Hantaran Kasih Tuhan





Penulis  :  Noorfadzillah Omar
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 536
Tarikh Terbitan : 18 Apr 2011
ISBN : 978-967-5783-68-5
Rating : ★★ 






Ulasan

Terlihat karya ini secara tidak sengaja di ebook Malaysia portal e-sentral.com baru-baru ini dan terus tertarik untuk meneroka karya penulis hebat ini.


Sinopsis  

Hidupnya cinta bukan kerana bahagianya kita. Itu perkara pertama yang dipelajari Nur Wardah pada saat dia mengabdikan dirinya bagi membangunkan Yayasan Nur Wardah. Dia berasa cintanya kuat di situ bagi membantu mereka yang memerlukan.

Hidupnya cinta bukan kerana rupa. Itu pengajaran kedua yang Nur Wardah pelajari saat dia bernikah dengan Engku Ashraf. Hidupnya sengsara dan jauh daripada bahagia. Semuanya kerana zahir kakinya yang tidak sempurna akibat virus Polio sejak kecil, dan Engku Ashraf mentafsirkannya dengan penuh kesalan.

Hidupnya cinta bukan kerana sempurnanya diri. Itu perkara terakhir yang Nur Wardah pelajari, pada saat suami terlantar di katil hospital. Tanpa jemu dia menjaganya dan dalam ketidaksempurnaan itu, tumbuh cinta Engku Ashraf kepada isterinya. Cinta yang lahir daripada ketidaksempurnaan.

Hidupnya cinta bukan kerana hidupnya kita. Itu perkara yang tidak sempat Nur Wardah pelajari pada saat lahirnya Engku Nurain, kerana dia meninggalkannya untuk kita pelajari sendiri. Ia akan mempertemukan kita kepada erti cinta sejati dan makna perjalanan yang abadi.

Kisah Nur Wardah anak gadis ayu yang berperibadi mulia sentiasa berpegang teguh kepada perintah Allah dan sentiasa hormat dan patuh pada ayahnya. Walaupun mengalami kecacatan kaki akibat virus polio yang dihadapinya sewaktu dia kecil lagi tetapi dia terima dengan tabah dan tidak pernah menyalahkan takdir. Membesar tanpa ibu dan mencurah ilmu dan bakti kepada anak-anak yatim di Yayasan Wardah yang telah dibangunkan oleh ayahnya. Dalam diam Wardah menyimpan rasa sayang kepada abang sepupunya Aiman. Namun kedua-dua mereka hanya memendam rasa. Wardah kemudiannya telah dijodohkan dengan Engku Asyraf anak sahabat lama ayahnya. Oleh kerana ugutan dari Ah Long pemiutang wang kerana tidak dapat membayar hutangnya yang berjuta, Engku Asyraf bersetuju menikahi Wardah dengan syarat yang telah ditetapkan oleh ayah dan ibunya menantu pilihan ibu bapanya walaupun dia tidak menyukai Wardah dan telah mempunyai kekasih hati iaitu sepupunya sendiri demi untuk menyelamatkan syarikatnya yang hampir muflis. Engku Asyraf sangat terkejut apabila mendapati isterinya yang mempunyai rupa paras yang cantik tetapi cacat. Wardah tetap sabar dan setia di sisi suaminya walaupun Engku Asyraf sering memarahinya dengan kata-kata yang penuh benci. Kalau nak tahu apakah yang terjadi kepada Wardah dan Engku Asyraf, cuba baca karya ini, memang boleh membuatkan anda menangis...

Sejujurnya setelah habis membaca karya ini buat aku menyedari bahawa sebagai hambaNYA kita tidak sempurna dan akan sentiasa diuji selagi kita bernafas di bumi persinggahan ini. Jangan pernah memandang rendah kepada mereka yang kita sangka kurang sempurna dari kita kerana kekadang orang yang kurang sempurna itulah yang lebih mulia di sisi Allah. Dan setiap ujian yang diberikan kepada kita sebenarnya adalah hantaran kasih Tuhan untuk hambaNYA. Karya ini aku kira memang berbeza sekali kerana akhiran cerita karya ini bukanlah happy ending seperti karya lain yang pernah kubaca sebelum ini. Namun, aku seperti sudah jatuh hati dengan karya penulis yang baru sahaja aku kenali ini. Bahasa yang digunakan dalam karya ini memang indah, halus dan penuh dengan nasihat. Walaupun aku kurang menyukai gaya bahasa yang digunakan dalam karya ini kerana pada pendapat aku bahasa yang digunakan agak formal dan meleret tetapi penulis berjaya menterjemahkan tema dan persoalan dalam karya ini dengan begitu terkesan dihatiku. Memang benar hidup di dunia yang sementara ini tidak semestinya dapat setiap apa yang kita angan dan inginkan. Cinta itu tidak semestinya berakhir dengan kegembiraan dan kebahagiaan.  Terima kasih dan tahniah kepada penulis karya ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang dapat dijadikan inspirasi dan panduan hidup untuk menjadi wanita solehah insya-Allah.


Highly Recommended Book.



