Qasidah buat Khadijah


 

Penulis   :  Hana Ilhami  
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Penerbitan Karya Seni Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 761
Tarikh Terbitan : Jun 2022
ISBN : 978-967-469-192-9
Rating : 

 

 
Ulasan :
 
الحَمْد لله dengan izinNYA, aku masih diberi kesempatan lagi untuk bedah siasat karya ke 7 penulis hebat ini selepas  Ya Maulana, Perempuan Lindungan Kaabah, Membakar Syurga Mengguyur Neraka, Bidadari Bermata Jeli, Tebus  dan Di Atas Sayap-sayap Malaikat.   

سُـبْحانَ الله  Seperti karya-karya terdahulu yang pernah aku baca, karya ini juga tidak kurang hebat dan penangannya. Aku tak nak comment panjang berjela, cukup kalau aku katakan kisah cliche Muhammad dan Khadijah dalam karya ini adalah sebuah kisah cinta Islamik yang berjaya meninggalkan kesan yang begitu mendalam dihati ini. Walaupun kisah ini aku rasa hampir menyamai kisah dalam Ya Maulana. Namun, seperti kata penulis karya hebat ini, kisah kali ini lebih santai, tiada konflik berat dan ada plot "sweet muit" gitu ha ha ha.

Ini adalah kisah pentarbiahan dan kehidupan pelajar-pelajar di madrasah yang diselitkan dengan cinta berlandaskan syarak. Agamawan juga adalah manusia biasa yang punya nafsu dan perasaan, tapi iman dan takwa dijadikan sempadan agar tidak tersasar. Penulis berjaya menyampaikan maksud cinta yang sebenar dalam Islam yang patut kita renung dan teladani dengan begitu berkesan sekali.

Banyak mutiara ilmu yang dapat aku pelajari melalui kisah diorang ni. Islam menyuruh umatnya menjaga pandangan, aurat dan ikhtilat iaitu adab pergaulan bagi menghindari dari fitnah dalam kehidupan. Jangan menilai seseorang hanya berdasarkan zahirnya sahaja. Qasidah adalah luahan hati dalam bentuk syair sebuah epik kesusasteraan Arab. Ia adalah nyanyian puji-pujian yang mengandungi unsur-unsur dakwah dan nasihat-nasihat yang baik sesuai dengan ajaran Islam. Senikatanya yang baik juga sebagai terapi ketenangan dan boleh mendatangkan keinsafan kepada pendengar. Teringin nak cuba Teh Adeni dan buat masoub, makanan orang Yaman yang berasaskan pisang yang cuma perlu dilenyek dan dicampurkan dengan kekacang dan madu he he he.

Semoga kisah ini dapat dijadikan sebagai teladan dan pengajaran buat semua pembaca diluar sana.

Wallahu a’lam ( والله أعلمُ) ertinya Dan ALLAH Yang Maha Mengetahui.

 

 

Sinopsis 

MUHAMMAD: Mempunyai ilmu agama yang tinggi, ditambah dengan 30 juzuk al-Quran di dalam dada, bukanlah bermakna dia tak boleh jatuh cinta. Cinta itu milik setiap insan. Apa yang penting, iman dan takwa dijadikan sempadan agar tidak tersasar.

"Khadijah juga tak cantik" - ZULAIKHA

"Mempunyai al-Quran dalam dada, merupakan satu kelebihan yang tiada tandingannya. Tentu saja Khadijah lebih cantik dari segala-galanya mak cik. Itu sudah mencukupi bagi saya." - MUHAMMAD

Malangnya, pinangan ditolak dan gadis idamannya lari jauh ke Yaman.

KHADIJAH: Anak kedua kepada pasangan Zulaikha dan Yusuf itu merupakan seorang yang keras hati dan kuat memberontak. Segala kerenahnya membuatkan pasangan itu pening kepala. Namun begitu, otak Khadijah cerdas. Dia berjaya menamatkan hafazan al-Qurannya dalam tempoh yang jauh lebih pantas berbanding rakan-rakan madrasahnya yang lain.

"Abi nak ingatkan Khadijah, jangan sesekali buat hal dekat sini. Kalau Khadijah call aje umi atau abi kata nak balik, abi akan terus terima lamaran Muhammad" - YUSUF

Gara-gara pinangan Muhammad, Khadijah kini tercampak jauh di Tarim, Yaman yang dikenali sebagai Bumi Seribu Wali. Tarim merupakan pusat ilmu dan pentarbiahan yang hebat. Namun bagi Khadijah, Tarim merupakan bumi tandus lagi mundur. Sudahlah pasar rayanya ala-ala Chow Kit dan tiada barangan berjenama, nak melayari Internet pun sebulan sekali saja dibenarkan. Merasakan dirinya terbuang, Khadijah nekad memutuskan hubungan dengan keluarga.

