Bukan Salahku




Penulis  :  Liza Nur
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Buku Prima
Bilangan Mukasurat : 550
Tarikh Terbitan : 2010
ISBN : 978-967-5489-59-4
Rating : ★★







Ulasan :

Setelah membaca sinopsis dan terlihat gambar depan buku yang sangat menyentuh hati ini seperti menarik-narik aku untuk membedah siasat apakah kisah yang ada dalam karya penulis hebat ini. Ternyata karya ini walaupun agak sedih dan meninggalkan bekas dihati ini, namun ia juga sebagai penaik semangat aku untuk baca hingga akhir muka surat. 

Pada pendapat aku, penulis telah berjaya memaparkan dan berkongsi suatu kisah benar yang memang wujud dewasa ini. Walaupun tidak ramai yang seperti ingin ambil peduli tentang persoalan sedemikian yang seringkali kita dengar atau terbaca di mana-mana, namun aku rasa kisah ini memang sesuai sekali dijadikan sebagai pengajaran yang amat berguna kepada pembaca terutamanya kepada generasi muda yang semakin nipis iman didada, sering lupa diri dan memandang ringan tentang kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang islam dan membelakangkan adam resam dan budaya demi meraih cinta si teruna bangsa lain ketika berada di luar negara. Juga dapat mendidik dan mengajar kita mengenal erti kehidupan yang sebenarnya yang perlu kita lalui selagi kita bernafas dan hidup di dunia yang fana ini. 

Aku kira kisah ini memang sesuai untuk dijadikan sebagai MOTIVASI berguna kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan sebagai manusia di bumi ALLAH ini. Cerita tentang ketabahan dan kegigihan seorang anak yatim yang hilang tempat berpaut yang penuh dengan emosi ini sejujurnya banyak memberi pengajaran dan menyedarkan aku. Hayati secebis kisah ini dengan mata hati dan mata akalmu nescaya banyak ilmu yang dapat diperolehi dari karya hebat ini. Terima kasih dan tahniah kepada penulis kerana telah berkongsi suatu kisah yang bukan sahaja dapat dijadikan inspirasi malah teladan dan peringatan kepada adik-adik manis di luar sana insya-Allah. Memang berbaloi baca buku ni.  



Highly Recommended Book. 




Sinopsis


Kisah suka duka perjalanan hidup Asyiqeen (Ash) yang terpaksa menjaga adiknya yang kurang upaya sejak berusia 10 tahun, selepas ibunya meninggal. Oleh kerana dendam kesumat dalam diri Mak Tok, Ash yang ditinggalkan dalam jagaannya diseksa dan terpaksa hidup berdikari sendiri demi Balqis, adik yang sangat disayanginya. Selepas kematian adiknya, Ash menyambung pengajiaannya di UITM dan kemudian menerima biasiswa untuk menyambuang pengajiannya ke Sydney.








Di sana dia bertemu dengan Ashraf Ivan Obaydin (Ivan), lelaki angkuh yang tidak percaya pada kewujudan agama dan adat resam. Berita mengenai kematian kawan baiknya, Zahra Ruwaida memaksa Ash pulang ke Malaysia untuk menjaga anak Zahra, Adib Farhan. Rasa bersalah pada arwah ibunya Melissa, memaksa Ivan menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Di Malaysia, Ivan diperkenalkan oleh Pak Longnya dengan dua musuh ketatnya selama ini iaitu agama dan adat resam. Mampukah Asyiqeen berdepan dengan masa silamnya? Mampukah Ivan mendalami agama Islam dan budaya arwah ibunya, yang selama ini dibenci? Jadi, kalau ingin tahu apakah yang terjadi seterusnya kepada Ash dan Ashraf, kena baca karya ini ye....







 ... Jamal Abdillah & Francisca Peter - Kehebatan Cinta ...







kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Liza Nur    




Syurga Di Hati





Penulis  :  Fatin Nabila
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat : 504
Tarikh Terbitan : 2009
ISBN : 978-983-124-431-9
Rating : ★★





Ulasan :

Buku ini  telah aku beli secara tidak sengaja setelah terbaca sinopsis yang agak menarik dalam laman web Buku Prima. Secara peribadi, aku memang amat berpuas hati setelah habis baca buku ini. Memang berbaloi rasanya aku 'bersengkang mata' hadap baca buku ni sampai tengah malam tadi.

Syurga Di Hati memaparkan suatu kisah pernikahan tanpa restu ibu bapa yang bukan hanya dapat memberi banyak teladan malah ia juga dapat membuka mata hati dan mata akal kepada anak-anak muda kini yang terlalu ghairah ingin bernikah ketika masih lagi bergelar pelajar atau graduan. Aku rasa karya ini memang benar berlaku di kalangan masyarakat kita kini. Tema dan plot cerita karya ini ialah cinta yang hadir kepada dua orang graduan yang berbeza latar belakang keluarga, seorang pemuda miskin dan seorang gadis kaya. Gaya bahasa yang digunakan pula mudah difahami dan banyak pengajaran berguna untuk dijadikan iktibar kepada adik-adik semua. 