Tuhan Masih Mencintaiku





Penulis  :  Lily Haslina Nasir
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 576
Tarikh Terbitan : 25 August 2010
ISBN : 978-967-408-208-6
Rating : ★★






Ulasan

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi, berjaya juga aku mendapatkan karya yang telah kucari-cari selama ini hinggakan aku terasa begitu hampa sekali sebelum ini setelah mendapat tahu karya ini sudah tidak dicetak dan tiada lagi di pasaran. Pencarianku akhirnya bertemu noktah setelah terlihat karya ini di ebook Malaysia portal e-sentral.com baru-baru ini. Lega sungguh rasanya walaupun karya ini tidak dapat ku pegang di tanganku sendiri tetapi tercapai jua hasrat hati untuk mengetahui sambungan dari karya pertama penulis hebat ini iaitu Menunggu Cinta Tuhan karya yang telah membuatkan aku jadi tidak keruan dan panas punggung orang kata...ha ha ha

Sinopsis   

Azrul Rasyid mengalami perubahan 180 darjah dari segi sikap dan peribadi. Namun berhijrah dari kelaziman kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak semudah yang disangkakan. Ketika inilah ramai mengambil peluang membalas dendam dan memulangkan paku buah keras kepada Azrul. Hubungan dengan Khalida Atikah ada pasang surutnya. Dari meja hiburan yang sentiasa mengintai dan mengekori artis dan bermain dengan gosip, Azrul Rasyid, Khalida dan rakan lain sudah membuat tim baru. Mereka menyelongkar kisah getir masyarakat yang lebih menginsafkan. Malah Azrul dan Khalida berpeluang menyaksikan sendiri kegetiran pelarian perang sewaktu membuat liputan akhbar. Azrul berusaha mengumpul dana dan derma dari artis kenalannya dahulu untuk membantu mereka yang memerlukan. Akan tetapi ramai mempertikaikan... duit artis, duit hasil nyanyian. Apakah layak dijadikan sumbangan ke arah kebaikan?

Hidup peribadi Azrul Rasyid juga tertekan apabila kisah sejarah hitam ibunya menjadi buah mulut ramai. Baru kini Azrul memahami betapa sakitnya diri apabila difitnah dan dijadikan bahan gosip. Dia akhirnya mendapat tahu dia bukan anak kandung orang tuanya. Dia adalah anak yang tidak diingini. Ibunya satu ketika dahulu dirogol oleh bekas kekasih biarpun sudah bergelar isteri orang. Masalah bertambah sukar apabila yang kenangan bersama arwah Nureen sering menganggu tidurnya. Dosa silam tidak terbasuh dengan air mata biarpun saban malam dia menekur di sejadah memohon ampun. Cik Latifah yang sudah keluar dari wad sakit jiwa kembali mengganas. Dendamnya sampai mati!

Hanya kekuatan iman dan ketabahan yang luar biasa membantu Azrul Rasyid bangkit dari puing-puing luka cerita lama.

Setelah Azrul Rasyid Hakim, Ketua Meja Hiburan Akhbar Dinamik terselamat daripada runtuhan kondominium, dia mula berubah 180 darjah dan beralih arah dari bahagian Hiburan ke bahagian Prihatin dengan melakukan kerja-kerja kebajikan masyarakat dan kemanusiaan. Namun ia tidak semudah yang disangkakan. Bersama-sama anak buahnya Khalida Atikah, banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuh tidak kira dengan staf-staf di pejabatnya mahupun dengan masyarakat yang berada disekeliling untuk merealisasikan impian barunya itu. Dalam waktu yang sama juga, dia dikejutkan pula dengan berita yang sungguh memalukan dan merasa diri begitu hina tentang dirinya anak yang tidak sah taraf. Satu persatu dugaan dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh Azrul demi mendapatkan hijrah yang hakiki. 
Azrul yang suatu ketika dahulu sering memaki hamun dan memarahi Khalida Atikah, anak buahnya seorang wartawan muda yang baru bekerja dibawahnya mula menerima kehadirannya dan sering dijadikan sebagai tempat untuknya meluah rasa dan mengadu segala keresahan di hati. Walaupun Khalida digambarkan Azrul budak lurus bendul mengalahkan kelurusan Lebuh Raya Utara Selatan, namun banyak pandangan dan kata-kata yang diucapkan Khalida telah berjaya menyedarkannya sekaligus berjaya mengubah sikap dan perangainya dan seringkali membuatkannya kelu tanpa kata. Azrul akhirnya dapat menelan segala kepahitan dan dapat menerima setiap kenyataan dan takdir dirinya. Okey aku tidak mahu cerita lebih-lebih, apa yang boleh aku beritahu aku memang suka dengan akhiran cerita ini. Akhirnya Azrul menyunting Khalida....

