Melukis Syurga





Penulis   :  A.Ubaidillah Alias    
Negara   :  Malaysia  
Bahasa   :  Melayu   
Genre     :  Malay Fiction    
Penerbit  :  Telaga Biru Sdn Bhd  
Bilangan Mukasurat : 358  
Tarikh Terbitan : August 2013  
ISBN :   978-967-388-135-2
Rating :  




Ulasan :

Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku masih lagi diberi kesempatan dan terpanggil untuk menghayati karya keempat penulis hebat ini selepas Kala Cinta & Wahyu Bersatu, Cinta Kembali Bertasbih dan Mengintai Cinta Khalifah. Subhanallah, sebuah kisah yang sungguh meruntun jiwa pada sesiapa sahaja yang dapat menghayati jalan cerita yang sungguh luarbiasa ini. Secara peribadi, kisah ini boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah unik yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan motivasi kepada kita dalam melayari kehidupan di dunia yang penuh ujian yang mencabar ini.


Watak Abdul Khair bukan sahaja mampu menyentuh dan melentur hati dan jiwa yang masih kontang dengan iman. Malah berjaya mendidik pembaca untuk sama-sama muhasabah diri, belajar perbaiki diri dan menambah ilmu dan berusaha untuk menjadi orang yang beriman. Banyak mutiara indah, kata-kata nasihat, hadis dan sunnah Nabi yang dihurai dengan cara yang mudah difahami dan begitu terperinci. Sehinggakan terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam.  

Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang sungguh SEMPURNA dan dapat dijadikan teladan dan inspirasi untuk menjadi seorang yang mukmin insya-Allah. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja buat aku rasa takut dengan diri ini yang masih kurang ilmu dan jahil dalam serba serbi malah buatku terfikir bagaimana keadaan aku di akhirat kelak. Ya, menyedar dan menginsafkan aku untuk kembali patuh pada ajaran Allah dan persiapkan diri untuk kembali menemui Allah dengan hati yang sejahtera iaitu tidak membawa dendam ataupun kebencian kepada Allah Taala. Ya Allah, berilah petunjuk dan jalan bagiku agar dapat aku melukis dan membina Syurgaku di negeri abadiMU.


" Ya Allah, bantulah hamba-Mu yang mahu mencari jalan kebenaran. Bantulah hamba-Mu yang jahil dan lemah ini. Tanpa-Mu aku akan tersesat jalan"

Sinopsis

Abdul Khair telah dididik oleh Puan Kalthom dengan kehidupan beragama semenjak bapanya meninggal dunia. Dia seorang yang taat dan warak. Namun sebagai anak muda, Khair juga menyemai harapan untuk menikahi gadis idamannya. Gadis yang dimaksudkan ialah Raihan, seorang kawan karib semenjak kecil dan juga merupakan anak kepada Ustaz Solahuddin. Hampir sahaja Khair dan Raihan ditunangkan, namun kerana Raihan perlu melanjutkan pengajian ke Timur Tengah maka pertunangan mereka ditangguhkan. 


Tanpa diduga, sebaik Raihan ke Timur Tengah Khair terpaksa menerima sepupunya Sabariah sebagai isteri atas perintah ibunya. Khair akur dengan takdir dan berusaha menjadi seorang suami yang baik. Sejurus Raihan pulang, dia tidak mengerti kenapa Khair menolak cintanya? Dia berusaha mencari jawapan. Dia masih berharap cintanya akan kembali bertaut. Ketika itu, Daniel seorang anak orang kaya cuba melamarnya. Raihan semakin keliru.

Wajarkah dia melepaskan Khair dan menerima Daniel, sedangkan hatinya masih kuat berharap kepada Khair?





 Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-
 

Nabi berpesan agar kita tekun menunaikan solat kerana solat adalah tiang agama. Dengan tertegaknya solat, barulah akhlak mulia akan mampu kita zahirkan

' Ya Allah, engkau jadikanlah anak ini sebagai manusia bertakwa dan terimalah segala amal kebajikannya.
surah al-Ma'idah ayat 27 yang bermaksud, 
" Sesungguhnya Allah hanya menerima amalan orang muttaqin (bertakwa).
Ya Allah aku impikan syurga untuk anak ini. Bentuklah peribadinya dengan akhlak mahmudah sebagaimana akhlak Rasul-Mu. Tetapkan jiwanya dalam iman dan kukuhkan akhlaknya agar tidak luntur seandainya dia ditimpa musibah ' 
  

Keistimewaan suami adalah terletak pada nilai jiwanya. Hati kena baik. Tidak mudah bersangka buruk kepada orang, jujur dan amanah, kuat bekerja dan tekun berusaha.

 surah al-Ma'idah penghujung ayat 27, Allah berfirman mafhumnya,
"Sesungguhnya Allah hanya menerima amalan soleh yang dikerjakan oleh orang yang bertakwa"
Maksudnya, amalan yang dikerjakan dengan sahih, tidak sewenang-wenangnya diterima Allah melainkan jika dikerjakan dengan rasa takwa serta penuh kehambaan. Dengan hati yang takwa sahaja barulah amalan itu akan dinilai dan diterima oleh Allah SWT.

Dunia itu sepicing pun tidak berharga jika agama tiada dalam jiwa. Manusia yang kontang jiwanya daripada mengingati Allah dan beribadat kepada-Nya, ialah manusia yang nihil (kosong, tiada apa-apa) dan tidak berguna.

" Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu. Dan izinkan aku beramal dengan amalan yang mendekatkan aku kepada cinta-Mu "

" Ya Allah, aku redha. Segala yang telah Kau takdirkan untukku, aku redha dengan sepenuh hati. Aku menerima segala qadar ini dengan keimanan yang utuh "

" Ya Allah! Aku berserah seluruh jiwa ragaku kepada-Mu. Demi kecintaanku kepada syurga-Mu, aku menolak maksiat dan menepis zina. Aku lakukan demi takutku kepada-Mu. Tiada orang yang mengetahui kebenaran yang berlaku melainkan Engkau saja. Ya Allah, biar apa pun berlaku. Aku tidak akan menyakiti manusia lain. Sekalipun aku disakiti, aku redha! Kerana aku percaya, Engkau akan membela aku daripada ketidakadilan. Engkaulah Allah, Tuhan yang Maha Adil "

" Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku takut pada azab-Mu, ya Allah. Jadikan kesakitan ini sebagai penebus kepada dosa-dosaku yang lalu, aku redha "

" Ya Allah, aku bersyukur atas apa sahaja yang telah Engkau tentukan buatku. Ampunilah dosaku, ampunilah dosa orang-orang yang berbuat salah kepadaku. Kerana mereka tidak mengetahui kebenarannya "

" Ya Allah, kami memohon cinta-Mu dan izinkan kami beramal dengan amalan yang mendekatkan diri kami kepada cinta-Mu. Hanya dengan mencintai-Mu, barulah kami mampu untuk mencintai makhluk lain dengan seadil-adilnya. Ya Allah permudahkan jodoh bagi mereka yang soleh dan solehah "

Nabi bersabda, ' Barangsiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah menutup aibnya di dunia dan akhirat.'

  " Ya Allah, dengan kekuasaan-Mu kami memohon agar Engkau satukan kami sampai ke syurga yang abadi. Engkau Pemilik Cinta, Engkau Pemilik Syurga, Engkau Pemilik Jagat Maya. Maka kepada Engkau kami bersujud setiap malam. Kepada Engkau kami memohon setiap denyutan nadi dan nafas. Kami tidak akan berhenti meminta agar Engkau menjadikan kami orang-orang yang akan memasuki syurga al-Firdaus. Yang akan menggapai pelangi syurga di langit takwa. Terimalah doa kami ya Allah, Amin "



... Kepadamu Kekasih - Kembara ...
 



