Konspirasi Suami




Penulis   :  Maya Iris
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     : 
Malay Fiction, Thriller, Romance 
Penerbit  :  Gedebook
Bilangan Mukasurat : 686
Tarikh Terbitan : 2015
ISBN : 978-967-369-292-7
Rating : 

Ulasan :


Ini adalah karya kedua penulis hebat ini yang kubaca selepas Mahar Cinta Cinderella. Karya ini adalah sambungan cerita daripada Mahar Cinta Cinderella. Aku semakin terpaut hati dengan karya unik penulis hebat ini yang berjaya mengadun sebuah kisah kasih sayang luhur yang mengandungi jalan cerita yang mengaitkan dengan pergolakan yang sedang berlaku di dunia sekarang ini seperti pergolakan di Mesir, kekejaman Zionis di Palestin dan juga kelicikan pemerintah gergasi dunia Amerika. Rasanya belum pernah lagi aku membaca kisah sebegini. Sejujurnya aku rasa puas hati tahap MAKSIMA dan begitu seronok dan teruja sekali membaca karya ini dari awal hingga akhir muka surat. Memang berbaloi aku beli buku ini. 

Terima kasih dan tahniah kepada penulis karya ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang dapat dijadikan inspirasi dan peringatan kepada kita semua sebagai hambaNya yang sering diuji dalam sedar ataupun tanpa kita sedar dalam mencari kebahagiaan sementara di dunia yang penuh dengan pelbagai ujian dan penuh mencabar ini. Oleh itu, sebagai seorang Islam, kita hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan keimanan. Cuba sedaya upaya mempelajari, mengkaji dan memahami setiap ayat dalam Al-Quran kerana segala ilmu dunia ini telah diterangkan dalam Al-Quran dengan sejelas-jelasnya. Sekiranya seluruh umat Islam di dunia ini berpegang dan mengikut setiap yang tertulis di dalam Al-Quran, nescaya kita dapat mengembalikan zaman kekuatan dan kegemilangan umat Islam seluruhnya.  


Highly Recommended Book



Sinopsis


Dengan tipu helah Dr. Ehsan Chong menikahi Nur Sayang. Namun, bahagia yang diimpikan derita pula yang menjengah. Nur Sayang ditinggalkan di Mesir seperti gantung tak bertali. Dia meneruskan hari-harinya sebagai seorang pelajar perubatan dan seperti seorang isteri tanpa suami di sisi. Dalam keadaan kesepian yang memuncak, Nur Sayang menebalkan muka dan menghubungi Dr. Ehsan bagi mendapatkan kepastian arah tuju perkahwinan mereka. Barulah Nur Sayang tahu suaminya mempunyai ramai peminat. Arielle dan Ayala sanggup berkongsi kasih dengan Nur Sayang. Nur Sayang jadi tawar hati dengan perkahwinannya setelah jatuh pengsan dan hilang ingatan  seketika dan mahu kembali kepada Kamil, sedangkan Kamil sudah dirancangkan akan berkahwin dengan Amanda.





"Sebagai suami, saya boleh anggap dia nusyuz. Tetapi adakah menduakannya balasan yang setimpal di atas perbuatannya ? Balasan begitu tidak diajar dalam Islam. Islam menyuruh kita meninggalkan bilik tidur jika isteri nusyuz. Bukannya memasuki bilik tidur perempuan lain." - Dr. Ehsan.




Bagaikan jatuh ditimpa tangga, peluang untuk mendapatkan Nur Sayang semula semakin tipis apabila Dr. Ehsan diculik oleh satu pakatan yang mahukan sesuatu dengan dimilikinya. Jeneral Zuckermann mengambil peluang ini untuk membalas dendam terhadap Dr. Ehsan. Nur Sayang dan Dr. Ehsan terperangkap dalam konspirasi bertaraf antarabangsa yang bakal menggoncang keimanan. Dan hanya ada satu jalan keluar ... cinta pada Yang Satu.






he he ini komen yang ku terima dari penulis karya hebat ini dlm goodreads

Maya Iris Terima kasih. Gambar Dr. Ehsan dan Nur Sayang dalam blog buat akak senyum dari telinga ke telinga.. lurve it!!