Pendapat peribadi aku, penulisan Lily memang sungguh luarbiasa, tajam dan sungguh berbisa sekali. Penulis bukan sahaja berjaya menyingkap sisi gelap masyarakat Melayu yang begitu sinonim dengan amalan sihir dan hasad dengki malah berjaya mengheret pembaca untuk sama-sama insafi diri akan dosa-dosa yang telah kita lakukan sepanjang usia kita ini. Bertaubatlah dan pulang ke pangkal jalan dengan keindahan Islam cahaya yang menunjuk arah beriman kepada ALLAH swt. Yakini bahawa setiap ujian yang diberi kepada kita dan segala yang berlaku itu hanya ALLAH yang lebih mengetahui. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Tentunya cinta Tuhan adalah cinta yang paling indah dan sempurna. Cinta yang paling harum tanpa bandingan. Semoga karya ini dapat dijadikan teladan dan ikhtibar buat pembaca dan semoga kita semua dapat sama- sama memperoleh kebaikan dan manfaat dari karya ini. Terbanglah mencari cinta Tuhan. Hanya cinta Tuhan yang hakiki. Percayalah Tuhan Masih Mencintaiku dan kamu !



...Terima kasih ya Allah, kasih sayang yang Engkau berikan...

...Terima kasih ya Allah, di atas kudrat yang Engkau pinjamkan...



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Lily Haslina Nasir  




Schubert's Serenade




Penulis  :   Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Tarikh Terbitan : 2007
ISBN : 978-983-43217-5-8
978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
978-967-5118-24-1
Rating : ★★







Ulasan

Schubert's Serenade ini  merupakan salah satu ceritera pendek  yang terkandung di dalam buku 'Gurindam Jiwa' yang menghimpunkan karya tiga penulis iaitu Hlovate, Imaen dan  Noor Suraya.



Sinopsis


Karya ini mengisahkan tentang Ju'a (Najwa) dan adik lelakinya Ucop yang terpaksa menerima kehadiran dua ahli baru dalam keluarganya setelah mamanya berkahwin dengan seorang duda anak satu. Kemunculan seorang abang tiri bernama Shah secara tiba-tiba telah memberi kesan yang begitu ketara dalam kehidupan keluarga barunya itu. Perasaan marah dan janggal beransur-ansur hilang setelah Ju'a mula dapat menerima kehadiran seorang abang yang amat mengambil berat tentangnya. Ju'a mula dapat menerima abang Shah sebagai abang tirinya dan sentiasa menjaga batas dan aurat ketika bersama abang Shah. 

Berkongsi minat yang sama, sikap ambil berat dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh abang Shah telah berjaya mengubat dan mengisi kekosongan setelah kehilangan ayah yang tercinta ketika dia masih kecil lagi. Berita tentang kehamilan mamanya telah menyebabkan Ju'a dan abang Shah merancang untuk sama-sama memberi nama adik baru mereka. Namun kegembiraan dengan kelahiran adik baru itu tidak dapat dikongsi bersama dengan abang Shah yang telah terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Kematian abang Shah seperti telah meragut semua kegembiraan di hati Ju'a. Jadi, kalau nak tahu apakah yang terjadi seterusnya kepada Ju'a, kena baca cerpen ini ye....

Karya ini aku baca secara online di www.e-sentral.com iaitu e-book Malaysia portal. Alhamdulillah lengkap sudah kesemua karya Hlovate kubaca akhirnya. Pendapat peribadi aku, tajuk karya ini nampak macam biasa-biasa sahaja dan mungkin nampak macam kurang menarik untuk dibaca. Tetapi setelah aku baca keseluruhan isi cerita dalam karya ini, jujur aku katakan kisah ini memang betul-betul menyentuh perasaan dan memang meruntun jiwa pada siapa yang membacanya. Bukan hanya buat aku rasa sebak tetapi boleh menitiskan air mata dan seperti aku dapat menjiwai watak dan perasaan Ju'a ni. 

Karya ini walaupun dengan penggunaan bahasa yang biasa sahaja tetapi penuh maksud tersirat dan tersurat dan mengundang pelbagai rasa dihati pembaca. Karya yang bukan sahaja dapat mendidik malah dapat menyedarkan dan seterusnya mengajak pembaca untuk sama-sama  mendekatkan diri kepada penciptaNya dan beriman dengan qada' dan qadarKarya Hlovate memang akan membuatkan jantungku berdegup dengan lebih kencang setiap kali aku cuba menghadam karyanya. Apa yang pasti setiap karyanya mesti ada suatu kelainan dan ada mesej tertentu yang ingin disampaikan kepada pembaca. Dan setiap mesej itu memang berjaya 'ditembak' dan terbenam terus ke dalam lubuk hatiku ini.

Kalau tidak percaya cubalah baca sendiri karya Hlovate ini ye.


  

Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

"... Hilang seseorang dalam hidup bukan alasan untuk kita pun stop living. Kita bukan selama-lamanya duduk atas dunia ni sampai bila-bila. Siapa tahu, mungkin esok lusa giliran kita pulak. Percaya dengan janji tuhan ..."

"...And we have to live on. Live a happy life. For them ..."