 

Kala Cinta & Wahyu Bersatu





Penulis   :  A.Ubaidillah Alias  
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu 
Genre     :  Malay Fiction  
Penerbit  :  PTS Litera
Bilangan Mukasurat :  512
Tarikh Terbitan : 26 March 2013
ISBN : 978-967-408-144-7 
Rating : 
 
 

Ulasan :

Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku masih lagi diberi kesempatan untuk menghayati karya ketiga penulis hebat ini selepas Cinta Kembali Bertasbih dan Mengintai Cinta Khalifah. Kisah ini merupakan kesinambungan daripada novel "Warkah Cinta Berbau Syurga" tapi aku belum baca lagi he he..

Apa yang ingin aku kongsikan di sini, tidak perlu dipertikaikan lagi, ketiga-tiga karya penulis hebat ini memang boleh aku umpamakan seperti penawar kepada jiwa yang lara. Kisah ini sarat dengan kasih sayang bersyariat, penuh berilmu dan mendidik dengan hikmah. Setiap bait-bait ayat dalam karya penulis hebat ini pasti menimbulkan suatu getaran dan perasaan sebak dan insaf dihati. Perjalanan watak dan cerita diolah begitu puitis sekali dan mampu mendamaikan jiwa yang membacanya. Penulis bijak mendidik dan menyalurkan maklumat kepada pembaca secara halus melalui pengucapan dialog dan monolog yang mampu menyentuh dan melentur hati dan jiwa yang kontang dan beku. Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar kepada semua pembaca di luar sana dan mengambil pengajaran daripada kisah yang penuh dengan tarbiyah islami. 

Subhanallah. Sebuah karya yang sangat sempurna dan sesuai untuk dibaca oleh golongan remaja dan dewasa. Banyak mutiara ilmu, kata-kata nasihat dan maklumat berguna yang dapat aku belajar melalui karya hebat ini. Moga kisah ini dapat memberi manfaat berguna kepada kita semua insya Allah.  
 

Highly Recommended Book. PERFECT


 
 

Sinopsis




Mesir bukan noktah akhir pertemuan Amir Mukhlis dan Balqis. Amir Mukhlis pulang ke Malaysia bertarung antara hidup dan mati sedangkan Balqis menyangka lelaki itu sudah pergi menemui Ilahi.

Jalan hidup Balqis diwarnai dengan kehadiran Izzudin yang kembali mengharapkan cinta. Amir Mukhlis bertemu Tasnim yang teguh membawa legasi cinta Wardah. Manakala Amelia sepupu Amir terus mendambakan kasih Amir Mukhlis.

 







Balqis, mungkinkah cintanya yang terkunci dalam makhfi akan terbuka? Amelia, bisakah rindunya yang mendudu itu berlagu? Tasnim, mampukah dia memerdekakan cinta dan wahyu agar menjelma jawapan untuk segalanya.














 ... Paradise - Maher Zain ...

 

 
... Guide Me All The Way - Maher Zain ...





Bara Cinta Canberra





Penulis   :  Ilham Hamdani  
Negara   :  Malaysia  
Bahasa   :  Melayu  
Genre     :  Malay Fiction  
Penerbit  :  PTS Litera  
Bilangan Mukasurat : 588  
Tarikh Terbitan : 2010
ISBN :   978-983-3892-97-6  
Rating : ★★
 




 


Ulasan :


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Sebuah kisah yang sungguh sempurna, membuatkan jantungku berdegup laju, mampu menggetarkan seluruh jiwaku yang lesu. Kisah ini penuh dengan ayat-ayat yang dapat memujuk dan mengajak pembaca untuk kembali kepada Tuhan pencipta manusia dengan cara yang cukup lembut, halus dan terus meresap ke hatiku yang paling dalam. Kisah yang bisa membuatkan kita merasa segar, tenang dan damai. Kebanyakan buku yang kubaca sebelum ini adalah daripada luahan seorang penulis wanita. Dan sebagai seorang wanita, aku kira mesej mereka lebih cepat sampai dan dapat kuhadam dengan lebih mudah. Namun, setelah membaca kisah ini yang lahir daripada perasaan seorang lelaki, aku kira lelaki juga punyai pandangan dan luahan yang agak luarbiasa juga. Malah aku rasa karya penulis ini sarat dengan kata-kata nasihat dan pengajaran yang mampu menaikkan semangat waja dalam jiwa anak bangsa yang merantau di luar negara.