... lagu Di Sebalik Rahsia Cinta - Metropolitan ...




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Maya Iris


Mahar Cinta Cinderella





Penulis   :  Maya Iris
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     : 
Malay Fiction, Thriller, Romance
Penerbit  :  PTS Litera Utama Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 381
Tarikh Terbitan : 2014
ISBN : 978-967-408-226-0
Rating : ★★★★






Ulasan :


Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya pertama penulis ini yang baru sahaja aku kenali. Pendapat peribadi setelah membaca habis karya ini, aku sudah jatuh hati dengan penulisan penulis hebat ini. Cerita dalam karya ini bukanlah kisah sedih yang buat orang menangis sampai bengkak-bengkak mata. Tetapi kisah dalam karya ini agak menyentuh hati aku, penuh dengan ilmu dan pengajaran berguna buat Muslimah di luar sana. Berjaya menyedarkan dan buat aku rasa malu kerana aku juga seperti watak Nur Sayang dalam karya ini yang masih lagi cetek ilmu sebagai seorang Islam. Masih banyak yang perlu aku pelajari dan perlu fahami makna dalam Al-Quran. Banyak ilmu yang dapat dipelajari jika kita memahami segala ayat dalam Al-Quran itu sendiri. Sebagai seorang Islam kita bukan hanya bertanggungjawab mentaati perintah Allah dan rasul sahaja. Malah kita bertanggungjawab kepada saudara seIslam kita dan menyebarkannya. 


Highly Recommended Book. 



Sinopsis


Pertemuan pertama Nur Sayang dan Dr. Andrew bagaikan dongeng Cinderella. Doktor berbangsa Cina itu telah menyelamatkan Nur Sayang, jururawat pelatihnya dengan menggunakan sepasang kasut ketika kejadian ragut. Walaupun Nur Sayang berasa terhutang budi, namun dia membenci Dr. Andrew kerana sering mengasak dengan pelbagai persoalan sinis sebagai seorang Islam. Sehinggakan Dr. Andrew menggelarnya 'Islam Celup' kerana seringkali tidak dapat menjawab persoalan yang ditanya kepada Nur Sayang.

Jiwa Nur Sayang juga tertekan apabila perkahwinannya dengan Kamil asyik tertangguh. Dia sedar dia bukanlah gadis pilihan ibu Kamil. Dia juga bimbang masa depannya dengan Kamil akan berakhir seperti nasib ibunya.
 

 
Dr. Ehsan muncul selepas Dr. Andrew mengucap dua kalimah syahadah. Dengan cinta yang sudah lama terpendam, Dr. Ehsan melamar Nur Sayang tetapi ditolak oleh gadis itu. Dr. Ehsan membawa rajuknya dengan menyertai Misi Kemanusiaan dan Perubatan ke Palestin.

Lalu, Nur Sayang mengutip sisa-sisa hidupnya yang masih panjang bagi memperbaiki diri. Dia akhirnya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Di sana, dia terperangkap dalam Revolusi Mesir menggulingkan presiden.Apakah cinta persis dongeng Cinderella berjaya membawa kebahagiaan lewat jam 12? Ataupun hidup ini tidak semestinya berakhir seindah sebuah dongeng?




... lagu Mulanya Di Sini - Freedom ...
 





kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Maya Iris

 

Sebarkan CintaMU





Penulis   :  Fatimah Syarha
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  PTS Litera Utama Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 874

Tarikh Terbitan : 2010
ISBN :  978-967-408-012-9
Rating :  

  
Ulasan :


Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku diberi lagi kesempatan untuk menghayati karya penulis hebat ini. Subhanallah. Sejujurnya aku mengaku terpaksa ambil masa yang agak lama untuk menghadam segala isi kandungan dalam karya yang sungguh MANTAP dan SEMPURNA ini. Tidak keterlaluan kalau aku katakan karya ini padat dan lengkap dengan ilmu yang cukup indah dan berguna buat para muslimah di luar sana. Berjaya merungkai banyak persoalan di mindaku tentang isu monogami dan poligami selama ini. Mengupas dan menjelaskan secara terperinci tentang hak-hak seorang wanita sebelum bernikah, hak-hak isteri terima poligami atau tidak dan hak-hak isteri sebelum dan selepas bercerai, adab poligami  dan banyak lagi yang mungkin tidak kita ketahui selama ini. Banyak info ayat dan fiqh hadis dan pandangan daripada jumhur ulamak terkenal berkenaan tentang sunnah Rasulullah dan poligami.