 

"Kita nak cari mamat Arab handsome kat sini. Lepas tu kita nak menetap terus kat Yaman. Kita tak nak balik Malaysia lagi dah." - KHADIJAH

Demi menyatukan semula Khadijah dengan keluarganya, Muhammad melakukan seuatu yang di luar pemikiran. Melalui Anggerik Desa, Muhammad dapat mengetahui segalanya tentang Khadijah. Khadijah memberitahu Anggerik Desa yang dia sudah jatuh cinta dengan seorang lelaki Yaman. Tampan dan berkerjaya sebagai doktor. Fikiran Muhammad semakin kacau apabila dia diminta untuk menguruskan madrasah Pak Cik Sahar, iaitu sahabat baik bapanya. Tak hanya menjadi mudir, Pak Cik Sahar mahukan dia jadi menantu!

"Apa salahnya? Budak Aida tu tak lama tamat belajar. Eloklah kalau kita masuk meminang sekarang. Habis saja hujung tahun ni, terus kita langsungkan perkahwinan mereka." - RAOF

Perlukah Muhammad mencuba dan terus mencuba untuk mendapatkan Khadijah atau menjadi anak yang taat? Akan terdendangkah qasidah khas buat Khadijah?

 

 Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

 

 Hati-hati kamu pada musuh kamu sekali. 
Tetapi pada teman kamu seribu kali. 
Maksudnya, seorang sahabat mengetahui segala rahsia temannya. 
Senang kata, seorang sahabat mengetahui luar dan dalam tentang temannya. ~ Imam Syafie

Sesungguhnya cinta tidak boleh dipaksa. Biarlah rasa cinta itu datang dengan ikhlas, bukan dibuat-buat. Namun begitu, hati setiap hamba dalam genggaman Khaliq. Bila-bila masa saja benci bertukar cinta. Bahkan dari cinta bertukar benci pun ada. Semua dengan izin-Nya jua. ~ Imam Syafie

Seorang sahabat tidak akan bersuuzon (sangka buruk) terhadap sahabatnya

Jangan cintakan orang yang tidak cintakan Allah. Kalau dia boleh meninggalkan Allah, apalagi meninggalkan kamu. ~ Imam Syafie

Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri ~ Imam Syafie

Fii hifzillah, ya Khadijah (Semoga berada dalam lindungan Allah, wahai Khadijah)
 Hadis Nabi ada mengatakan, doa seorang Muslim kepada saudara Muslimnya secara diam-diam adalah mustajab

Wanita umpama mutiara yang sangat berharga. Sebagai lelaki, sepatutnya pelihara harga diri wanita. Jangan ajak wanita bercinta sebelum bernikah sebab belum pasti dia jodoh kita. Tapi selepas bernikah, gilaplah mutiara itu dengan cinta agar sentiasa bersinar.

Wanita merupakan mahkluk Allah yang rapuh, jadi mereka tidak boleh disakiti.  Lelaki hendaklah menyantuni wanita sebaik mungkin. Cinta lelaki sering memudar bila isterinya dah tua dan tak cantik lagi. Masa tu lelaki mulalah gunakan alasan sunnah untuk bercinta dengan awek yang jauh lebih muda. Lelaki macam tu selayaknya digelar malaun. 
Jangan jadi malaun, tapi jadilah imam sejati yang sentiasa melindungi dan mencintai makmumnya seikhlas hati.

Jika kamu mencari kesempurnaan, kamu tidak akan pernah menemukannya kerana yang sempurna hanyalah Allah SWT.

Menuntut ilmu adalah takwa
Meyampaikan ilmu adalah ibadah
Mengulang-ulang ilmu adalah zikir
Mencari ilmu adalah jihad. ~ Imam al Ghazali

Reda itu bila kamu tidak lagi bertanya kenapa?

Terkadang apa yang kita rancang tidak terjadi seperti yang kita inginkan.  Lalu kita bertanya dimanakah silapnya? Jika kita tidak menemui puncanya kerana beranggapan perancangan kita cukup sempurna, sebenarnya kita telah terlupa kepada perancang yang sebenar, iaitu Allah SWT. 
 
Pengertian reda itu ialah menerima apa saja yang ditakdirkan oleh Allah, sama ada baik mahupun buruk. Bukanlah reda itu tanpa tangisan tetapi reda itu bila sudah tiada lagi keluhan.

Ilmu itu seperti air.  Jika ia tidak bergerak, menjadi mati lalu membusuk. ~ Imam Syafie

Sastera merupakan ilmu yang memartabatkan manusia.
Ramai ulama silam menyampaikan ilmu dan kata-kata nasihat mereka melalui syair.

Banyak orang yang telah meninggal tapi nama baik mereka tetap kekal. Dan banyak orang yang masih hidup tapi seakan-akan mereka orang mati yang tak berguna. ~ Imam Syafie

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Penulisan yang baik umpama amal jariah.
Pahala yang akan berpanjangan sampai akhirat apabila ia dapat memanfaatkan pembaca.