Secara keseluruhan, aku agak tertarik dengan perjalanan cerita pada watak-watak utama dalam karya ini terutamanya pada watak Ariff, Erin dan mama Erin yang berjaya mengajak pembaca untuk sama-sama sedar dan insafi diri akan kesilapan yang mereka lakukan akibat daripada tindakan terburu-buru mereka mengikut kata hati, tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan nasihat dan teguran dari kedua ibu bapa dan perlunya restu ibu bapa dalam membina rumah tangga. Tidak salah untuk bernikah ketika usia muda dan masih belajar, asalkan kena dengan caranya, mendapat restu dan redha ibu bapa kita dan barulah mendapat keberkatan hingga ke syurgaNya insya Allah.


Sinopsis



AKIBAT mabuk bercinta, Erin & Ariff bertekad mengakhiri perhubungan mereka dengan ikatan perkahwinan. Hangatnya darah muda menjadikan mereka tidak memikirkan darjat dan usia masing-masing yang masih terlalu mentah dalam melayari bahtera rumah tangga. Dan akibatnya, sebaik kedua-duanya melangkah ke gerbang perkahwinan, rumah tangga mereka berantakan kerana kurangnya persefahaman sesama mereka. Krisis demi krisis berlaku hanya kerana perkara-perkara remeh hingga akhirnya membawa kepada perpisahan.

 


 

 


Berbulan lamanya Ariff menghilang tanpa pesan. Tiada isteri yang menemani dan berkongsi suka dukanya. Dia hanya pulang apabila mendapat tahu keadaan isterinya yang sarat mengandung. Sekali lagi kesabarannya teruji apabila terpaksa berdepan dengan cacimaki mertuanya bila dituduh suami yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri. Sebagai lelaki, Ariff mempunyai dua pilihan. Mengenepikan maruah dan egonya demi sebuah kehidupan rumah tangga yang bahagia ataupun melupakan terus alam indah berkeluarga yang terlalu banyak likunya.












Aku Cantik ?




Penulis  :  Raihan Zaffya
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat : 509
Tarikh Terbitan : 2013
ISBN : 978-983-124-866-9
Rating : ★★ 






 
Ulasan

Tajuk ringkas tetapi begitu simbolik ini telah buat aku begitu tertarik sekali untuk beli dan baca karya hebat ini. Karya ini merupakan karya kedua penulis hebat ini yang telah pun ku 'bedah siasat' selepas
Rindu Syahadah-MU. Ternyata karya ini begitu berbeza sekali dengan yang terdahulu telah kubaca. Karya ini bukan hanya telah berjaya mencuit hati aku malah ada ketikanya buat aku tidak kering gusi ketawa dengan gelagat Rima, ada masa aku rasa sebak, sedih dan sangat simpati atas apa yang berlaku kepada Rima ni. Secara peribadi aku memang suka dengan keseluruhan cerita karya genre komedi ini yang ringan dan tidak beratkan kepala aku nak fikir, bahasa yang digunakan juga mudah difahami dan menghiburkan dan penuh dengan pengajaran berguna. 

Walaupun terdapat beberapa kesilapan perkataan dalam karya ini, namun aku kira masih boleh diterima dan diperbaiki dan harap penulis akan lebih berhati-hati dalam karyanya yang akan datang. Syabas dan tahniah kepada penulis kerana berjaya menghidupkan watak-watak yang pada aku begitu realistic dan genuine. Aku suka dengan watak-watak dalam karya ini terutamanya watak Rima dan Juki iaitu watak yang biasa-biasa sahaja dan bukanlah watak yang terlalu sempurna dan agak keterlaluan seperti yang ada dalam lambakan novel yang ada di pasaran sekarang. Dan aku kira watak-watak sebegini yang mampu dan telah berjaya mengangkat karya ini sebagai suatu karya yang begitu sempurna di mataku absolutely PERFECT . Kisah seorang anak angkat bersama keluarga angkat yang penuh dengan emosi ini sejujurnya banyak memberi ilmu dan pengajaran kepada pembaca. Oleh itu, baca dan hayati secebis kisah ini dengan mata  hati dan mata akalmu nescaya banyak ilmu yang dapat diperolehi dari karya komedi hebat ini.


Sinopsis

Rima seorang gadis yang tidak percaya pada cinta. Dia juga tidak sedar dirinya cantik dan comel. Sebaliknya, Juki dan Sulaiman dapat melihat apa yang Rima tidak sedari. Namun, hati Rima terus terkunci untuk mencintai dan dicintai. 