"..Cara terbaik untuk mendoakan orang yang dah tak ada dengan kita ...
Doakan kebajikannya di alam kubur dan di akhirat, mohon diampunkan dosanya, mohon dipelihara mereka dari azab kubur, azab Mahsyar, azab akhirat dan api neraka. Kita mohon agar dilapangkan kubur mereka dengan rahmat-Mu ya Allah, diterangkan kubur mereka dengan Nur-Mu ya Rahman, temankan mereka dengan kasih sayang-Mu ya Rahim ..."

"... Doa itu penghubung paling kuat antara kita dan mereka yang dah pergi meninggalkan kita ..."

"... Dan sedekahkan apa yang membawa manfaat, yang boleh meringankan azab mereka di sana. Ayat-ayat suci al-Quran yang paling baik ..." 







 

The Unsung Hero




Penulis  :  Melur Jelita
Negara  : Malaysia
Bahasa  : Melayu
Genre    : Malay Fiction / Cinta
Penerbit : Karya Seni
Bilangan Mukasurat : 1156
Tarikh Terbitan : September 2014
ISBN : 978-967-0246-80-2
Rating :



Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi aku telah diberi kesempatan untuk membaca dan menghayati karya terbaru penulis favourite aku yang hebat ini. Seperti dua karyanya yang terdahulu, MJ berjaya menjulang nama PDRM aka "Abang Pedas" sehingga menyedarkan aku untuk menghormati dan menyanjung tinggi mereka yang bergelar POLIS ini. Kini, MJ mengangkat pula martabat para pejuang terhebat negara Komando VAT 69 wira  yang tidak pernah kukenali mungkin juga oleh masyarakat malah tidak pernah terfikir oleh kita akan kewujudan mereka. Namun hakikat yang perlu kita sedar mereka ini sebenarnya adalah pahlawan negara yang berjuang berkorban nyawa untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan balasan, imbuhan dan pingat demi memastikan negara yang kita cintai ini dapat kita diami dengan tenang, aman dan damai.  Inilah wira yang tidak pernah kita dendang. Adakah kita sedar tentang keadaan ini ? Adakah kita hargai apa yang kita kecapi tika ini ? Mampukah kita mengecapi keadaan seperti sekarang tanpa mereka ? Tepuk dada tanya selera...



Dan Dia mengajar manusia apa yang tak diketahuinya... ayat 5, Surah al Alaq

Kissing cousin?
Huh?!
Bagi Deraman tak berdosa.

Bagi Blackswan, sangat berdosa!
Sumbang mahram! Dari Blackswan bertukar kepada angry bird.
Sombong menonggek!

Blah cam tu je dari Deraman, lelaki serigala jadi-jadian!

Ketika semua kesayangan ditarik dari seorang insan, dia tewas. Tapi seorang insan yang terpilih untuk diuji oleh Allah SWT, sebenarnya memiliki jiwa juang yang sangat kental. Allah pilih, Allah uji kerana dia mampu. Lihatlah bila satu jiwa yang tewas kemudiannya reda dengan ketentuan Allah bangkit menjadi jiwa baru. Dia harus kuat! Kerana itulah satu-satunya pilihan yang ada.

Kisah kejiwaan yang sangat meruntun hati di antara sepasang sepupu yang dipaksakan hubungan adik-abang dari kecil. Maryam akur. Irvan enggan. Mereka terpisah dengan satu janji. Tetapi janji itu dimungkiri dengan kehadiran Riyaz.
Hoo rat! Riyaz sangat berani. Seorang putera raja berkuda putih! 

 

Maryam, sang perawan yang pemalu, dipingit rapi dengan penuh adab dan bicara tewas kepada seorang pemuja. Hatinya telah dipesona Riyaz yang berani melanggar sempadan pingitan bak dan bunda.

Irvan, Maryam, Riyaz, Haziq, bak dan bunda, di sinilah couple seminit bermula...
Maryam : “Hutang boleh?”
Irvan : “Hutang kasih? Ada bunganya nanti... kalau lambat sangat bertangguh.”
“Apa bunganya?”
“Nanti abang cakap... tapi yang pasti hutang kasih tu akan berbunga sayang.”



Setelah baca karya ini, apa yang dapat aku katakan buku ini sememangnya penuh dengan ilmu. PERFECT. AWESOMENESS. Tidak perlu aku nak cerita panjang dan komen meleret. Kena beli buku MJ ini dan hayatinya sendiri. MJ bukan sahaja berjaya mengadun kisah kekeluargaan yang amat rapat terjalin yang sungguh indah di mata dan berbunga di hati malah seperti mendidik dan memperlihatkan kasih sayang dalam watak-watak utama dengan penggunaan dialek Kedah dan Kelantan dengan sungguh mempersonakan sekali. Lenggok bahasa yang digunakan bukan sahaja indah dan manis malah seperti menggamit pembaca untuk memahami dengan lebih dekat lagi. Teknik penceritaannya sering menjadi tanda tanya, penuh mendebarkan dan sarat dengan aksi mahupun emosi sekaligus mencengkam pelbagai rasa di hati pembaca. Karyanya memang buat aku sentiasa tidak 'keruan' dan 'panas punggung'. Memang berjaya membuatkan aku melekat dengan naratif penceritaan yang begini. 