Karya ini sangat sesuai dan amat patut dibaca oleh kaum hawa. Banyak mutiara ilmu munakahat yang dapat aku belajar terutamanya tentang poligami yang dapat membimbing dan mendidik kita menjadi wanita dan isteri solehah insya Allah. Moga kisah dalam karya ini dapat dijadikan sebagai panduan dan memberi manfaat berguna kepada kita semua. Memang benar cinta yang dinikmati selepas bernikah lebih menjanjikan bahagia.
Highly Recommended Book. 



Sinopsis


Senyum manusia itu, hanya Tuhan yang tahu ertinya. Senyum itu memang menzahirkan ceria, namun untuk kebanyakan waktu, senyum itu adalah bagi menyembunyikan rahsia hati.

Inilah novel yang cuba mengurai makna senyuman seorang manusia yang bergelar anak, ibu, bapa, isteri, dan yang bergelar suami. Indahnya, ia dihuraikan dengan Islam, dan hasilnya semuanya kembali kepada Tuhan.

Kisahnya bermula dengan Ibu Dhiya', seorang isteri taat yang tinggi ilmu agamanya, terpaksa menjadi tukang sapu di sebuah kolej swasta. Di situlah Ibu Dhiya', didatangi pelbagai persoalan hati daripada setiap golongan di kolej itu.

Ibu Dhiya' berusaha membantu walaupun dirinya juga ada rahsia, yang menanggung derita masa lalu. Ibu Dhiya' dengan ilmu agamanya, dengan penuh hikmah mendekati hati warga kolej itu bagi memberikan makna yang lebih bererti dalam senyuman mereka, dengan cara yang suci, dengan cara Islam, dan akhirnya jadilah ia, senyuman yang menyebarkan cinta.




Cinta Kembali Bertasbih





Penulis   :  A.Ubaidillah Alias
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  PTS Litera
Bilangan Mukasurat : 727

Tarikh Terbitan : 2011
ISBN : 978-967-5783-79-1
Rating :  





Ulasan :

Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku masih lagi bernafas dan diberi kesempatan dan terpanggil untuk menghayati karya pertama penulis hebat yang baru sahaja aku kenali ini. Apa yang dapat aku coretkan, karya ini memang sungguh luarbiasa. Sebuah kisah yang sarat dengan kasih sayang syahdu, penuh berilmu dan padat dengan hikmah. Sejujurnya, semasa membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini pasti akan mencetuskan perasaan sebak dan getaran di hati dan menginsafkan aku. Cinta Kembali Bertasbih telah menemukan aku akan definisi cinta hakiki yang sebenarnya kerana cinta boleh membawa kita ke syurga atau neraka tuhan. 

Subhanallah. Sebuah karya yang sangat sesuai dan tepat untuk dibaca oleh semua golongan tidak kira untuk gadis remaja, wanita, lelaki, isteri, suami, ayah atau ibu. Banyak mutiara ilmu, nasihat dan maklumat berguna yang dapat aku belajar melalui karya hebat ini. Moga kisah ini dapat dijadikan sebagai contoh dan memberi manfaat berguna kepada kita semua.  Highly Recommended Book. PERFECT


Sinopsis



Novel yang menceritakan perjalanan hidup Sofiy ar-Rahman yang merupakan abang kepada Fatimah az-Zahra yang membesar sebagai anak yatim piatu. Selepas kehilangan ibu bapa semasa kecil, Rahman membesar dengan agresif dan baran kerana mahu menjadi pelindung kepada adiknya Fatimah. Sikap samseng Rahman menjadikan pelajar dan guru di sekolah mengenalinya sebagai budak baran.

