Penulis : A.Ubaidillah Alias
Negara : Malaysia
Bahasa : Melayu
Genre : Malay Fiction
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 358
Tarikh Terbitan : August 2013
ISBN : 978-967-388-135-2
Rating :
Ulasan :
Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku masih lagi diberi kesempatan dan terpanggil untuk menghayati karya keempat penulis hebat ini selepas Kala Cinta & Wahyu Bersatu, Cinta Kembali Bertasbih dan Mengintai Cinta Khalifah. Subhanallah, sebuah kisah yang sungguh meruntun jiwa pada sesiapa
sahaja yang dapat menghayati jalan cerita yang sungguh luarbiasa
ini. Secara peribadi, kisah ini boleh di kategorikan sebagai novel
tarbiah unik yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan motivasi kepada kita dalam
melayari kehidupan di dunia yang penuh ujian yang mencabar ini.
Watak Abdul Khair bukan sahaja mampu menyentuh dan melentur hati dan jiwa yang masih kontang dengan iman. Malah berjaya mendidik pembaca untuk sama-sama muhasabah diri, belajar perbaiki diri dan menambah ilmu dan berusaha untuk menjadi orang yang beriman. Banyak mutiara indah, kata-kata nasihat, hadis dan sunnah Nabi yang
dihurai dengan cara yang mudah difahami dan begitu terperinci. Sehinggakan
terkesan
hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam.
Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan
ucapan terima kasih kepada penulis hebat ini kerana telah
berkongsi suatu kisah yang sungguh SEMPURNA dan dapat dijadikan teladan dan inspirasi untuk
menjadi seorang yang mukmin insya-Allah. Membaca
setiap baris ayat dari karya ini bukan
sahaja buat aku rasa takut dengan diri ini yang masih kurang ilmu dan jahil dalam serba serbi malah buatku terfikir bagaimana keadaan aku di akhirat kelak. Ya, menyedar dan menginsafkan aku untuk kembali patuh pada ajaran Allah dan persiapkan diri untuk kembali menemui Allah dengan hati yang sejahtera iaitu tidak membawa dendam ataupun kebencian kepada Allah Taala. Ya Allah, berilah petunjuk dan jalan bagiku agar dapat aku melukis dan membina Syurgaku di negeri abadiMU.
Abdul Khair telah dididik oleh Puan Kalthom dengan kehidupan beragama semenjak bapanya meninggal dunia. Dia seorang yang taat dan warak. Namun sebagai anak muda, Khair juga menyemai harapan untuk menikahi gadis idamannya. Gadis yang dimaksudkan ialah Raihan, seorang kawan karib semenjak kecil dan juga merupakan anak kepada Ustaz Solahuddin. Hampir sahaja Khair dan Raihan ditunangkan, namun kerana Raihan perlu melanjutkan pengajian ke Timur Tengah maka pertunangan mereka ditangguhkan.
Tanpa diduga, sebaik Raihan ke Timur Tengah Khair terpaksa menerima sepupunya Sabariah sebagai isteri atas perintah ibunya. Khair akur dengan takdir dan berusaha menjadi seorang suami yang baik. Sejurus Raihan pulang, dia tidak mengerti kenapa Khair menolak cintanya? Dia berusaha mencari jawapan. Dia masih berharap cintanya akan kembali bertaut. Ketika itu, Daniel seorang anak orang kaya cuba melamarnya. Raihan semakin keliru.
Wajarkah dia melepaskan Khair dan menerima Daniel, sedangkan hatinya masih kuat berharap kepada Khair?
" Sesungguhnya Allah hanya menerima amalan orang muttaqin (bertakwa)."
"Sesungguhnya Allah hanya menerima amalan soleh yang dikerjakan oleh orang yang bertakwa"
Maksudnya, amalan yang dikerjakan dengan sahih, tidak sewenang-wenangnya diterima Allah melainkan jika dikerjakan dengan rasa takwa serta penuh kehambaan. Dengan hati yang takwa sahaja barulah amalan itu akan dinilai dan diterima oleh Allah SWT.
Dunia itu sepicing pun tidak berharga jika agama tiada dalam jiwa. Manusia yang kontang jiwanya daripada mengingati Allah dan beribadat kepada-Nya, ialah manusia yang nihil (kosong, tiada apa-apa) dan tidak berguna.
" Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu. Dan izinkan aku beramal dengan amalan yang mendekatkan aku kepada cinta-Mu "
" Ya Allah, aku redha. Segala yang telah Kau takdirkan untukku, aku redha dengan sepenuh hati. Aku menerima segala qadar ini dengan keimanan yang utuh "
" Ya Allah! Aku berserah seluruh jiwa ragaku kepada-Mu. Demi kecintaanku kepada syurga-Mu, aku menolak maksiat dan menepis zina. Aku lakukan demi takutku kepada-Mu. Tiada orang yang mengetahui kebenaran yang berlaku melainkan Engkau saja. Ya Allah, biar apa pun berlaku. Aku tidak akan menyakiti manusia lain. Sekalipun aku disakiti, aku redha! Kerana aku percaya, Engkau akan membela aku daripada ketidakadilan. Engkaulah Allah, Tuhan yang Maha Adil "
" Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku takut pada azab-Mu, ya Allah. Jadikan kesakitan ini sebagai penebus kepada dosa-dosaku yang lalu, aku redha "
" Ya Allah, aku bersyukur atas apa sahaja yang telah Engkau tentukan buatku. Ampunilah dosaku, ampunilah dosa orang-orang yang berbuat salah kepadaku. Kerana mereka tidak mengetahui kebenarannya "
" Ya Allah, kami memohon cinta-Mu dan izinkan kami beramal dengan amalan yang mendekatkan diri kami kepada cinta-Mu. Hanya dengan mencintai-Mu, barulah kami mampu untuk mencintai makhluk lain dengan seadil-adilnya. Ya Allah permudahkan jodoh bagi mereka yang soleh dan solehah "
Nabi bersabda, ' Barangsiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah menutup aibnya di dunia dan akhirat.'
" Ya Allah, dengan kekuasaan-Mu kami memohon agar Engkau satukan kami sampai ke syurga yang abadi. Engkau Pemilik Cinta, Engkau Pemilik Syurga, Engkau Pemilik Jagat Maya. Maka kepada Engkau kami bersujud setiap malam. Kepada Engkau kami memohon setiap denyutan nadi dan nafas. Kami tidak akan berhenti meminta agar Engkau menjadikan kami orang-orang yang akan memasuki syurga al-Firdaus. Yang akan menggapai pelangi syurga di langit takwa. Terimalah doa kami ya Allah, Amin "
No comments:
Post a Comment