Kisah wira Very Able Trooper VAT 69 Nur Muhammad Irvan aka Debak, Deraman, Abang One (The Chosen One) aka HERO dan Tun Maryam Keumalahayani aka Blackswan, si budak telur separuh masak yang sungguh menyentuh rasa, penuh berilmu dengan kata-kata semangat dan nasihat maksud tersurat dan tersirat. Banyak panduan dan tips berguna buat para isteri lebih menyayangi, menghormati dan memuliakan suaminya dan para suami membahagiakan isterinya. Kita akan rasa sungguh terharu, terhutang budi dan nyawa dan amat bangga sekali dengan HERO dan ahli keluarga mereka.  Malah buat kita rasa ingin jadi wira VAT 69 atau jadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Kisah yang sungguh patriotik dan buat aku sedar betapa bertuahnya aku dilahirkan sebagai anak Malaysia dan buat aku rasa lebih cintakan negaraku ini. Ayuh bangun anak bangsa berdaulat, mari kita sanjung, kenang dan dendang wira-wira negara kita sendiri. Kenali mereka dan hargai setiap pengorbanan dan jasa yang dicurah. 


Mari kita sama-sama menjaga dan mempertahankan tanah tumpah tanahair tercinta ini. Syabas dan tahniah MELUR JELITA kerana berjaya melahirkan sebuah karya penuh dengan ilmu yang sungguh luarbiasa dan amat berbeza sekali. Walaupun karya ini mengadun kisah kasih sayang syahdu yang sungguh manis dan membuatkan aku tersenyum meleret tersipu malu namun ia berjaya membuka mata dan mindaku tentang kewujudan The Unsung Heroes ini. Karya ini telah berjaya menaikan semangat patriotikku dengan begitu hebat dan terkesan sekali. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan atas usaha murni MJ ini. Hanya Allah swt yang dapat membalas atas usaha murni MJ. Semoga MJ sentiasa berada di dalam rahmatNYA dan teruskan dengan karya HERO yang lebih menyengat dan meletops. Aku sangat berharap kisah ini ada sambungan ceritanya kerana seperti ada lagi kisah tentang Riyaz dan kematian bonda Mariam yang menjadi tanda tanya dan persoalan di mindaku ini.



...inilah lagu Perwira nyanyian Almarhum Seniwati Saloma untuk HERO yang tercinta...





...ini pula lagu Warisan nyanyian Almarhum Sudirman untuk semua peyambung warisan...





Makluman

Innalillahi wa inna ilaihi raji'uun. Ya ALLAH ampunilah dosanya, berilah rahmatMU ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dirinya
Melur Jelita
Assalamualaikum
Makluman untuk semua.. Puan Hajah Norlaili Salleh (Melur Jelita) telah kembali menemui Allah SWT pada pukul 6.28pm tadi. Pada hari mulia dan bulan mulia ini, semoga beliau dapat diberkati Allah dan dapat bersama mereka yang beriman.
Terima kasih diatas segala doa yang dipanjatkan ke hadrat Illahi. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan pada kita semua dan seluruh ahli keluarga beliau. Aamiin


Lelaki Itu Untukku




Penulis  : Mazni Aznita
Negara  : Malaysia
Bahasa  : Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 691
Tarikh Terbitan : April 2014
ISBN : 978-967-0535-98-2
Rating : ★★







Ulasan :

Alhamdulillah syukur kerana dengan izinNYA aku masih diberi peluang "menyelongkar" karya kedua penulis yang baru sahaja aku kenali ini. Buku yang telah kubeli secara terus via fb penulis ini telah pun berada di tanganku sejak dua bulan yang lalu, namun baru kini dapat kuhadapnya. Ternyata selepas membaca setiap baris ayat dari karya yang sungguh syahdu ini membuatkan aku jadi sesak nafas lagi, bengkak mata tersedu sedan dan sakit dada. Satu lagi kisah realiti kehidupan yang sungguh menyentuh jiwa dan ragaku. Apa yang pasti aku memang sudah terpaut dengan gaya penulisan Cikgu, si penulis yang unik ini kerana cerita dan karyanya sungguh berbeza sekali dan ada daya tarikan yang tersendiri.


Sinopsis   

ORKED Harlina, anak tunggal ayahnya, tetapi tidak pernah ada istilah ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh si ayah yang jelas-jelas membencinya. Mungkin kerana itu, dia menjadi gadis yang keras hati, suka melawan, sedikit ‘liar’ tetapi masih sekuntum bunga yang rapuh di pelosok hati.


 Apabila si ayah berkahwin dengan seorang janda anak satu, lagilah dia panas hati.Kes tidur lokap semalamnya kerana bergaduh di kelab malam, mempertemukannya dengan Idlan Riyaz, anak emak tirinya yang selama ini belajar di luar negara. Maka bertemulah buku dengan ruas. Idlan Riyaz yang sentimental, cool, penuh kematangan dan pandai ‘mengenakan’ membuatkan hati si bunga liar berasa menyampah. Dia tidak pernah punya seorang abang dan jelas, dia tidak ingin Idlan Riyaz menjadi abangnya. Takkan sekali!