"Wahai Zat yang meneguhkan hati, teguhkanlah hati kami atas agama-Mu" ~ doa ketetapan iman yang diajarkan oleh Rasulullah SAW lebih 1400 tahun yang lampau

"Merantaulah, orang berilmu dan beradab tidak diam beristirahat di kampung halaman. Tinggalkan dirimu dan hidup asing di negeri orang. Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari orang-orang yang engkau tinggalkan yakni kerabat dan kawan. Berlelah-lelahlah, kerana manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang. Jika engkau tinggalkan tempat kelahiranmu, engkau akan temui darjat mulia di tempat yang baru. Dan engkau bagaikan emas yang sudah terangkat dari tempatnya" ~  syair dari Imam Syafie
 
... Maksudnya untuk lebih berjaya kita perlu melihat negeri orang. Pelajari adab dan budaya orang. Rasulullah juga berhijrah. Setelah hijrah barulah Islam berkembang.
 
Kata alim ulama, sesiapa yang mempunyai sifat suudzon (sangka buruk) dengan sesama Islam, maka wajiblah dia bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.
 
Man jadda wajada
(Sesiapa yang berusaha akan mendapat apa yang diusahakannya)
 
Jadilah wanita yang menginspirasi bukan wanita yang menyebarkan sensasi
 
Islam itu mudah tapi jangan pula sampai ambil mudah 
 
Perempuan itu sama seperti bunga. Mereka harus diperlakukan dengan lembut, baik dan penuh kasih sayang. ~ Ali bin Abi Thalib
 
Saidina Ali terkenal sebagai pahlawan yang digeruni musuh namun tetap juga beliau menyantuni isteri dengan kelembutan dan kasih sayang. 
Wahai lelaki! Ketahuilah, berlembut dengan wanita, tidak menjadikan kamu bacul (lemah dan pengecut)
 
Allah yang merencana sesuatu dan yang menggenggam segala ketentuan. 
Baik mahupun buruk.   
 
Islam melarang kaum wanita daripada memakai wangi-wangian yang kuat baunya apabila berada di luar rumah kerana dikhuatiri akan menaikkan nafsu syahwat lelaki ajnabi yang terciumkan bauannya.
 
Ikhtilat alam maya - Ramai orang fikir chatting di alam maya lebih selamat sebab tak bersentuhan dan tak nampak muka. Tambah pula, hanya tulisan sebagai pengantara. Tapi sebenarnya chatting di alam maya juga boleh merangsang syahwat. Syahwat boleh terangsang melalui emotikon-emotikon mesra. Contohnya icon smiley dan emotikon hati. Emotikon mesra itu boleh mendatangkan indikasi yang salah kepada penerimanya. Ada orang cepat terbuai perasaan bila menerima emotikon hati. Lebih-lebih lagi kalau pengirimnya lelaki/wanita idaman. Dan jangan terperanjat emotikon jelir lidah dianggap seksi oleh sesetengah lelaki. Begitu juga dengan menaip hihihi atau hermmm...Nampak macam simple kan? Tapi percayalah, ada lelaki mudah terangsang, otaknya cepat membayangkan sesuatu yang tak sepatutnya. Contohnya, dia membayangkan wanita itu sedang tertawa manja. Maka hati pun mulai terbuai-buai. Bila hati sudah terbuai, syaitan datang menyuntik jarum maksiat dan imaginasinya semakin meliar.
 
Pesan Habib Omar, sesiapa yang membuat senang hati seorang Muslim, maka Allah akan membuatnya senang di akhirat kelak.
 
Derhaka kepada kedua ibu bapa merupakan antara dosa-dosa besar. Kita perlu menyantuni dan menghormati mereka walaupun mereka seorang musyrik.
 
Bukan kebahagian yang menjadikan kita bersyukur tapi dengan bersyukur membuatkan kita bahagia.
 
Biar kita tidak dihargai tetapi masih ada harga diri daripada hilang harga diri demi untuk dihargai. Kerana wanita yang hebat itu bukanlah wanita yang didunia dia menjadi siulan tetapi wanita yang hebat sebenarnya apabila di langit namanya menjadi bualan.
 
Kecantikan wanita terletak pada akhlaknya
 
Kata ilmuan agama, menipu itu berdosa tapi hukumnya menjadi mubah jika menipu untuk kemaslahatan. 
 
Apa yang kita mahu tidak selalunya akan kita dapat. Kadang-kadang apa yang kita suka belum tentu baik di sisi Allah. Yang memberi itu Allah. Dia lebih tahu apa yang baik untuk kita. Jadi belajarlah menyukai atas apa yang kita terima.

 

 

 ... lagu Zaujati  -  Kareem ...

 

 

 ... lagu Ana Uhibbuka Fillah  -  Aci Cahaya ...

 






 

No comments:

Post a Comment