 
Juki - “Bila aku dah habis belajar dan dah dapat kerja nanti, aku pinang engkau ya. Aku tak main-main. Sungguh-sungguh ni.”

Rima - “Kak ngah! Cuba terangkan pada Juki ni, kita dengan Juki saudara kan? Mana boleh nak pinang-pinang pulak! Lagi pun kalau adik nak kahwin nanti bukan dengan Juki!”




Juki yang membesar bersama Rima tetap bersabar menanti jawapan sejak sembilan tahun yang lalu.Dia faham Rima perlukan masa untuk menjadi gadis yang matang.

Ketika Sulaiman hadir untuk mengintai-intai ruang di hatinya, Rima mulai tertanya-tanya itukah cinta? Perasaannya jadi tidak menentu. Wajah Sulaiman asyik terbayang di ruang fikirnya.


Rima mula keliru untuk memilih antara Juki dan Sulaiman. Haruskah dia melepaskan kedua-duanya? Apa perlunya cinta jika terpaksa korbankan perasaan? Gugur air mata Rima ketika berada di dua persimpangan. Namun jodoh itu rahsia ALLAH, tiada siapa tahu apa yang terjadi.





 

Takdir Fitrah Terindah




Penulis  :  Hanis Azla
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Buku Prima
Bilangan Mukasurat : 597
Tarikh Terbitan : 2011
ISBN :  978-967-0184-76-0
Rating : ★★






Sinopsis

Bila diri dilahirkan dari dosa orang lain, tiada apa yang membuatkan Nur Fitrah punya keyakinan diri bila sejak kecil dirinya sering menjadi bahan cemuhan. Lantaran itu dirinya menjadi cepat mengalah termasuklah dalam soal cinta. Kahwin tanpa cinta bukan mahunya. Tapi itulah yang terjadi bila kuasa untuk membuat pilihan bukan milik orang sepertinya. Tiada cinta, tidak mengapa asalkan hatinya bahagia. Namun bila hati suami bukan untuknya, apalagi yang perlu dipertahankan?  Pertemuan semula membuatkan hatinya berbunga-bunga. Namun respons dan dugaan yang diterima membuatkan hatinya terus lara untuk mengharapkan cinta. Adakah Aiham Fakhri masih lagi pilihan Nur Fitrah bila ada cinta lama dan cinta baru yang mahu mengisi hatinya?

 
Ulasan



Karya yang mengisahkan tentang perjalanan hidup nasib seorang anak terbuang ini memang meninggalkan kesan dihatiku. Kisah sedih suka duka demi mendapatkan secebis rasa kasih sayang dan bahagia dalam karya ini berjaya diolah oleh penulis dengan begitu terperinci sekali. Walaupun teknik penceritaan pada awalnya dilakarkan dengan kisah yang agak pilu dan meleret-leret. Tetapi akhiran ceritanya memberi suatu kelegaan kepadaku setelah Nur Fitrah akhirnya diberi peluang untuk mendapatkan kebahagiaan yang sering menjadi impiannya. Pada pendapat peribadi aku, baca karya ini memang menjentik pelbagai rasa dihatiku, ada rasa hendak marah, benci, geram, kasihan kesian, rasa tidak puas hati  pun ada jugak dan macam-macam rasa.



Tetapi sebenarnya banyak pengajaran dan iktibar yang dapat dikongsi dan membuka mata aku setelah membaca karya ini. Walaupun watak Nur Fitrah dalam karya ini aku rasa terlalu hebat ujiannya tetapi sikapnya yang sering beralah dan sanggup memaafkan dan beri peluang kedua kepada bekas suaminya dan semua orang yang pernah melukakan dihatinya, aku rasa walaupun tidak ramai tetapi memang wujud sebenarnya dalam realiti kehidupan ini. Cuma mungkin amat payah untuk kita temui.  Dan watak Aiham Fakhri pula aku rasa macam nak tumbuk aje muka dia kalau ada depan aku sekarang ini. Tetapi perubahan sikap dan perangainya di akhir cerita ini setelah dia tersedar akan kesilapannya memang buat aku tersengih memanjang dengan usaha-usahanya untuk menawan semula hati bekas isterinya itu. Dan kedua-dua watak utama ini aku kira banyak memberi teladan berguna kepada aku. Okay aku tidak mahu comments lebih-lebih sebab aku rasa lebih baik baca karya ini dan cuba hayati sendiri maksud yang tersirat dan tersurat yang cuba disampaikan oleh penulis dalam cerita yang menarik ini ye.

 

... lagu Pasrah - Erra Fazira ...







kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... Hanis Azla

Hantaran Kasih Tuhan





Penulis  :  Noorfadzillah Omar
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 536
Tarikh Terbitan : 18 Apr 2011
ISBN : 978-967-5783-68-5
Rating : ★★ 






Ulasan

Terlihat karya ini secara tidak sengaja di ebook Malaysia portal e-sentral.com baru-baru ini dan terus tertarik untuk meneroka karya penulis hebat ini.