Walaupun pertama kali baca karya penulis ini tetapi penulis berjaya buat aku tertarik dengan olahan jalan ceritanya dengan begitu terkesan sekali dihatiku, terasa seperti jasadku berada di Canberra dan menikmati sendiri segala keadaan dan keindahan yang diceritakan melalui kisah ini. Banyak mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini. Dan banyak nilai-nilai murni anak bangsa Melayu, perpaduan anak bangsa Malaysia yang merantau di negara orang diceritakan dengan harmoni sehinggakan aku begitu terpesona dan buat aku tak sabar-sabar untuk tahu kesudahan cerita ini. Apa yang ingin aku kongsikan di sini, cerita ini memang cukup rencah, cukup rasa, cukup pesona. Rasanya aku bukan sahaja sudah jatuh hati dengan karya penulis hebat ini, tetapi aku juga ingin ucapkan terima kasih dan tahniah kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi suatu kisah yang bukan sahaja dapat dijadikan pedoman dan pengajaran kepada pembaca. Malah memang sesuai sekali dijadikan sebagai motivasi dan peniup semangat yang amat berguna kepada pembaca terutamanya kepada generasi muda dalam mengenal dan mengharungi hidup yang penuh cabaran dan dugaan sebagai manusia di bumi ALLAH ini. Aku akui 'Carilah Cinta Tuhan, kamu akan bertemu cinta hamba.' Semoga penulis akan terus berdakwah melalui berkarya.




Highly Recommended Book   

Sinopsis



Ikmal Hakimi, seorang bekas pelajar Malaysia yang kematian emaknya dan baru mengalami cinta terhalang. Akhirnya dia yang pernah belajar di Canberra (dan mengulang setahun) kembali semula ke Canberra mencari damai hati.

Cerita bermula apabila Ikmal Hakimi bertemu dengan Nia Suraya, bekas kekasihnya yang datang ke Canberra sabagai pegawai diplomatik yang berkursus setahun. Di sinilah bermulanya cinta musim kedua.

Dalam masa yang sama, ada seorang gadis Cina, Melissa Ai Ying Keong, adik teman serumah Ikmal Hakimi yang menaruh perasaan kepada Ikmal Hakimi. Di sinilah berlakunya konflik. Ikmal Hakimi berada dalam dilema membuat pilihan.

Selain itu, ada watak tambah Makcik Marwa dan Izzuddin al-Qassam yang telah merubah Ikmal Hakimi. Daripada seorang pemuda bermasalah, yang tidak ada pegangan hidup, yang ibarat lalang, kemudian menjadi seorang yang kuat agama, dan mendekati Tuhan, sesuai dengan nasihat Makcik Marwa, 'Carilah Cinta Tuhan, kamu akan bertemu cinta hamba.'

Nia Suraya yang terjebak dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa sehingga dia sendiri diculik. Dan Melissa pula terus-terusan menawarkan cinta sucinya. Ikmal Hakimi berjaya menyelamatkan Nia Suraya dengan bantuan polis dan rakan-rakan. Maryam Ai Ling Keong mengakui syadahah ikhlasnya.  Setelah menemui cinta Tuhan, Ikmal Hakimi akhirnya memilih untuk menjadi pemimpin yang halal di sisi Maryam.


... Masihkah Kau Ingat - Kopratasa ...



Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

Beza antara orang berjaya dan orang gagal ialah, orang berjaya mencipta peluang, orang gagal mencipta alasan

Kebahagiaan bukanlah pada sihatkah, sakitkah, tetapi adalah bagaimana cara kita menerima dan melihat sesuatu yang didatangkan istimewa oleh Tuhan itu

Carilah cinta Tuhan dan kau akan berjumpa dengan cinta hamba

Cinta ini kadang-kadang seperti sekuntum bunga ros cantik. Kita asyik dengannya, dan ingin lekas memilikinya. Tetapi, oleh duri tajamnya, sering sahaja kita terluka 

Kata Nabi ada empat perangai manusia :-
Pertama, lambat marah, cepat memaafkan. 
Kedua, cepat marah, lambat pula  maafkan orang. 
Ketiga, cepat marah, cepat memaafkan. 
Dan yang terakhir, lambat marah, dan lama pula mahu memaafkan. 
Maka jadilah yang pertama.

Ada empat petua untuk menjadi orang yang senang hati.
Dua daripadanya ialah kita mudah melupakan kesalahan orang kepada kita 
dan kedua, kita selalu ingat kesalahan kita kepada orang lain

Bahawa tekanan, desakan hidup dan peperangan yang besar melahirkan tokoh-tokoh hebat dan berpengaruh.
Jadilah sepeti Rasululullah saw, jiwanya kental, tidak pernah putus asa dan terus-menerus berharap dan berdoa kepada Allah, baginda berjaya melalui fasa-fasa sukar itu dengan kejayaan. Baginda lahir dari sekolah kesusahan dan universiti penderitaan yang hebat.

Tidak rugi kita mencintai Tuhan. Kerana bila kita mencintai Tuhan dan Tuhan pula akan mencintai kita, seluruh alam, langit, bumi dan seluruhnya diseru untuk  mencintai kita.

Kata Nabi orang yang bijak ialah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menemui kematian itu

Apa yang kita ada hari ini adalah pinjaman semuanya. Kita meminjam daripada Tuhan yang sangat kaya

Tuhan menyebut dalam surah Al-Mulk : 
" Tidak Aku ciptakan hidup dan mati, untuk melihat siapakah yang terbaik amalnya "

Di balik setiap kesulitan itu ada kegembiraan. Di balik awan kelabu ada sinar cahaya
Cuma kita harus bersabar. Itulah ubat yang paling mujarab 

Carilah cinta akhirat, kamu tentu akan bertemu dengan cinta-cinta dunia

Setiap sesuatu yang Allah aturkan, tentulah ada hikmah dan kebaikannya yang tidak diketahui oleh manusia yang sangat cetek fikirnya

Ujian adalah tanda sayangnya Allah kepada kita. Ujian adalah untuk mengangkat darjat seseorang hamba. Ujian adalah sebagai kifarat dosa-dosa, yakni menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan selama ini

Kehidupan adalah suatu perjuangan. Dan hanya orang-orang yang sanggup bangkit semula dan terus melangkah meski pun lemah, adalah orang yang akhirnya akan sampai jua pada garisan akhir. Garisan akhir adalah garisan kejayaan

Rugilah hidup manusia jika tidak menjadi pembaca. Rugilah pembaca jika dia tidak berubah dengan pembacaannya. Dan rugilah orang yang berubah jika dia tidak beristiqamah dengan perubahannya

Membaca sambil mengkaji. Bukan membaca sekadar mengisi masa lapang

Lihatlah kegagalan itu dari pandangan yang baik

Di belakang kejayaan seorang lelaki adanya seorang arkitek wanita iaitu isterinya
Dan di belakang kejayaan seorang wanita pun ada seorang lelaki yang meniupkan semangat

Di saat kita resah, dirundung malang yang saling bergantian, mengadulah kepada Tuhan

Kehidupan ini adalah satu pusingan kesenangan dan kesusahan. 
Kesenangan adalah untuk menjadikan kita bersyukur. 
Kesusahan adalah supaya kita segera mencari Tuhan   



kalau ingin tahu lebih lanjut karya penulis boleh klik link ni... Ilham Hamdani