Cinta Bukan Larangan





Penulis  :  Anita Aruszi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Gedung Novela Publishing
Bilangan Mukasurat : 797
Tarikh Terbitan :  2014
ISBN :
Rating : ★★★





 Ulasan :

Alhamdulillah dengan izinNYA aku dapat "menyelongkar" karya ketiga penulis yang telah mendapat tempat dihatiku ini. Buku terbaru ini sebenarnya telah kubeli secara terus via fb penulis ini dan telah pun berada di tanganku sejak beberapa bulan yang lalu, namun baru kini dapat kuhadapnya. Seperti dua buku terdahulu yang telahpun aku baca berulang kali, karya penulis hebat ini memang amat aku nanti-nantikan dan tidak sabar untuk baca kisah yang dicoretkan dalam karya ini pula. Nak tahu kenapa sebab karya Lelaki itu Untukku dan Mencari Kiblat Cinta telah buat aku tidak keruan dengan jalan cerita yang penuh misteri serta menjadi tanda tanya. Namun aku agak sedikit kecewa kerana karya terbaru ini tidak seperti yang aku harap-harapkan dan ceritanya tidak dapat menarik tangkai hati aku dan agak kurang menyengat seperti karya-karya yang telah pun kubaca sebelum ini. Aku nampak banyak kesilapan ejaan dan susunan ayat yang kurang kemas. Malah saiz tulisannya juga terlalu kecil buat aku yang rabun ini, payah sikit nak baca dan menghayati jalan cerita dan buat mood aku hilang sekejap nak baca. Sejujurnya aku kurang suka dengan kisah cinta antara dua beradik yang tiada ikatan darah yang dicoretkan dalam karya terbaru penulis hebat ini kerana walaupun jalan ceritanya masih ada misteri dan tema kekeluargaan yang erat, tetapi teknik penceritaannya kurang beri debaran dan cabaran melalui watak-watak utamanya. Dan gambaran sisi gelap watak Diaz sebagai watak utama memang aku tidak dapat terima dan macamana nak cakap ye, seperti tidak dapat memberi kejutan kepada aku seperti dua karya yang aku dah baca sebelum ini. Maaf cikgu sebab karya ini kurang mendapat tempat di hatiku ini ye. Apa-apa pun aku akan tetap menyelongkar karya-karya cikgu yang lain.


Sinopsis

Diaz Hafizi dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba menodai gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?



Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA
 


Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

 

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN 





kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... Anita Aruszi / Mazni Aznita
 

No comments:

Post a Comment