia mereka berdua dan baru aku faham jalan cerita sebenarnya.

Sejujurnya, membaca karya ini membuat aku tersenyum sendiri dan banyak mengimbas kenangan semasa zaman persekolahan aku dahulu. Walaupun kenangan semasa zaman sekolah menengah dahulu tidaklah sehebat sepertimana dalam karya 'tunas' ini namun jika masa dapat diputar kembali ke zaman itu, aku rasa sangat bahagia sekali. Dan kalau boleh aku rasa ingin kekal di dalam zaman itu hingga bila-bila...ianya sungguh manis sekali. Pastinya ia akan tetap ku paterikan dalam kenangan abadiku hingga akhir hayat.

“Akak nak bunga apa? Sebut aje.”

Lee pula yang menyambung.

“Bunga ros? Bunga matahari? Bunga carnation? Bunga lili? Bunga raya?”

Dia membilang dengan jari tangan.

“Bunga bakawali? Bunga teratai? Bunga orkid? Bunga plastik? Bunga lawang? Bunga cengkih?”

Budak bertujuh itu memandang Addin tak berkelip.

“Tulip ada?”

“Kenapa mesti akak mintak the only flower yang kita orang tak ada?”

A-Cid berpaling ke belakang.

“Benz, one red rose, full-bloom, with baby's breath in a bouquet, please. Wrap with white organza."

Dia memetik jari.

“Pink ribbon.”

Benz memandang A-Cid dengan muka yang tak boleh dibaca.

“The I-Love-You ensemble?" Keningnya terangkat sebelah.

Addin jatuh rahang bawah. The-what???

“A-Cid! Akak memang tak main la benda-benda macam tu....”

“I’m Panah Arjuna. I spread the love.” Selamba dia menuturkan dengan muka toya.

Masihkah anda ingat pada Benz dan Addin, dalam novel aA+bB?



'tunas' mengundur beberapa tahun ke belakang, untuk menyingkap sebahagian persoalan, sebahagian rasa dan sebahagian kisah, tentang Nur Addin Shah & Benz Alif  serta Magnificent 7 suatu waktu dulu. Menceritakan bagaimana Addin menjalani kehidupan bersekolah asrama dan bagaimana bermulanya pertemuan di antara Addin & Benz semasa di tingkatan 5. Menyelongkar bagaimana pertemuan itu telah menyebabkan meletusnya perang dingin di antara mereka berdua. Juga menyelami hati dan perasaan di antara dua jiwa yang sama-sama keras kepala, keras hati dan keras kata-kata sehingga terjadinya jurang yang berlarutan di antara mereka berdua.


Hlovate - Love and Hate 

You wonder
is it angel or yet
Maybe a sweet dream
that you can't forget

So close yet far-fetched
Causing you to float on the line
between reality and fantasy

Haunted the nightmares
Creates the ecstasy
Hlovate~oh poisonous honey

Love and hate
Driving me crazy
The poison ivy of Venus
Killing with venom so sweet

You're losing your head
Don't want it yet
it keep haunting
Losing yourself in the suffocating mist...





Ya Maulana





Penulis   :  Hana Ilhami
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Karya Seni
Bilangan Mukasurat : 1021
Tarikh Terbitan : July 2013
ISBN : 978-967-0246-51-2
Rating :

Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Ya Maulana adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku baca dan karya ini aku kira paling simbolik, unik dan boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah berbanding dengan novel-novel lain yang pernah aku baca setakat ini. Ini kerana penulis ini bukan sahaja berjaya menyingkap sebuah kisah seorang Maulana yang berjaya mendidik seorang wanita yang jahil berubah menjadi seorang wanita yang beriman, malah berjaya mengangkat martabat seorang Maulana dan kisah ini untuk dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup para pembaca. 

Secara tidak langsung, penulis juga berjaya mentarbiah pembaca apakah tanggungjawab sebenar seorang khalifah di atas muka bumi Allah ini. Selain meningkatkan material jangan abaikan pula kerohanian, pengabdian kita kepada Allah dan sentiasa memastikan segala tindak tanduk kita berlandaskan al-quran dan sunnah Rasulullah SAW. Segala yang dilakukan hendaklah atas kerelaan hati demi mencari keredaan Allah SWT. Selain itu, penulis juga banyak menyelitkan mutiara kata, hadis dan sunnah Nabi yang sekaligus menjadikan karya ini amat berbeza sekali dengan novel yang lain di pasaran.