 


Tetapi itu kata mulut. Hati di dalam paling tahu apa yang diingini. Apabila dia yang tidak pernah dilindungi tiba-tiba punya guardian angel, bukan dari syurga tetapi dari Kota London, siapa yang tidak mahu? Apabila dia yang tidak pernah dikasihi, tiba-tiba diberi perhatian, maka episod baru tercipta. Jadilah dia secret admirer abang tirinya sendiri. Dan kerana Idlan Riyaz, dia mula belajar untuk menyayangi, mempercayai dan menerima.
 
 
Dan kerana Idlan Riyaz juga dia kenal Tengku Emery Iskandar, si playboy a.k.a BFF Idlan Riyaz yang ada karakter yang Masya-ALLAH, kereknya mamat ini. Baginya, Idlan Riyaz lebih sempurna dan penyayang berbanding Tengku Emery Iskandar. Cuma satu sahaja dia harus akui, dalam tidak kesempurnaan Tengku Emery Iskandar di matanya, lelaki itu punya hati nurani yang luhur.


Satu kisah cinta luhur antara Idlan-Orked-Emery yang memang sungguh luarbiasa dan sejujurnya amat meruntun jiwaku ini. Membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis ini bukan sahaja berjaya mengadun jalan cerita yang penuh misteri serta menjadi tanda tanya, malah penuh dengan unsur kekeluargaan, persahabatan, dendam, cinta dan pengorbanan dengan persembahan bahasa yang mudah dan bersahaja TETAPI dalam waktu yang sama berjaya mencengkam pelbagai rasa di hati pembaca sewaktu membaca karya ini dari awal hingga akhir cerita.  Teknik penceritaannya juga penuh mendebarkan dan sentiasa membuatkan aku tidak "keruan". 

Karya ini bukan sahaja amat menyengat dan berbisa malah sarat dengan emosi dan berjaya membuatkan aku melekat dengan naratif penceritaannya sehinggakan aku dapat menjiwai watak-watak utama dalam karya ini dengan deraian air mata sehingga menyesak dadaku. Sejujurnya, watak Orked membuatkan aku berfikir lebih jauh akan setiap kebenaran dan penderitaan serta dugaan yang dihadapinya.  Tabahkan aku untuk menghadapi setiap kebenaran seperti Orked ? Mampukah aku menerima takdir yang sebegitu hebat ? Dapatkah aku bertahan dan meneruskan kehidupan seperti Orked ? Kesucian dan ketulusan kasih Idlan yang serba sempurna pasti menjadi dambaan bukan sahaja setiap gadis yang senasib seperti Orked malah yang tidak senasib dengannya juga pasti amat amat mendambakan insan sepertinya. Keluhuran dan pengorbanan kasih si romeo Emery pasti dapat menambat jiwa gadis yang lara dan duka nestapa. 

Aku kira setelah membaca karya CINTA SYAHDU HEBAT ini aku lebih mensyukuri nikmat yang telah aku peroleh sehingga kini. Sesungguhnya setiap yang berlaku ke atas insan di dunia fana ini perlu kita syukuri dan terimanya dengan berlapang dada. Setiap yang berlaku kepada kita itu pasti ada nikmat yang tidak terhingga dan hikmah yang tersembunyi. Sesungguhnya kita hanyalah insan yang serba kekurangan dan tidak sempurna dan seharusnya kepadaNYA kita sentiasa meminta dan berdoa. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmatNYA insya-ALLAH. Ammin. Wallahuallam.


Highly Recommended Book. PERFECT - cinta syahdu nan luhur


Dia Guardian Angel dari Kota London
Sempurna tiada tandingan
Namun hanya DIA yang tahu
Apa yang terbaik untukku di syurga insya-ALLAH



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... Anita Aruszi / Mazni Aznita




Mencari Kiblat Cinta




Penulis  :  Anita Aruszi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Gedung Novela Publishing
Bilangan Mukasurat :716
Tarikh Terbitan : Disember 2012
ISBN : 978-967-10425-1-9
Rating : ★★







Pertama kali meneroka karya penulis ini aku agak tertanya-tanya pada diriku sendiri adakah karya ini dapat memberikan kepuasan kepadaku sepenuhnya setelah terlihat beberapa comments yang begitu mengujakan di perkongsian geng goodreads. Ternyata membaca setiap baris ayat dari karya yang sungguh pilu ini membuatkan mataku bengkak menangis tersedu sedan dan sakit dada. Kisah yang sungguh menyayat hati.


Sinopsis 



Kerana satu tragedi hitam, dua beradik terpisah. Danira Qurratun Ain dipenjarakan, sepi dan sendiri di gerigi besi. Adiknya Naufal Benjamin pula hilang entah ke mana. Misi pertamanya setelah dibebaskan ialah mencari Naufal, tapi yang ditemukan ialah Tengku Filman, lelaki yang punya segala-galanya. Hidup yang sempurna, kerjaya dihormati serta keluarga yang bahagia. Sedangkan dia gadis yang kontras dengan kesempurnaan Tengku Filman. Jika Tengku Filman A, dia pula C. Jika Filman Mr. Right, dia pula hanyalah gadis di loteng usang. Dan kerana Filman, dia menemukan Aliff …lelaki traumatik dengan kenangan kosong.