Selepas dia memasuki sekolah menengah, Rahman mula berubah sikap apabila dia jatuh hati pada seorang gadis bernama Rasima. Malangnya, kawan baik Rahman iaitu Safuan cemburu dan membuat fitnah padanya. Akibat fitnah itu, Rahman tersedar bahawa perjalanan hidupnya masih panjang dan dia mempunyai tanggungjawab terhadap adiknya Fatimah.
 






Di Kaherah, dia berkenalan dengan seorang Dato' yang mempunyai pertalian dengan sejarah hidupnya. Secara tidak langsung dia diperkenalkan kepada anak Dato' tersebut iaitu Uswatul 'Ulya yang belajar di Korea Selatan. Selepas pulang ke Malaysia, Rahman bertemu semula dengan watak-watak silam iaitu Rasima dan terhimpit dalam beberapa insiden. Konflik semakin sukar apabila beberapa watak lain muncul dalam hidup Rahman. Bagaimana Rahman mengambil pendekatannya yang dahulunya agresif dalam mendepani semua situasi ini?







 Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-


" Orang yang sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah akan sentiasa lapang dadanya sekalipun tidak punya harta. Orang yang beramal dengan sunnah nabinya akan sentiasa dicukupkan keperluan dunianya sekalipun dia berada dalam kemiskinan "






Hidup, Cinta, Takdir





Penulis   :  Ismi Fa Ismail 
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  I F I Enterprise
Bilangan Mukasurat : 424

Tarikh Terbitan : 2011
ISBN : 978-967-10192-1-4
Rating :








Ulasan :

Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan untuk membaca dan menghayati karya pertama penulis ini yang baru sahaja aku kenali. Pendapat peribadi, aku suka dengan kisah dalam karya yang agak unik ini. Macamana nak cakap ye...dalam cerita ada cerita lagi...lebih kurang macam tu la...Dalam karya ini terdapat tiga kisah yang saling berkait di antara satu sama lain. Kisah misteri ini pada awal jalan cerita, aku memang tidak berapa nak faham dan buat aku tertanya-tanya macamana cerita ni sebenarnya. Unsur misteri, suspen dan penggunaan teknik flashback atau imbas kembali dari awal hingga akhir cerita dalam karya ini memang buatkan pening sekejap dan tertanya-tanya siapa watak Kaseh dan aku jadi begitu teruja nak tahu kesudahan kisah ini. Tetapi bila dah baca sampai akhir muka surat,baru aku faham keseluruhan kisah ini. Ternyata kisah yang mengusik hati aku ini agak menarik untuk dibaca dan terkandung banyak pengajaran dan maksud tersirat yang dapat mengajak kita berfikir dan berusaha mencari erti kehidupan yang sebenar walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan rintangan di dalam hidup kita ini. Semoga kita lebih memahami di sebalik maksud Hidup, Cinta dan Takdir itu sendiri. 


   
Sinopsis

Nafas Seruling Kasih - Kisah tentang Nazril yang telah berputus asa dengan hidup cuba mengambil jalan mudah dengan membunuh diri. Pertemuan dengan seorang gadis bernama Kaseh di Langkawi telah berjaya mengubah pandangannya. Dia mula merasakan mahu bernafas semula dan masih ada yang indah untuk dinikmati untuk terus hidup di dunia ini.


Yakini Cintaku - Kisah cinta luhur di antara Joe dan Ara. Pertemuan pertama kali mereka semasa berumur 8 tahun dan 6 tahun di Langkawi telah membenihkan rasa kasih dan sayang yang terlalu kuat di antara mereka. Perpisahan lebih 15 tahun tanpa pernah bercakap, melihat muka dan mengenali di antara mereka seolah-olah telah mengikat mereka untuk terus setia dan yakin menanti hingga tiba waktu bertemu.


Gadis Di Tepi Pintu - Kisah tentang Najla gadis sebatang kara yang tidak punya harta, tiada cinta dan tiada masa depan setelah kehilangan abang, kakak, ayah tercinta dan orang yang disayangi. Namun, Najla tetap tabah dan yakin dengan setiap ujian dan ketentuan dari penciptaNYA. Dia sentiasa berdoa dan bersyukur, tidak pernah marah dan merungut walaupun hidupnya sering dirudung malang. Dia percaya pada ketentuan tuhan.





