13 Jam A380




Penulis  :  Evelyn Rose
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Cinta
Penerbit :  Karya Seni
Bilangan Mukasurat :752
Tarikh Terbitan :  August 2013
ISBN : 978-967-0246-53-6
Rating : ★★






Ulasan :

The Wedding Breaker karya pertama penulis ini telah membuatkan aku jadi 'angau' dan terus jatuh cinta dengan karyanya dan atas sebab itu juga aku terus ingin membaca karya keduanya. Kini aku mengaku sejujurnya beliau telah menjadi penulis 'favourite' yang paling aku kagumi.  Walaupun penulis ini aku kategorikan sebagai masih muda dan 'hijau' lagi, tapi aku merasakan penulis ini memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan layak diletakkan sebaris dengan penulis novel hebat yang lain. Kekangan masa dengan pelbagai tuntutan hidup menyebabkan buku yang sudah lama aku beli ini hanya dapat aku bacanya baru-baru ini. Seperti karya pertamanya, karya kedua ini juga masih mengekalkan konsep dakwah dan memang tidak mengecewakan. Di awal cerita aku memang terbuai-buai dengan watak Hana Sofea. Pepatah "Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari"  

Subhanallah...jalan ceritanya memang seperti kena batang hidungku sendiri dan seolah-olah memberi kesan yang nyata sekali. Allahu Akhbar perasaan hatiku sebak, pilu seperti dapat merasakan jeritan batin yang terpaksa ditanggung oleh Hana Sofea sehinggakan dari bab 51 hingga seterusnya aku mula merasakan debaran dan rasa hati Hana Sofea, tak tertanggung dan tak tertahan air mataku menitis di setiap baris ayat yang ku baca terutama sekali surat dari Fawwaz ..memang sungguh sebak dan meruntun jiwa ragaku.


Sinopsis


Cerita tentang Hana Sofea, yang memuja Haydar seorang jutawan muda yang menjadi gilaan wanita bertahun lamanya secara diam dengan memendam rasa. Takdir telah menemukan mereka semasa penerbangan ke London di dalam pesawat A380 bagai satu mimpi jadi kenyataan buat Hana.  

Selama 13 jam di awan biru, Hana tidak melepaskan peluang untuk bermesra bersama- sama dengan lelaki yang dipujanya itu. Selama 4 jam mereka tersilap langkah sebagai pasangan yang memadu kasih di awan biru tanpa mempedulikan hukum dan dosa dek kerana mengikutkan godaan nafsu semata-mata. Namun, kemesraan mereka terus hilang begitu sahaja setibanya mereka di destinasi London.  Selama 3 tahun pengajian PhD di bumi England, Hana menemui kebahagiaan bersama kenalan baru Fido, Nenek, Emmel dan Fawwaz. Impian Hana untuk membina ikatan bahagia bersama Emmel dan Fawwaz tidak mendapat persetujuan ayahnya selagi pengajiannya belum habis. Pulangnya Hana ke Malaysia dengan harapan untuk mendapat restu mengahwini Fawwaz. Tapi dalam masa yang sama, pelbagai halangan dan misi Haydar untuk memperisterikannya perlu ditempuhi oleh Hana dan tindakan Haydar itu seperti 'snake in the grass'.  Manusia hanya mampu merancang TAPI hanya Allah yang menentukan segalanya. 

Pendapat peribadi aku,  karya kedua ini lebih matang, lebih mantap, lebih jelas dan paling terbaik kupasan jalan ceritanya, pengisian yang penuh dengan nilai-nilai islam dan tak ternilai pengajarannya. Plot yang disusun sangat baik dan sangat mendebarkan dari awal hingga akhir cerita. Syukur kepada Allah swt kerana dengan izinNya aku telah diberi kesempatan dan peluang untuk menghayati mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa setiap yang berlaku ke atas hambaNya itu terselit hikmah yang indah disebaliknya tanpa kita sedari . Ajal, maut, pertemuan, jodoh dan cerita hidup setiap manusia di atas muka bumi ini adalah rahsia dan Allah swt yang lakarkan. Oleh itu, terima dan redha dengan setiap ketentuanNya kerana sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi hambaNya malah setiap yang berlaku itu adalah hikmah yang terbaik untuk hambaNya.  Alhamdulillah banyak ilmu, pengajaran dan manfaat yang aku perolehi setelah membaca karya hebat ini dan sekaligus telah membuka mata hati dan mata akalku untuk insafi diri ini hambaMu yang lemah Ya Allah.

Syabas Evelyn Rose dan terima kasih yang tak terhingga kerana telah berjaya menghasilkan karya yang sungguh hebat dan membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hatiku dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku, membaca buku ini dengan penuh deraian air mata yang bukan sahaja membuatku lebih menginsafi kekhilafan diri ini, malah membuatkan aku lebih ingin mendekatkan diri dengan penciptaku Ya Allah. Harapanku semoga penulis ini akan terus berdakwah melalui karya-karyanya yang dapat mengajak hamba-hambaNya ini menginsafi diri dan berjihad ke jalan Allah swt insya-Allah.


" Verily, in the remembrance of Allah do heart find peace " ~ (Ar-Ra'ad : 28)



.... inilah lagu Bawa Aku Pergi yang dinyanyikan oleh Haydar dalam Airbus 380 bersama Hana ...


 




kalau nak tau lebih lanjut pasal penulis ni boleh klik link ni yer...  Evelyn Rose





No comments:

Post a Comment