Dalam sempurna Tengku Filman, ada sekeping hati yang tidak pernah sembuh. Namun kerana Danira, dingin Tengku Filman melebur. Wajah Danira memenuhi setiap ruang kosong di hatinya.  Cintanya kini berkiblat agung. Bertunjangkan kasih.
 

 


Di hadapan orang, dia terlihat bahagia. Miliki segala-galanya yang dimahukan. Tapi dalam senyuman dan gelak ketawanya, rupanya Aliff tidak pernah gembira. Jiwanya menderita, tapi tidak ada sesiapa yang tahu apa yang terpendam sejak sekian lama. Sebuah rahsia hitam, melontar dirinya ke dalam jurang dalam. Namun kehadiran Danira dalam hidupnya telah merubah segala-galanya.

"... Your smile and your heart, make me tremble inside, Danira. Believe it or not..it is already shaking for a few times ..."





Highly Recommended Book

 PERFECT - Kasih sayang tulus suci nan abadi 

 
Ulasan : 


Pendapat peribadi aku, karya ini memang terlalu sedih dan pilu seperti dihiris belati yang tajam dan cerita yang penuh dengan air mata kepada siapa yang membacanya. Kalau tidak percaya cuba baca karya ini. Kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang kakak yang sungguh luarbiasa dan sejujurnya amat menyentuh jiwaku ini. Membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku menangis, sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis berjaya membuatkan aku berfikir panjang mampukah aku berkorban kasih sayang seperti Danira ? Sanggup mengorbankan diri sendiri demi seorang insan yang bergelar ADIK yang amat dikasihi dan mengharungi setiap ujian mendatang dengan sabar dan redha ? 
Aku rasa tidak ramai yang mampu bertahan dan tidak semudah itu. 

Terima kasih kepada penulis kerana bukan sahaja berjaya mengadun jalan cerita yang penuh misteri malah penuh dengan unsur kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan, dendam dan cinta dengan bahasa yang bersahaja dan mudah dihadam TETAPI dalam waktu yang sama juga berjaya mencengkam pelbagai rasa di hatiku sewaktu membaca karya ini dari awal hingga akhir cerita.  Teknik penceritaannya juga penuh mendebarkan dan membuatku tertanya-tanya. Walaupun penulis banyak menggunakan teknik imbas kembali dan sentiasa membuatkan aku tidak "keruan" tetapi berjaya merungkai apa yang tersembunyi dalam karya ini dengan amat terkesan sekali di hatiku. Karya ini bukan sahaja amat meruntun jiwa malah sarat dengan pelbagai emosi. Dan berjaya membuatkan aku menjiwai watak-watak utama dalam karya ini dengan deraian air mata sehingga menyesak dadaku.

Syabas dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang memberi kesan yang sungguh mendalam kepada pembaca sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Cerita ini bukan sahaja boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat para pembaca malah menyedar dan menginsafkan. Ada mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada pembaca bahawa kasih sayang antara adik beradik itu ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Dendam tidak akan beri kita kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan hanya akan dapat dirasai sepenuhnya apabila kita dapat memaafkan diri sendiri dan juga orang lain. Jangan pernah menyesali setiap apa yang telah ditakdirkan berlaku kepada kita. Apa yang pasti penulis telah berhasil membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hati dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku. Jangan pernah kita merasakan hanya kita yang paling banyak diuji dan hilang iman dan keyakinan diri sehingga membuatkan kita berputus asa serta tidak menyakini qadak dan qadar. Jangan pernah berfikiran begitu kerana sebenarnya ada orang lain yang lebih hebat diuji berbanding kita. Wallahuallam.




... lagu Camar Yang Pulang - Aishah ...
 







kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... 
Anita Aruszi / Mazni Aznita


 


Seteguh Fayqa




Penulis   :   Hanina Abdullah
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Penulisan2u
Bilangan Mukasurat : 776
Tarikh Terbitan : August 2014
ISBN  :  978-967-0567-35-8
Rating  : ★★






Seteguh Fayqa adalah karya kedua penulis ini yang baru aku 'bedah siasat' dan kalau nak tahu buku ini aku beli terus dari penulis ni via fb Hanina.


Sinopsis  

Kisah pertemuan singkat Fayqa Lara Lyana Abdul Rahim (Fayqa) dengan Muhammad Dzariff Dzulqarnain (Dzariff) di hospital sewaktu kawan baik sekuliahnya Dzahim terlibat dalam pergaduhan telah menyebabkan Fayqa terpaksa tinggal bersama keluarga Dzariff untuk sementara waktu. Duduk sebumbung bersama keluarga Dzahim menyebabkan Fayqa sering berhadapan dengan Dzariff abang sulung kepada Dzahim yang sentiasa buruk sangka padanya dan sentiasa mencari kesalahannya setiap kali bertentang mata. Ada sahaja arahan dan karenah Dzariff yang membuatkan Fayqa hampir hilang sabar sehinggakan Fayqa menggelarnya 'Jeneral Sengal'. Perkenalan yang singkat ini tanpa disedari telah membuahkan suatu perasaan kasih dan sayang di dalam hati Dzariff dan terus mengambil keputusan melamar Fayqa.