Setiap Detik Nafasku




Penulis   :  Dhiya Zafira
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat : 584

Tarikh Terbitan : 2014
ISBN : 978-983-124-938-3
Rating : ★★+






 

Ulasan :


Karya ini adalah buku ketiga kubaca selepas Jauh Kau Pergi dan Hati Bergetar Rindu. Secara peribadi, aku rasa karya ini agak kurang umph sikit dari yang aku harapkan selepas aku baca buku kedua penulis hebat ini. Karya ini bertemakan tentang cinta dan kasih sayang serta pengorbanan seorang anak terhadap ibunya dan seorang abang terhadap adiknya. Juga memaparkan kesan daripada sifat dendam dan pengkhianatan terhadap orang yang disayangi. Unsur suspen dan penggunaan teknik flashback atau imbas kembali dari awal hingga akhir perjalanan cerita dalam karya ini memang berjaya membuatkan aku sentiasa tertanya-tanya dan jadi begitu teruja nak tahu kesudahan kisah ini. Maaf sis, walaupun aku suka dengan ceritanya, namun ia seperti agak kurang dapat menarik tangkai hati aku ni. Aku agak kurang puas hati dengan plot dan perjalanan cerita watak Dzar dan Ara, kerana aku merasakan penulis hebat ini dapat mengolah dua watak utama ini dengan lebih baik lagi seperti watak Sid dan Ari dalam karya Hati Bergetar Rindu.
 

Sinopsis



Dzar Thalha - Tujuh tahun di penjara, dia terperangkap dalam dendam dan air mata. Niat untuk menuntut bela memakan diri apabila dia menjadi mangsa. Dia tidak mampu berbuat apa lagi, bila tangan sudah digari. Dia terjerat dalam tirai besi. Dendam itulah yang menjadikan dia lelaki sebenar. Kerana dendam, dia bangkit daripada kekalahan. Namun siapa sangka, kerana dendam, dia menemui sesuatu yang lebih indah. Cinta dan harapan. 

 



 

Tengku Azra Qairina - Hidupnya seperti sebuah novel. Fantasi, namun realitinya hidup gadis itu amat memeritkan. Dia dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai. Dalam redha dia menderita. Dalam senyuman, ada tangisan yang cuba disembunyikan. Dalam rajuk, dia pergi membawa diri ke Pulau Perhentian.

Di sana Dzar dan Ara bertemu. Bila dua jiwa yang terluka bersama, mereka faham erti derita. Dan bibir tidak perlu berkata, bila hati sudah bersuara nada cinta dan rindu. Namun, bukan cinta namanya bila tidak diduga. Kekalutan bermula apabila dendam masa silam mula menjelma. Bagi Dzar dan Ara... di sini bermula kisah mereka.


...lagu Before The Next Teardrop Falls - Freddy Fender adalah luahan hati Dzar...





 Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-


" ALLAH menguji kita dengan sesuatu yang sangat kita sayang. Kita diberi cubaan dengan kehilangan. ALLAH menguji kita dengan sebuah impian yang amat kita harapkan. Kita terduduk berlinang air mata saat impian kecundang, sesungguhnya DIAlah pemberi segala, kerana segalanya kepunyaanNYA. Saat ditariknya nikmat yang ada, DIA sedang mengaturkan untukmu sesuatu yang lebih berharga. Jangan bersedih, dunia ini tidak selayaknya ditangisi "

" Ya ALLAH bantulah aku dengan berikan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi dugaan ini "

" Tiada siapa pun kata yang hidup di dunia ini mudah. Tak semua jalannya lurus dan mengikut kehendak kita. Lebih-lebih lagi bila nak dapatkan apa yang kita mahu "

" Pemenang kehidupan adalah orang tetap sejuk di tempat yang panas, yang tetap manis di tempat yang sangat pahit, yang tetap merasa kecil meskipun telah menjadi besar, serta tetap tenang di tengah badai yang paling hebat "

" Masuk U pun bukan jaminan hidup kita akan bahagia. Sekeping kertas tu tak bermakna apa-apa. Duit bukan segala-galanya "

