Mencari Kiblat Cinta




Penulis  :  Anita Aruszi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Gedung Novela Publishing
Bilangan Mukasurat :716
Tarikh Terbitan : Disember 2012
ISBN : 978-967-10425-1-9
Rating : ★★







Pertama kali meneroka karya penulis ini aku agak tertanya-tanya pada diriku sendiri adakah karya ini dapat memberikan kepuasan kepadaku sepenuhnya setelah terlihat beberapa comments yang begitu mengujakan di perkongsian geng goodreads. Ternyata membaca setiap baris ayat dari karya yang sungguh pilu ini membuatkan mataku bengkak menangis tersedu sedan dan sakit dada. Kisah yang sungguh menyayat hati.


Sinopsis 



Kerana satu tragedi hitam, dua beradik terpisah. Danira Qurratun Ain dipenjarakan, sepi dan sendiri di gerigi besi. Adiknya Naufal Benjamin pula hilang entah ke mana. Misi pertamanya setelah dibebaskan ialah mencari Naufal, tapi yang ditemukan ialah Tengku Filman, lelaki yang punya segala-galanya. Hidup yang sempurna, kerjaya dihormati serta keluarga yang bahagia. Sedangkan dia gadis yang kontras dengan kesempurnaan Tengku Filman. Jika Tengku Filman A, dia pula C. Jika Filman Mr. Right, dia pula hanyalah gadis di loteng usang. Dan kerana Filman, dia menemukan Aliff …lelaki traumatik dengan kenangan kosong.

Dalam sempurna Tengku Filman, ada sekeping hati yang tidak pernah sembuh. Namun kerana Danira, dingin Tengku Filman melebur. Wajah Danira memenuhi setiap ruang kosong di hatinya.  Cintanya kini berkiblat agung. Bertunjangkan kasih.


 


Di hadapan orang, dia terlihat bahagia. Miliki segala-galanya yang dimahukan. Tapi dalam senyuman dan gelak ketawanya, rupanya Aliff tidak pernah gembira. Jiwanya menderita, tapi tidak ada sesiapa yang tahu apa yang terpendam sejak sekian lama. Sebuah rahsia hitam, melontar dirinya ke dalam jurang dalam. Namun kehadiran Danira dalam hidupnya telah merubah segala-galanya.

"... Your smile and your heart, make me tremble inside, Danira. Believe it or not..it is already shaking for a few times ..."





Highly Recommended Book
 PERFECT - Kasih sayang tulus suci nan abadi 

 
Ulasan : 


Pendapat peribadi aku, karya ini memang terlalu sedih dan pilu seperti dihiris belati yang tajam dan cerita yang penuh dengan air mata kepada siapa yang membacanya. Kalau tidak percaya cuba baca karya ini. Kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang kakak yang sungguh luarbiasa dan sejujurnya amat menyentuh jiwaku ini. Membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku menangis, sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis berjaya membuatkan aku berfikir panjang mampukah aku berkorban kasih sayang seperti Danira ? Sanggup mengorbankan diri sendiri demi seorang insan yang bergelar ADIK yang amat dikasihi dan mengharungi setiap ujian mendatang dengan sabar dan redha ? 
Aku rasa tidak ramai yang mampu bertahan dan tidak semudah itu. 

Terima kasih kepada penulis kerana bukan sahaja berjaya mengadun jalan cerita yang penuh misteri malah penuh dengan unsur kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan, dendam dan cinta dengan bahasa yang bersahaja dan mudah dihadam TETAPI dalam waktu yang sama juga berjaya mencengkam pelbagai rasa di hatiku sewaktu membaca karya ini dari awal hingga akhir cerita.  Teknik penceritaannya juga penuh mendebarkan dan membuatku tertanya-tanya. Walaupun penulis banyak menggunakan teknik imbas kembali dan sentiasa membuatkan aku tidak "keruan" tetapi berjaya merungkai apa yang tersembunyi dalam karya ini dengan amat terkesan sekali di hatiku. Karya ini bukan sahaja amat meruntun jiwa malah sarat dengan pelbagai emosi. Dan berjaya membuatkan aku menjiwai watak-watak utama dalam karya ini dengan deraian air mata sehingga menyesak dadaku.

Syabas dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang memberi kesan yang sungguh mendalam kepada pembaca sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Cerita ini bukan sahaja boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat para pembaca malah menyedar dan menginsafkan. Ada mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada pembaca bahawa kasih sayang antara adik beradik itu ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Dendam tidak akan beri kita kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan hanya akan dapat dirasai sepenuhnya apabila kita dapat memaafkan diri sendiri dan juga orang lain. Jangan pernah menyesali setiap apa yang telah ditakdirkan berlaku kepada kita. Apa yang pasti penulis telah berhasil membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hati dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku. Jangan pernah kita merasakan hanya kita yang paling banyak diuji dan hilang iman dan keyakinan diri sehingga membuatkan kita berputus asa serta tidak menyakini qadak dan qadar. Jangan pernah berfikiran begitu kerana sebenarnya ada orang lain yang lebih hebat diuji berbanding kita. Wallahuallam.




... lagu Camar Yang Pulang - Aishah ...








kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... 
Anita Aruszi / Mazni Aznita


 


No comments:

Post a Comment