Usia perkenalan yang singkat selama beberapa bulan dan seterusnya melangsungkan perkahwinan telah mewujudkan banyak cabaran dalam perhubungan setelah mereka berkahwin. Kebahagiaan yang baru dirasai oleh Fayqa yang masih muda, naif dan perbezaan usia yang jauh sering dikejutkan dengan kehadiran dan gangguan dari Musyrifah rakan kongsi perniagaan Dzariff sehingga membuatkan Nina menjeruk hati dan merasa terpinggir. Nina merasakan Dzariff tidak memperdulikannya, sering lupa pada janji dan terlalu sibuk dengan urusan perniagaannya dan banyak menghabiskan masa bersama Musy tidak kira di pejabat mahu pun di rumah. 

Walau bagaimanapun, Nina tetap cuba mempertahankan rumahtangga yang baru dibina itu dan cuba belajar untuk bersabar dan tidak buruk sangka dan cuba menjadi isteri yang terbaik buat Dzariff walaupun sering diingatkan oleh kakak-kakak iparnya tentang Musy yang seakan cuba mengganggu gugat rumahtangga mereka. Selepas kejadian Fayqa diculik, kesetiaan dan keikhlasan cinta Dzariff mula dipertikai. Fayqa mula merasakan Musy sedang cuba untuk merampas Dzariff darinya dan seringkali panggilannya dimatikan oleh seseorang di pejabat Dzariff.  Bermulanya konflik dalam rumahtangga mereka apabila Musy meluahkan perasaannya pada Fayqa dan ingin berkongsi kasih Dzariff.  Adakah Dzariff setuju ? Adakah Dzariff berjaya mendapatkan kepercayaan dan memujuk Fayqa semula? Dan berjayakah mereka mempertahankan mahligai cinta yang baru dibina itu ? Kalau nak tahu bagaimanakah kesudahan cerita ini cuba dapatkan buku ini ye...sedih dan sebak jugaklah...


Ulasan :

Secara peribadi, aku rasa jalan cerita dalam buku ini lebih kurang sama dengan cerita Arluna kisah rumah tangga yang diganggu oleh orang ketiga. Sebabnya aku sudah baca karya Rin tu terlebih dahulu...Jadi aku seakan dapat buat andaian sendiri apa kesudahan cerita ni. Sebelum baca karya ini aku mengharapkan jalan cerita karya ini lebih 'ummpphh' dari karyanya yang pertama aku baca iaitu 'Projek Memikat Suami' tetapi aku memang agak terkilan kerana tidak seperti yang aku harapkan...biasalah kan cerita melayu ni kan klise. Gaya penulisan bahasanya memang menghiburkan dan mudah difahami.  Watak-watak utama dalam karya ini berjaya mencuit hati aku terutamanya watak Fayqa dan Dzariff. Penulis berjaya menghidupkan watak-watak penting dalam cerita ini secara keseluruhannya melalui pengolahan dan perjalanan cerita yang menarik dan ada sedikit unsur 'suspen'. Ini berjaya membuatkan aku tertanya-tanya dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui akhiran cerita ini.  

Selain itu, penulis juga berjaya memeriahkan suasana cerita ini melalui dialog 'sempoi' dan aksi nakal dan bersahaja yang memang boleh menaikkan bulu roma aku aje. Aku rasa buku ini hanya sesuai dibaca dan dihayati oleh golongan yang telah pun bergelar ISTERI sahaja. Pengisian yang cuba diketengahkan oleh penulis lebih kepada pergolakan perasaan pasangan yang baru sahaja melayari bahtera ikatan perkahwinan. 

Terima kasih kepada penulis kerana berkongsi karya yang bukan sahaja memberi maklumat dan pengajaran serta mengajak pembaca untuk sama-sama merenung, menerima dan yakin jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita adalah yang terbaik, terindah dan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Sentiasa memaafkan suami atau isteri kita kerana masing-masing ada kelemahan dan kekurangan. Berusaha baiki kelemahan diri dan bantu pasangan kita untuk berbuat yang sama. Sentiasa TEGUH hadapi dugaan dengan pasangan kita, pertahankan hak kita, jangan mudah mengalah dan menyerah kalah walau apa sekalipun badai yang melanda. Sentiasa berbincang dari hati ke hati dengan pasangan kita, cari jalan yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan mahligai yang baru dibina demi mencapai matlamat keluarga bahagia. Semoga kita dipermudahkan melayarkan bahtera rumah tangga ini hingga ke syurga-Nya, insya-Allah.



...inilah lagu Love - Nat King Cole yang dinyanyikan oleh Fayqa...

 
 
kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... 
hanina abdullah