Ya Maulana mengisahkan tentang Mohamad Iqbal Datuk Salam yang mengambil alih pengurusan Pulau Sayak Resort dan Darul Ulum dan cuba mempertahankan rumah anak yatim Darul Ulum At Taufiqiyah di tapak asal tanah pusaka datuknya daripada dipindahkan ke tempat lain untuk pembangunan hotel resort. Kedatangan Cik Adra anak Tan Sri Haniff  pemilik projek pembangunan hotel yang lincah dan moden ke Kampung Pulau Sayak bagi membincangkan pembinaan hotel tersebut telah menyebabkan berlakunya insiden sehingga Maulana Iqbal mengambil keputusan menikahi Adra Liyana. 

Pelbagai konflik dan tekanan dalaman keluarga dan penduduk kampung terpaksa dihadapi oleh Iqbal, di samping cabaran dan ujian yang perlu dihadapi dalam melayan karenah dan mendidik isteri yang baru dikenali itu. Manakala Cik Adra pula terpaksa mengharungi kehidupan di tempat baru yang amat berbeza bersama orang yang paling dibenci berada di dalam keadaan dilema di antara memenuhi kehendak daddynya bagi meneruskan rancangan projek tersebut dan menjadi isteri kepada Maulana Iqbal. Kalau nak tahu apakah yang terjadi sehingga mereka boleh bernikah ? Adakah Darul Ulum berjaya dipindahkan? Kalau nak tahu bagaimana kesudahan cerita ini, mesti dapatkan buku ini ye....

Adra Liyana, maksudnya si perawan cantik yang lemah lembut. Tetapi sayang, watak tidak secantik namanya. Si anak Tan Sri berambut karat, bermini skirt masuk kampung dengan sebuah agenda, untuk memindahkan Darul Ulum dan membina hotel resort di atasnya. Baginya, Maulana Iqbal tidak ubah seperti seorang ustaz Gothic yang poyo! Dengan berjubah dan berserban bagai.

Maulana Iqbal, Dunianya hanya Darul Ulum At-Taufiqiyah. Al-Quran yang penuh di dalam dada menjadi modal buat pembimbing bakal-bakal hafiz. Hasil tarbiah madrasah, maka lahirlah seorang maulana di Kampung Pulau Sayak.

Pendapat peribadi aku, karya ini merupakan antara karya yang paling terbaik pengisiannya yang pernah aku baca setakat ini. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja buat aku tersedar dan menginsafkan aku malah membuatkan aku berfikir panjang, aku terasa seperti berada di dalam watak Adra, jiwaku meronta untuk berubah menjadi seperti wataknya di akhir cerita ini sehingga menitiskan airmataku dan sungguh terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam. Sejujurnya aku mengakui aku juga masih banyak kekurangan dan menginsafi kekhilafan diri ini. Masih banyak tanggungjawabku yang tidak terlaksana dan perlu diteruskan walau sebesar mana sekalipun ujian dan dugaan duniawi yang perlu aku tempuhi, permudahkan aku ya Allah untuk menjadi wanita beriman dan isteri solehah insya-Allah dan aku memohon keredhaan-Mu.

...inilah lagu Awie Wings - Tiada Rahsia Antara Kita yang dinyanyikan oleh Mualana kepada Adra ...




...ini pula lagu D'Baginda - Suka Sama Kamu yang dinyanyikan oleh Maulana kepada kepada Adra ...

