Penulis : Mazni Aznita /Anita Aruszi
Negara : Malaysia
Bahasa : Melayu
Genre : Malay Fiction / Cinta
Penerbit : Buku Prima
Bilangan Mukasurat : 710
Tarikh Terbitan : 2010
ISBN : 978-967-5489-47-1
Rating : ★★★★★
Ulasan :
Syukur kerana dengan izinNYA aku masih diberi peluang "menyelongkar" karya keempat penulis hebat ini. Memang berbaloi sungguh aku beli buku ini dan tidak sia-sia aku hadap baca buku ini sampai lewat pagi. Apa yang dapat aku katakan di sini, karya ini memang lain dari yang lain yang pernah aku baca setakat ini. Aku memang tabik dengan penulis ini kerana memang tidak pernah lagi aku jumpa karya tempatan yang ada cerita sehebat ini. Suatu kisah fantasi yang berjaya buat aku melekat terus dengan jalan cerita yang seperti ala-ala cerita Lord of the rings ni ada kisah lawan-lawan pedang, naga, makhluk aneh dan pahlawan perkasa yang ada kuasa luarbiasa tetapi masih lagi menerapkan nilai-nilai yang baik. Pada aku memang seronok betul bila dapat baca karya ADVENTURE sebegini yang penuh dengan imaginasi dan begitu menghiburkan sekali. Sejujurnya aku memang lebih tertarik dengan cerita sebegini sebab jiwa aku memang lebih cenderung untuk tengok dan baca cerita yang macam Star Wars daripada tengok atau baca cerita cintan-cintun klise yang kadang-kala tak boleh diterima oleh akalku langsung.
Pendapat peribadi aku, penulis ini bukan hanya berjaya mereka dan mengadun satu cerita fantasi yang amat menarik dan penuh misteri serta menjadi tanda tanya kepada pembaca malah berani menghasilkan suatu karya berbeza dari genre yang pernah ditulisnya sebelum ini. Unsur suspen dan penggunaan teknik flashback atau imbas kembali dari awal sehingga akhir perjalanan cerita dalam karya ini berjaya membuatkan pembaca sentiasa dalam debaran tahap maksima dan buat pembaca tak sabar-sabar dan jadi begitu teruja nak tahu apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada watak Arina, Alwiz dan juga kisah misteri dalam karya ini. Teknik penceritaan dalam karya ini mungkin akan membuatkan pembaca pening kepala sedikit dengan jalan ceritanya yang agak tidak ikut kronologi masa dan aku juga terpaksa ambil masa dan ulang baca sebanyak dua kali cerita ini baharulah aku betul-betul dapat memahami keseluruhan isi perut cerita ni. Namun ia tidak sedikit pun buat aku tawar hati untuk teruskan pembacaan walaupun aku agak keliru sedikit pada awal pembacaan. Kalau nak tahu penulis ini memang tidak sah kalau tidak buat aku jadi tidak keruan dengan karya-karyanya. Ternyata teknik penceritaannya dalam karya ini berjaya buat aku tidak mahu beralih langsung dan terus menarik tumpuan aku masuk dalam cerita ni berilusi dan menjiwai watak-watak utama dengan begitu berkesan sekali. Tahniah kepada penulis hebat ini kerana berani menghasilkan sebuah karya yang begitu unik dan sungguh berbeza sekali jalan ceritanya dan seakan dapat mengubat keterujaan pembaca seperti aku yang terlalu mendambakan karya-karya yang berkisar tentang pengembaraan fantasi dan adventure yang begitu susah sekali untuk kita temui dalam pasaran buku tempatan negara kita sekarang ini. Apa yang pasti, aku sudah agak muak dan bosan dengan karya-karya tempatan yang lebih banyak dimomokkan dengan kisah cinta yang hampir sama sahaja jalan ceritanya dan aku rasa semakin kurang nilai-nilai murni yang cuba diterapkan oleh sebilangan penulis untuk dijadikan pengajaran dan iktibar dalam karya-karya mereka sebagai bahan bacaan kepada pembaca yang kebanyakannya adik-adik remaja yang masih di bangku sekolah lagi. Kepada pembaca yang suka genre sebegini, memang berbaloi baca buku ni tau. Highly Recommended Book.
Sinopsis
Kisah tentang Arina anak kepada Magdalena Anna dan Komander Hariz yang telah diculik sejak kecil dari kerajaan Drutasia oleh Raja Kruek, pemeritah kerajaan Lembah Hitam dan telah menjadikannya sebagai pembunuh upahan. Arina telah diselamatkan oleh ibunya dan menyembunyikannya di bumi dijaga oleh Ahmad Fahrin Toh.
Kehilangan adiknya Chayi di Mandaluyong, Filipina membuatkan Arina separuh gila mencari adiknya. Demi keselamatan Chayi, dia terpaksa mengaku Alwiz Syah Villaneuva yang muncul secara tiba-tiba sebagai tunangannya. Tapi semakin lama dia mengenali Alwiz, dia semakin dekat dengan rahsia yang menyelubungi dirinya sendiri. Sesuatu tentang Magdalena Anna aka Madina, ibunya sendiri harus dibongkar sebelum dia menemukan jawapan. Apatah lagi setelah dia tahu dirinya rupa-rupanya hilang ingatan dan terlupa siapa dirinya. Mampukah dia membongkar seluruh galur dirinya dari sebuah pengembaraan yang di luar jangkauan manusia biasa? Siapakah lima gerero yang mewarisi lima senjata istimewa yang digelar Pedang Berlima ?
Arina membirai kelopak matanya. Hatinya masih curiga dengan niat Alwiz, tetapi pada masa yang sama dia tidak tahu kenapa wajah lelaki itu kadangkala membuatkan hatinya berdebar-debar. Seolah-olah ada satu tarikan pada wajah Alwiz yg membuatkan dia seperti tenggelam dalam dunia lain.
Alwiz merenung gadis di sisinya. Wajah mencuka Arina ditatap tidak puas. Sebahagian hatinya meronta-ronta mahu mengatakan sesuatu, tetapi sebahagian dari hatinya melarang. Apalagi dia terikat dengan sumpah Magdalena Anna untuk tidak mencari gadis itu lagi dan menyimpan wajah itu di hatinya.
"Suatu hari nanti kau akan ingat semua perkara Arina. Kau akan mengingati Alwiz, kau akan mengingati aku, Jerry, Kim dan yang lain-lain. Aku tidak ingin memaksa tetapi kadangkala kau harus membuka pintu hati kau utk menerima kami." - Nakhael
Hayati kata-kata syahdu yang ditulis di dalam karya hebat ini :-
"Kau sebenarnya yang tak faham tentang cinta, sayang. Aku mahukan kau. Aku mahu mengahwini kau dan hidup bersama kau sampai bila-bila pun. Aku tak peduli tentang anak atau tentang racun dalam tubuh kau. Kita masih ada masa berpuluh-puluh tahun lagi untuk mencari penawarnya. Atau kalau kita gagal temukan penawarnya, maka aku akan hidup dan mati di samping kau. Buat selama-lamanya" - Alwiz
kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... Anita Aruszi / Mazni Aznita
No comments:
Post a Comment