Hadis Riwayat Al-Hakim. Rasul pernah bersabda : " Reda ALLAH itu bergantung pada reda dua ibu bapa. Dan murka ALLAH itu bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa "

"...Every cloud has its silver lining... "



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Dhiya Zafira   







Hati Bergetar Rindu




Penulis   :  Dhiya Zafira
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat :530

Tarikh Terbitan : 2011
ISBN : 978-983-124-659-7
Rating : ★★★★








Ulasan :
 
Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA aku telah diberi kesempatan lagi dan terpanggil untuk membaca karya kedua penulis hebat selepas Jauh Kau Pergi. Pendapat peribadi, aku semakin terpaut hati dengan karya penulis ini yang berjaya mengadun suatu cerita thriller dan diselitkan pula dengan ramuan kasih sayang. Memang payah nak cari sekarang ni novel yang ada cerita pasal polis tangkap orang jahat yang macam ni dan memang buat aku rasa puas hati sungguh dan begitu seronok nak baca karya-karyanya yang lain pulak.  Unsur suspen dan penggunaan teknik flashback atau imbas kembali dari awal hingga akhir perjalanan cerita dalam karya ini berjaya membuatkan pembaca sentiasa dalam debaran tahap maksima dan buat pembaca jadi tertanya-tanya dan jadi begitu teruja nak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada watak Sid dan Ari yang begitu misteri dalam karya ini. Teknik penceritaan yang sentiasa turun naik seperti roller coaster dalam karya ini mungkin akan membuatkan pembaca agak terpinga-pinga dan pening kepala sedikit dengan jalan ceritanya yang tidak ikut kronologi masa dan perlu tumpuan sepenuhnya bila baca untuk betul-betul fahami keseluruhan isi perut cerita ni. Namun ini yang buat aku tak boleh letak buku ni dan sentiasa kepit buku ini tak senang duduk dibuatnya dan tak sabar-sabar nak tahu kesudahan ceritanya. Kepada pembaca yang suka genre sebegini, memang tak rugi baca buku ni.  Highly Recommended Book.Well done Dhiya Zafira


Sinopsis
 

Hidup itu adalah rangkaian perjuangan demi perjuangan. Maka janganlah ada yang menyerah, berputus asa dan menganggap perjuangan hidup adalah satu yang sia-sia. Tetaplah tegar meski yang lain berguguran. Tetaplah tersenyum meskipun perjuangan ini terasa pahit dan berliku.Kerana DIA tidak akan mensia-siakan perjuangan kita.

Ari ~ Bersamamu aku memahami makna bahagia, tetapi mengenalimu juga membawa aku ke lembah derita. Sesungguhnya, tiada insan yang mahu dikhianati. Lebih-lebih lagi daripada orang yang paling dipercayai.

 




Sid ~ Segala jerih yang kita lalui, semoga ada senyum pada esok hari. Percayalah... kita semua hanya mahu bahagia. Percayalah... kebenaran hanya mampu dilihat oleh mata hati, dan Ari... yakinlah bahawa ALLAH sudah memilih yang terbaik buat kita.

Ini kisah kasih sayang syahdu tentang Arisa Nur Adalia (Ari) dan ASP Ziyad Sidqi (Sid) dalam mencari kebahagiaan. Kisah mereka yang terbeban dengan dosa silam. Kisah mereka yang mencari keampunan. Kisah mereka yang mahu mencari jalan pulang. Kisah mereka yang harus mengerti dan memahami apa ertinya makna sebuah perjuangan.








...lagu When I See You Smile - Bad English adalah luahan hati Sid...



 Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

" Kita mesti bertanggungjawab atas setiap apa yang kita lakukan dalam hidup kita ini. Nak jadi jahat atau baik. Peluang tu kita yang pilih. Setiap hari dalam hidup, kita harus berjuang. Berjuang untuk menjadi manusia yang lebih baik. Berjuang mendapatkan apa yang kita mahukan dalam hidup. Berjuang mempertahankan apa yang kita percaya. Kita berjuang bersungguh-sungguh. Tapi kalau ditakdirkan apa yang cuba kita pertahankan bukan milik kita, kita kena redha. Kita kena terima kerana semua itu adalah ketentuanNYA " 



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Dhiya Zafira