 

Di sebalik kisah yang sungguh membuai rasa dan jiwa ini, aku cuba menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa jodoh, rezeki dan ajal maut semuanya hanya Allah yang Maha mengetahui. Tidak ada siapa yang boleh mengubah. Di antara mutiara nasihat dan sunnah Nabi SAW yang ingin dikongsikan bersama dalam karya ini dan perlu dijadikan ikutan dan amalan :-

- Memberi salam ialah sunat tapi menjawab salam ialah wajib.
- Menyambut tetamu dengan baik ialah sunnah Nabi SAW.
- Lelaki dan wanita yang bukan mahram haram bersentuhan.
- Bila bersin, kita ucap syukur kepada Allah "Alhamdulillah".
- Ada kelebihan sunnah dalam berjubah dan berserban.
- Khidmat adalah yang kedua penting selepas dakwah. Jangan tunggu disuruh khidmat, atau lari daripada  berkhidmat. Kita kena cari peluang untuk memberi khidmat.
- Berbincang atau mesyuarat ialah sunnah Rasulullah SAW
- Apa saja percakapan atau perbuatan kita, kena sentiasa berhubung kait dengan Pencipta. Kalau dapat dilafazkan, itulah yang terbaik kerana itulah dakwah. Jika tidak ingatkan sahaja dalam hati.
- Hati ialah tempat iman terbentuk. Jika hati bersih, tidak ada sifat dengki dan iri hati, bahkan akan timbul rasa kasih sayang sesama umat.
- Nabi SAW berpesan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamu dan wajib melayan tetamu selama tempoh tiga hari. Selepas tempoh itu bukan dikira tetamu lagi.
- Lelaki beriman hendaklah menundukkan pandangan daripada wanita ajnabi.
- Nabi SAW berpesan antara empat kriteria cantik, berharta, keturunan yang disegani dan agamanya, pilihlah yang paling kuat agamanya sebagai calon isteri/suami.
- 500 dirham perak ialah mahar yang diberikan oleh Nabi SAW kepada Siti Aisyah radiallahuanhu. Sebagai tanda menghargai wanita, memberikan mahar yang berpatutan adalah sebaik-baiknya. 

- Solat berjemaah adalah lebih afdal bagi lelaki. Dan lagi baik berjemaah dalam kumpulan yang ramai.
- Makan dengan menggunakan jari ialah sunnah dan dapat ganjaran pahala sunnah.
- Bacalah "Assalamualaina waa'la i'badillahissolihin", salam yang diberi sebelum memasuki rumah yang tiada berpenghuni. Memasuki rumah hendaklah didahului dengan kaki kanan.
- Surah Yasin merupakan surah yang dibacakan oleh Nabi SAW setiap pagi. Barang siapa yang membaca Yasin pada pagi hari, nescaya akan disempurnakan atau diselesaikan segala keperluan atau masalahnya sepanjang hari itu.
- Suami bertanggungjawab untuk memastikan solat isterinya sempurna. Solat tak sempurna kalau aurat dalam solat tak dijaga dengan sempurna.
- Makan sama-sama ini sunnah. Suami isteri elok makan sepinggan atau sedulang untuk tambah kemesraan dan kasih sayang.
- Saudara susuan haram bernikah. Sepupu rapat masih dikira ajnabi. Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya)
- Tidak boleh bersalaman dengan anak saudara suami/isteri kerana mereka bukan mahram. Mahram seorang wanita ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi :-
1. Bapa kandung                            6. Anak susuan
2. Bapa mertua                               7. Saudara lelaki kandung
3. Bapa susuan                               8. Saudara lelaki susuan
4. Anak kandung                            9. Anak saudara lelaki
5. Anak tiri (yakni anak suami)      10. Bapa saudara
- Apabila isteri buat salah pada suami, wajib minta maaf, salam dan cium tangan.
- Tutup aurat bukan setakat tutup rambut dan tutup kulit. Malah sembunyikan segala perhiasan diri. Tidak boleh pakai pakaian yang menampakkan bentuk tubuh.
- Adab ketika minum baca Basmalah kemudian hirup sekali, berhenti, hirup kali kedua, berhenti, hirup kaki ketiga. Usai tiga kali tegukan barulah hirup hingga hilang dahaga.
- Kemaafan ialah penawar bagi segala dendam.
- Ucapkanlah "Hasbunallah wa nikmal wakil. Nikmal maula wanikmal nasir. Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung" bila dalam keadaan marah.

