Tuhan Masih Mencintaiku





Penulis  :  Lily Haslina Nasir
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 576
Tarikh Terbitan : 25 August 2010
ISBN : 978-967-408-208-6
Rating : ★★






Ulasan

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi, berjaya juga aku mendapatkan karya yang telah kucari-cari selama ini hinggakan aku terasa begitu hampa sekali sebelum ini setelah mendapat tahu karya ini sudah tidak dicetak dan tiada lagi di pasaran. Pencarianku akhirnya bertemu noktah setelah terlihat karya ini di ebook Malaysia portal e-sentral.com baru-baru ini. Lega sungguh rasanya walaupun karya ini tidak dapat ku pegang di tanganku sendiri tetapi tercapai jua hasrat hati untuk mengetahui sambungan dari karya pertama penulis hebat ini iaitu Menunggu Cinta Tuhan karya yang telah membuatkan aku jadi tidak keruan dan panas punggung orang kata...ha ha ha

Sinopsis   

Azrul Rasyid mengalami perubahan 180 darjah dari segi sikap dan peribadi. Namun berhijrah dari kelaziman kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak semudah yang disangkakan. Ketika inilah ramai mengambil peluang membalas dendam dan memulangkan paku buah keras kepada Azrul. Hubungan dengan Khalida Atikah ada pasang surutnya. Dari meja hiburan yang sentiasa mengintai dan mengekori artis dan bermain dengan gosip, Azrul Rasyid, Khalida dan rakan lain sudah membuat tim baru. Mereka menyelongkar kisah getir masyarakat yang lebih menginsafkan. Malah Azrul dan Khalida berpeluang menyaksikan sendiri kegetiran pelarian perang sewaktu membuat liputan akhbar. Azrul berusaha mengumpul dana dan derma dari artis kenalannya dahulu untuk membantu mereka yang memerlukan. Akan tetapi ramai mempertikaikan... duit artis, duit hasil nyanyian. Apakah layak dijadikan sumbangan ke arah kebaikan?

Hidup peribadi Azrul Rasyid juga tertekan apabila kisah sejarah hitam ibunya menjadi buah mulut ramai. Baru kini Azrul memahami betapa sakitnya diri apabila difitnah dan dijadikan bahan gosip. Dia akhirnya mendapat tahu dia bukan anak kandung orang tuanya. Dia adalah anak yang tidak diingini. Ibunya satu ketika dahulu dirogol oleh bekas kekasih biarpun sudah bergelar isteri orang. Masalah bertambah sukar apabila yang kenangan bersama arwah Nureen sering menganggu tidurnya. Dosa silam tidak terbasuh dengan air mata biarpun saban malam dia menekur di sejadah memohon ampun. Cik Latifah yang sudah keluar dari wad sakit jiwa kembali mengganas. Dendamnya sampai mati!

Hanya kekuatan iman dan ketabahan yang luar biasa membantu Azrul Rasyid bangkit dari puing-puing luka cerita lama.

Setelah Azrul Rasyid Hakim, Ketua Meja Hiburan Akhbar Dinamik terselamat daripada runtuhan kondominium, dia mula berubah 180 darjah dan beralih arah dari bahagian Hiburan ke bahagian Prihatin dengan melakukan kerja-kerja kebajikan masyarakat dan kemanusiaan. Namun ia tidak semudah yang disangkakan. Bersama-sama anak buahnya Khalida Atikah, banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuh tidak kira dengan staf-staf di pejabatnya mahupun dengan masyarakat yang berada disekeliling untuk merealisasikan impian barunya itu. Dalam waktu yang sama juga, dia dikejutkan pula dengan berita yang sungguh memalukan dan merasa diri begitu hina tentang dirinya anak yang tidak sah taraf. Satu persatu dugaan dan ujian yang terpaksa dihadapi oleh Azrul demi mendapatkan hijrah yang hakiki. 
Azrul yang suatu ketika dahulu sering memaki hamun dan memarahi Khalida Atikah, anak buahnya seorang wartawan muda yang baru bekerja dibawahnya mula menerima kehadirannya dan sering dijadikan sebagai tempat untuknya meluah rasa dan mengadu segala keresahan di hati. Walaupun Khalida digambarkan Azrul budak lurus bendul mengalahkan kelurusan Lebuh Raya Utara Selatan, namun banyak pandangan dan kata-kata yang diucapkan Khalida telah berjaya menyedarkannya sekaligus berjaya mengubah sikap dan perangainya dan seringkali membuatkannya kelu tanpa kata. Azrul akhirnya dapat menelan segala kepahitan dan dapat menerima setiap kenyataan dan takdir dirinya. Okey aku tidak mahu cerita lebih-lebih, apa yang boleh aku beritahu aku memang suka dengan akhiran cerita ini. Akhirnya Azrul menyunting Khalida....

Pendapat peribadi aku, penulisan Lily memang sungguh luarbiasa, tajam dan sungguh berbisa sekali. Penulis bukan sahaja berjaya menyingkap sisi gelap masyarakat Melayu yang begitu sinonim dengan amalan sihir dan hasad dengki malah berjaya mengheret pembaca untuk sama-sama insafi diri akan dosa-dosa yang telah kita lakukan sepanjang usia kita ini. Bertaubatlah dan pulang ke pangkal jalan dengan keindahan Islam cahaya yang menunjuk arah beriman kepada ALLAH swt. Yakini bahawa setiap ujian yang diberi kepada kita dan segala yang berlaku itu hanya ALLAH yang lebih mengetahui. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Tentunya cinta Tuhan adalah cinta yang paling indah dan sempurna. Cinta yang paling harum tanpa bandingan. Semoga karya ini dapat dijadikan teladan dan ikhtibar buat pembaca dan semoga kita semua dapat sama- sama memperoleh kebaikan dan manfaat dari karya ini. Terbanglah mencari cinta Tuhan. Hanya cinta Tuhan yang hakiki. Percayalah Tuhan Masih Mencintaiku dan kamu !



...Terima kasih ya Allah, kasih sayang yang Engkau berikan...

...Terima kasih ya Allah, di atas kudrat yang Engkau pinjamkan...



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Lily Haslina Nasir  




No comments:

Post a Comment