Sinopsis  

Hidupnya cinta bukan kerana bahagianya kita. Itu perkara pertama yang dipelajari Nur Wardah pada saat dia mengabdikan dirinya bagi membangunkan Yayasan Nur Wardah. Dia berasa cintanya kuat di situ bagi membantu mereka yang memerlukan.

Hidupnya cinta bukan kerana rupa. Itu pengajaran kedua yang Nur Wardah pelajari saat dia bernikah dengan Engku Ashraf. Hidupnya sengsara dan jauh daripada bahagia. Semuanya kerana zahir kakinya yang tidak sempurna akibat virus Polio sejak kecil, dan Engku Ashraf mentafsirkannya dengan penuh kesalan.

Hidupnya cinta bukan kerana sempurnanya diri. Itu perkara terakhir yang Nur Wardah pelajari, pada saat suami terlantar di katil hospital. Tanpa jemu dia menjaganya dan dalam ketidaksempurnaan itu, tumbuh cinta Engku Ashraf kepada isterinya. Cinta yang lahir daripada ketidaksempurnaan.

Hidupnya cinta bukan kerana hidupnya kita. Itu perkara yang tidak sempat Nur Wardah pelajari pada saat lahirnya Engku Nurain, kerana dia meninggalkannya untuk kita pelajari sendiri. Ia akan mempertemukan kita kepada erti cinta sejati dan makna perjalanan yang abadi.

Kisah Nur Wardah anak gadis ayu yang berperibadi mulia sentiasa berpegang teguh kepada perintah Allah dan sentiasa hormat dan patuh pada ayahnya. Walaupun mengalami kecacatan kaki akibat virus polio yang dihadapinya sewaktu dia kecil lagi tetapi dia terima dengan tabah dan tidak pernah menyalahkan takdir. Membesar tanpa ibu dan mencurah ilmu dan bakti kepada anak-anak yatim di Yayasan Wardah yang telah dibangunkan oleh ayahnya. Dalam diam Wardah menyimpan rasa sayang kepada abang sepupunya Aiman. Namun kedua-dua mereka hanya memendam rasa. Wardah kemudiannya telah dijodohkan dengan Engku Asyraf anak sahabat lama ayahnya. Oleh kerana ugutan dari Ah Long pemiutang wang kerana tidak dapat membayar hutangnya yang berjuta, Engku Asyraf bersetuju menikahi Wardah dengan syarat yang telah ditetapkan oleh ayah dan ibunya menantu pilihan ibu bapanya walaupun dia tidak menyukai Wardah dan telah mempunyai kekasih hati iaitu sepupunya sendiri demi untuk menyelamatkan syarikatnya yang hampir muflis. Engku Asyraf sangat terkejut apabila mendapati isterinya yang mempunyai rupa paras yang cantik tetapi cacat. Wardah tetap sabar dan setia di sisi suaminya walaupun Engku Asyraf sering memarahinya dengan kata-kata yang penuh benci. Kalau nak tahu apakah yang terjadi kepada Wardah dan Engku Asyraf, cuba baca karya ini, memang boleh membuatkan anda menangis...

Sejujurnya setelah habis membaca karya ini buat aku menyedari bahawa sebagai hambaNYA kita tidak sempurna dan akan sentiasa diuji selagi kita bernafas di bumi persinggahan ini. Jangan pernah memandang rendah kepada mereka yang kita sangka kurang sempurna dari kita kerana kekadang orang yang kurang sempurna itulah yang lebih mulia di sisi Allah. Dan setiap ujian yang diberikan kepada kita sebenarnya adalah hantaran kasih Tuhan untuk hambaNYA. Karya ini aku kira memang berbeza sekali kerana akhiran cerita karya ini bukanlah happy ending seperti karya lain yang pernah kubaca sebelum ini. Namun, aku seperti sudah jatuh hati dengan karya penulis yang baru sahaja aku kenali ini. Bahasa yang digunakan dalam karya ini memang indah, halus dan penuh dengan nasihat. Walaupun aku kurang menyukai gaya bahasa yang digunakan dalam karya ini kerana pada pendapat aku bahasa yang digunakan agak formal dan meleret tetapi penulis berjaya menterjemahkan tema dan persoalan dalam karya ini dengan begitu terkesan dihatiku. Memang benar hidup di dunia yang sementara ini tidak semestinya dapat setiap apa yang kita angan dan inginkan. Cinta itu tidak semestinya berakhir dengan kegembiraan dan kebahagiaan.  Terima kasih dan tahniah kepada penulis karya ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang dapat dijadikan inspirasi dan panduan hidup untuk menjadi wanita solehah insya-Allah.


Highly Recommended Book.