- Cinta agung ialah cinta yang berlandaskan agama.  Tidak salah kalau  mencintai sesama makhluk jika tujuannya untuk meraih cinta Allah sepertimana cinta para sahabat dan sahabiah kepada Rasulullah.
- Cinta antara uda dan dara pun tidak salah asalkan dipandu atas jalan-Nya melalui ikatan yang halal.
- Apa yang kita mahu tidak semestinya baik untuk kita. Namun apa yang kita tak suka belum tentu tak baik pada pandangan Allah.
- Wanita paling mudah masuk syurga Allah. Bila seorang perempuan itu taat perintah Allah dengan mentaati Rasul dan suaminya, dia boleh masuk mana-mana pintu syurga yang dia suka.
- Tujuan perkahwinan bukan untuk nafsu semata. Perkahwinan ialah jalan menuju kepada Allah.Meramaikan umat dan mengembangkan syiar Islam. Segala amalan dilipatgandakan apabila telah berpasangan. Itu janji Allah.
- Ada banyak nikmat yang Allah kurniakan di dunia ini. Nikmat iman ialah nikmat yang paling berharga berbanding segala kenikmatan yang Allah beri kepada kita.
- Tujuan Islam memerintahkan hijab adalah untuk melindungi kaum wanita. Lelaki ini ada satu nafsu. Tapi nafsunya yang satu itu sangat besar dan boleh memusnahkan dirinya sendiri ataupun orang lain kalau tidak dikawal. 
- Jangan harap pada makhluk tapi harap kepada Allah. Jangan meminta kepada makhluk tapi mintalah hanya kepada Allah. Semuanya berada di dalam genggaman-Nya.
- Bacalah surah Al-Mulk selepas Maghrib kerana ia boleh membantu kita sewaktu di alam barzakh nanti.
- Usai membaca Al-Quran kucuplah tiga kali sebagai tanda menghormati al-Quran.  
- Beri salam setiap kali masuk ke dalam rumah. Walaupun rumah tidak ada orang pun perlu beri salam cuma cara bacaan salam berbeza sedikit daripada bacaan salam rumah berpenghuni.
- Dalam Islam tidak seharusnya bersandarkan kepada ucapan ' kalau '. Sesuatu yang terjadi adalah qadak dan qadar yang wajib diimani setiap orang Islam. Semua yang berlaku ada hikmah-Nya.
- Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan kepada hamba-Nya melainkan telah sedia ada di dalam pengetahuan-Nya. Semua yang terjadi pasti ada hikmah-Nya.
- Lailahaillaahhah merupakan kalimah iman manakala Muhammadur Rasulullah pula ialah kalimah amal. Iman dan amal mesti bergandingan barulah sempurna iman kita. Dengan mengamalkan sunnah bermakna kita melaksanakan perintah Allah. Sunnah terbahagi kepada surah, sirah dan sarirah. Surah adalah apa-apa yang Nabi SAW buat dalam kehidupan harian. Apa yang Nabi SAW pakai, makan, minum, tidur, akhlak Nabi, semua itu mendatangkan pahala yang besar kalau kita dapat amalkan. Mengamalkan sunnah pada akhir zaman terutama dari sudut penampilan diri, bukan mudah. Kita amal sunnah untuk sukakan Allah, bukan untuk tarik perhatian manusia. Kita amal surah hanya untuk diri kita tapi sarirah Nabi adalah untuk seluruh umat. Sirah ialah perjalanan hidup Nabi yang kita boleh ikut.

" Tidak sempurna iman kamu selagi kamu tidak mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri " ~ Hadis Nabi SAW

" Hadis ini ialah dalil yang kukuh tentang betapa pentingnya sifat ikram. Mengasihi saudara maknanya bantu saudara kita. Jangan sesekali ada sifat mementingkan diri. Biar kita susah asalkan orang lain senang. Inilah iman. Iman letaknya dalam hati. Kalau hati kotor susah nak tempatkan iman. Sebab itu kita kena bersihkan hati kita dengan zikrullah. Cuba amal dan bawa sunnah Nabi sebaik mungkin. Bawa cara fikir Nabi dalam apa jua suasana. Sentiasa mendahului kepentingan orang lain berbanding diri sendiri. Sentiasa cuba bawa orang lain amal agama sepertimana yang dapat kita amalkan, bahkan lebih baik lagi daripada apa yang kita mampu amalkan. Inilah dakwah ilallah " ~ Maulana Iqbal
 
- Kita doa, usaha dan tawakal. Selebihnya biar Allah yang menentukan.
- Hati kita milik Allah dan Allah boleh ubah bila-bila masa saja.
- Anak yang soleh ialah harta yang paling berharga. Tiada nilai yang setaranya walau dikumpulkan seluruh kekayaan yang ada di dalam dunia sekalipun. Anak yang soleh menjadi tiket ke syurga buat ibu bapa.
- Dunia ini umpama fatamorgana (tidak kekal dan hanya bayangan kita). Tapi kita masih perlu lalui dan teruskan. Cuma jangan sampai tertipu dengan kemewahan dunia kerana semua itu hanya sementara.
- Pembangunan duniawi mestilah sejajar dengan pembangunan ukhrawi. - 
- Mana yang patut didahulukan antara keperluan agama dan keperluan keluarga asalkan tidak bertentangan dengan syarak. 
- Kerja sebenar bagi manusia adalah dakwah Ilallah. Di samping mencari keperluan hidup harian, tugas mensyiarkan agama jangan sesekali ditinggalkan. Dakwah itu tidak susah, dengan beri salam, tunjuk akhlak yang baik, cerita tentang kebesaran Allah, tentang akhirat, tentang tanggungjawab sebagai khalifah, maka maksud dakwah itu sudah tercapai.

Semuanya hanya dengan izin Allah. Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Hana Ilhami kerana telah berkongsi karya hebat ini dan berjaya menghasilkan karya yang sungguh padat, mantap dan puitis sehingga menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Semoga cahaya iman terus menyinari hidupku sekeluarga insya-Allah.




Ked's Story




Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Saiz Fail :  0.46 MB
Tarikh Terbitan : 2009
ISBN : 978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
Rating : ★★






Ulasan :

Ked's Story karya Hlovate merupakan salah satu ceritera cerpen yang terkandung di dalam buku 'Pelangi' yang menghimpunkan karya tiga penulis iaitu Syud, Hlovate dan  Noor Suraya.

Karya ini mengisahkan tentang Khalid Faizal atau lebih dikenali dengan Ked aka 'Ked Flop of Wrath' seorang budak skater yang dunianya hanya tahu skate aje. Ked adalah abang Minn dalam karya 'Versus'. Digambarkan sebagai budak skater yang ala-ala skema, seorang anak yang mendengar kata, abang yang penyayang dan agak konservatif dalam menjaga batas pergaulan.  Walau pun pertemuan pertamanya dengan Nawal aka Lady telah menyebabkan Ked mengamuk tahap tak ingat pada Nawal, namun hadiah dari Nawal telah berjaya menyejukkan hati Ked. Mereka kemudian tidak pernah lagi berjumpa selepas kejadian itu. 

Selepas tiga tahun sambung pelajarannya di Florida-Virginia, telah menemukan semula Ked & Nawal sewaktu menemani sahabatnya Hadi berjumpa dengan Diana sahabat Nawal. Pertemuan yang tidak disangka itu telah menimbulkan suatu perasaan di hati Ked walaupun berkali-kali dia cuba untuk menidakkannya. Malah pertemuan selama enam tahun itu telah memulakan persahabatan di antara mereka sehingga mereka kembali ke tanahair dan mula bekerja. Jadi, kalau nak tahu bagaimana kesudahan cerita ini, kena dapatkan cerpen ini ye....


Untuk makluman, sebenarnya karya ini aku baca secara online di www.e-sentral.com iaitu e-book Malaysia portal yang secara tidak sengaja aku jumpa setelah tercari-cari semua karya penulis pujaan hatiku ini. Alhamdulillah akhirnya dapat juga aku baca kisah Ked yang buat 'naik bulu roma' aku ni.  Sejujurnya setelah habis baca karya ini baru aku dapat tahu siapa sebenarnya Ked dan Nawal dalam karya 'Versus' dan baru aku dapat memahami keseluruhan isi cerita dalam kebanyakan karya penulis hebat ini. Dan aku rasa dalam setiap karyanya aku dapat menghayati mutiara indah dan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis hebat ini. Walaupun jalan cerita yang cuba dipaparkan nampak seakan kurang menarik kerana kisah tentang anak muda skaters. Namun penulis berjaya mendidik dan menyedarkan dan secara tidak langsung mengajak pembaca untuk sama-sama mencari jati diri sebagai seorang Muslim yang sebenarnya.




Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-


"Korang punya mindset aku respect, so please treat mindset aku dengan cara yang sama. Relationship bagi aku ada satu ending je. Marriage. Aku tak nak bawak awek lawa seksi ke hulu ke hilir buat teman sosial macam dah kahwin, lepas tu dah nak kahwin nanti cari lain pulak. Aku nak wife aku nanti, yang tak pernah disentuh dipandang lelaki selain daripada yang patut. Dan aku tak rasa patut untuk aku buat macam tu pada mana-mana perempuan yang bakal jadi isteri orang jugak satu hari nanti."  ~ Ked


"...This danger is romanticism, which lead people to live, not according to their reason, but according to their emotions; that is according to their desires, hatreds, their susceptibility to temptations and their whims..." ~ (Romanticism: A Weapon of Satan by Harun Yahya)







Kenangan Terindah





Penulis  :  Hezzy Azra
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat : 521
Tarikh Terbitan : 2008
ISBN : 978-983-124-395-4
Rating :





Ulasan :

Alhamdulillah, akhirnya aku dapat juga habis baca karya terakhir Hezzy Azra ini walaupun terpaksa 'bersengkang mata' dan mencuri masa dan tidak sabar untuk 'membedah siasat' isi perut buku ini pula.

'Kenangan Terindah' merupakan karya kedua penulis hebat ini TETAPI baru je menjadi koleksiku walaupun aku dah dikira sudah 'ketinggalan keretapi' sebenarnya. Setelah membaca hampir semua karya penulis ini, aku kira setiap karyanya mempunyai jalan cerita dan mesej yang berbeza dari kebiasaan. Penulis bukan sahaja berjaya mencipta dan menggambarkan setiap watak dengan begitu berkesan sekali malah setiap watak memberi kesan yang cukup terasa 'getarnya' pada aku. Dan inilah satu-satunya cerita yang aku rasa memang 'berpijak di bumi yang nyata'.




SANGGUP berkorban tanda cinta, tetapi Marisa tidak rela mempersiakan usia muda untuk berkahwin dengan Ridzwan. Apatah lagi selepas itu terpaksa berpisah kerana Ridzwan ingin melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bukan bermakna cintanya tiada harga. Dia tahu, Ridzwan keliru dalam mengukur sejauh mana cintanya. Mustahil Ridzwan tergamak membiarkan diri berpaut pada yang lain, menabur duri pada cintanya. Namun, hati lelaki sememangnya sukar dijaga. Kesetiaannya pedih dicalar luka.


Kemudian, dugaan membadai lagi. Ayah tercinta pula pergi buat selamanya. Tanggungjawab pada keluarga dan syarikat digalas di usia muda. Kesabarannya berbalas, TUHAN hadirkan seorang insan untuk menghapuskan air mata, merawat lukanya dan berada di sisi... ketika suka atau duka.  

Masa berlalu... Ridzwan kembali menagih cinta. Hati Marisa tidak pernah keliru, cintanya terhadap si dia semakin menebal. Namun, dirahsiakan nama si dia daripada pengetahuan Ridzwan, tidak mahu lelaki itu tersalah anggap. Ketika rahsia tersingkap, dapatkah Ridzwan menerima kenyataan yang dia kenal insan itu?



Sejujurnya membaca karya penulis ini membuatkan aku banyak mengimbas kenangan lama. Penulis berjaya buat aku rasa 'tak senang duduk' dan memang menguji tahap kesabaran aku betul. Dan aku mengakui karya kali ini lebih melelahkan aku untuk habis baca sebab watak Marisa, Ridzwan dan Akmal dalam karya ini masing-masing mengalami banyak tekanan dan dugaan dan buat aku rasa geram. TETAPI akhir ceritanya pada aku memang sebak dan menyentuh hati dan buat aku tersenyum bahagia bila akhirnya Ridzwan dan Akmal kembali berdamai dan menjalin semula persahabatan juga dapat menerima kenyataan bahawa Akmal adalah lelaki yang paling tepat dan selayaknya untuk Marisa.  

Setiap takdir yang Allah dah tentukan adalah yang terbaik untuk setiap insan. Namun seperti biasa aku kurang puas hati dengan 'ending' Ridzwan dan Gina kerana aku mengharapkan akhiran ceritanya lebih dari itu. Apa-apa pun aku tidak mahu  'comment'  lebih-lebih tentang karya ini dan terbawa-bawa dari pembacaan karya ini he he he.... Terima kasih dan tahniah kepada Hezzy Azra kerana berjaya menghasilkan karya hebat yang sungguh terkesan di hati ini.  Ia bukan sahaja dapat aku jadikan teladan dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan malah sebagai pedoman dalam menilai dan menghakimi seseorang atau pasangan kita.




kalau ingin tahu lebih lanjut karya Hezzy Azra boleh klik link ni... Hezzy Azra


.

Melodi Kasih




Penulis  :  Hezzy Azra
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat : 472
Tarikh Terbitan : 2007
ISBN : 978-983-124-327-5
Rating : 







Ulasan :

Alhamdulillah lega rasanya macam baru lepas habis marathon pulak baca buku tak henti-henti, aku 'pulun'  baca berturut-turut buku Hezzy Azra ni.

'Melodi Kasih' sebenarnya karya pertama penulis ini TAPI aku ni terbalik pulak baca buku yang akhir baru cari buku yang awal...he he he. Selepas baca 'Sah, Aku Cinta Kamu' baru rasa terpanggil untuk baca buku yang ini pula. Karya ini aku rasa agak berlainan sama sekali kerana pertama kali aku baca karya yang menggabungkan 3 kisah dalam satu susunan cerita yang menarik sekali. Dan baru aku kenal bagaimana permulaan cerita beberapa watak yang pernah aku baca dalam karyanya yang lain. Gaya penulisannya dalam karya ini agak kurang sedikit 'sengatnya' berbanding dengan yang lain, namun aku kira ini bukan kekurangan yang ketara kerana aku suka dengan jalan ceritanya yang 'simple' tapi masih terasa getarnya di hati aku ini. Penulis juga berjaya mencipta watak dan mengaitkan setiap watak tersebut di setiap karya yang pernah aku baca sebelum ini dan ini membuatkan aku lebih tertarik untuk 'membedah siasat' karya-karya lain penulis ini.


Mengisahkan tentang suka duka perjalanan hidup Zahara Inas (Zaha), Edrina Julia (EJ) dan Iman Syukriah (Iman) tiga sahabat yang dilahirkan pada bulan yang sama tetapi berbeza warna cinta dan takdir kehidupan. Zaha digambarkan seorang yang amat berdikari, masih belum berkahwin (andalusia) dan berkerjaya, EJ dilahirkan dalam kehidupan serba mewah, telah berkahwin dengan pilihan keluarganya dan seorang isteri yang setia dan sepi. Manakala Iman pula seorang isteri dan ibu yang sempurna setelah berkahwin dengan lelaki yang dicintainya sejak di Universiti. Walaupun tiga sahabat baik ini mempunyai keperibadian yang agak berbeza namun mereka serasi berkongsi suka duka bersama.

Setelah habis baca karya ini, aku merasakan walaupun ada tiga kisah yang berbeza, tetapi ianya telah disusun dengan begitu baik dan teratur sekali meskipun aku rasa lebih dibuaikan dengan kisah pertemuan dan percintaan di antara Zaha dan Fariq yang begitu indah dan mengasyikkan. Namun, banyak teladan dan pengajaran yang dapat aku hayati dan selami dari tiga kisah dalam karya yang hebat ini. Penulis juga berjaya membuat aku tertanya-tanya di akhir cerita TAPI seperti biasa penulis ini memang suka buat aku tidak puas hati dengan 'ending' ceritanya yang agak tergantung dan tidak seperti yang aku inginkan. Kalau nak tahu lebih lanjut cuba baca karya ini dan buat penilaian sendiri kerana setiap orang mempunyai pendapat masing-masing.


kalau ingin tahu lebih lanjut karya Hezzy Azra boleh klik link ni... Hezzy Azra