Penulis : Farisha Imani
Negara : Malaysia
Bahasa : Melayu
Genre : Malay Fiction
Penerbit : Penulisan Enterprise
Bilangan Mukasurat : 549
Tarikh Terbitan : Dis 2017
ISBN : 978-967-2102-27-4
Rating : ★★★★
Ulasan :
الحَمْد لله dengan izinNYA, pertama kali membedah siasat karya penulis ini. Tertarik untuk cari dan baca setelah terbaca beberapa comments yang agak mengujakan.
Ini kisah tentang Aisya Farhana yang menghidap penyakit jiwa split personality (personaliti berpecah) sejak berumur 8 tahun lagi atau juga dikenali sebagai Dissociative Identity Disorder : DID (kecelaruan identiti terpisah). DID adalah salah satu daripada penyakit psikologi yang menerangkan keadaan di mana seseorang itu memaparkan identiti atau personaliti yang berbeza. Dalam maksud mudah, DID adalah apabila seseorang mempunyai dua atau lebih personaliti dalam masa yang berbeza. Kadangkala mereka akan muncul baik dan tanpa sebarang amaran mereka akan berubah menjadi seseorang yang negatif.
Punca utama gangguan mental ini adalah daripada trauma yang terlampau teruk yang dihadapi oleh pesakit sewaktu masih kecil. Trauma yang berlaku mungkin berpunca daripada penderaan fizikal, emosi atau seksual terhadap pesakit. Trauma itu membuatkan individu berkenaan mencipta personaliti-personaliti tertentu berdasarkan umur-umur tertentu. Personaliti ini lebih dikenali sebagai alter ego atau 'aku yang lain' dicipta kerana pesakit tidak tahan menanggung derita dan karaktor 'aku yang lain' ini muncul untuk mengambil beban derita yang dialami oleh pesakit. Ini bermakna seorang pesakit boleh memiliki beberapa personaliti yang berbeza.
Dalam kisah ini hampir 20 tahun Aisya menderita penyakit ini dan memiliki 5 personaliti yang berbeza. Kisah ini mengundang pelbagai rasa, sebak dan mendebarkan dari awal hingga ke akhirnya. Pertemuan Aisya dengan psychiatrist Doktor Naim telah menyingkap sebuah rahsia duka dan tragedi hitam yang terpendam lama. Segala memori silam pahit muncul kembali. Kepingan-kepingan memori lama yang telah terpisah kembali bercantum dan membentuk sebuah kenyataan yang amat menyakitkan. Aiman Naim adalah punca trauma dan segala penderitaan yang ditanggung oleh Aisya selama ini. Bacalah, anda pasti akan dapat rasa apa yang kurasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. "~ Surah Al Baqarah ayat 216.
Tiada satu pun yang terjadi di dunia ini secara kebetulan dengan keizinan Allah SWT dan pastinya ada hikmah yang akan diperoleh daripada ujian ini. Dan sebagai hambaNYA yang menzahirkan keimanan, kita perlu sentiasa bersangka baik dengan setiap ujian yang mendatang. Sesungguhnya hanya kepada ALLAH jua kita meletakkan pengharapan dan berdoa.
Banyak mutiara ilmu, doa dan kata-kata nasihat yang dapat aku kutip dan pelajari melalui kisah sedih pilu diorang ini.
Semoga kisah ini dapat dijadikan sebagai inspirasi, teladan dan
pengajaran buat semua pembaca diluar sana.
Wallahu a’lam ( والله أعلمُ) ertinya Dan ALLAH Yang Maha Mengetahui.
Sinopsis
"Aisya tak nak main kahwin-kahwin lagi. Aisya nak balik."
"Diam aku cakap!"
Layar mata seolah-olah menayangkan imbasan kisah silam yang menyakitkan itu. Jijik. Dia tak sanggup. Dia dapat rasa kesakitan dan penderitaan itu. Perit.
Kesakitan fizikal dan mental lalu menarik Aisya Farhana ke dalam kesengsaraan. Sakit yang ditanggung dan dipendam tidak dapat diluahkan. Dari situ, muncul watak-watak untuk sama-sama menanggung rasa sakit itu dan tidak mahu Aisya Farhana terseksa sendirian.
Han Ji Ha: Alter yang periang dan meminati K-Pop. Menggembirakan Aisya Farhana.
Maria Mariana: Alter yang sukakan aktiviti lasak. Mahu Aisya Farhana hidup bebas ke mana sahaja.
Bibah Bebel: Alter yang suka membebel. Menceriakan diri Aisya Farhana.
Ustazah Jamilah: Alter yang sukakan kebaikan pada Aisya Farhana.
Amira Natrah: Alter dominan. Mempunyai sifat pendendam dan mahu membalas segala yang pernah dilalui Aisya Farhana.
Dia tak normal. Aisya Farhana perlu menerima rawatan dan penyakitnya ini telah menemukan dia dengan Doktor Naim, seorang psychiatry dalam keadaan yang tidak diduga. Hubungan mereka mulai rapat dan tiba-tiba...
Namun, Amira Natrah menentang hubungan itu. Dan setiap kali Doktor Naim mahu memberikan rawatan juga, Amira Natrah pasti akan muncul dan membuat masalah. Adakah Amira Natrah cemburu akan hubungan Doktor Naim dengan Aisya Farhana?
"Jangan kau berani sentuh aku. Tangan kau sangat jijik dan kotor, Dr. Naim!" – Amira Natrah
Doktor Naim seorang lelaki yang baik, sedaya upaya mahu membantu Aisya Farhana supaya sembuh. Tetapi, apakah ada rahsia yang Amira Natrah tahu tentang Doktor Naim sehinggakan sekeras-kerasnya dia menentang rawatan yang mahu diberikan oleh Doktor Naim kepada Aisya Farhana? Adakah... Doktor Naim pernah wujud dalam kisah derita Aisya Farhana dahulu?
... lagu Tetap Dalam Jiwa - Isyana Sarasvati ...
... lagu Kesempatan Kedua - Alif Satar ...
Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-
Hidup ini macam kopi. Memang akan ada rasa pahit. Semua orang akan lalui rasa pahit itu. Tapi rasa pahit itulah yang akan memberi nikmat bahagia pada penghujungnya.
Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan ~ surah al-Insyirah ayat 6
Ujian itu sebenarnya hanya cerita kita dengan Allah. Orang lain cuma pelakon tambahan. Jangan marah sesiapa. Jangan dendam sesiapa. Jangan benci sesiapa. Cuba ikhlaskan hati sedaya upaya. Ya, mula-mula kita rasa perit sedikit. Rasa sakit. Tapi tak lama lagi kita dah tak peduli. Sebab kita tahu Allah ada.
Bila kita yakin Allah jualah pemegang segala kebahagiaan maka kita tidak akan pertikaikan apa-apa lagi. Dalam hidup kita bukan hanya ada perasaan. Kita juga ada Allah.
Kebahagiaan seorang wanita terletak pada kasihnya seorang ibu dan setianya seorang suami.
Reda dengan takdir Allah akan melahirkan kebahagiaan dalam hati kita. Dan kebahagiaan akan hadir dari hati yang mengenal Allah. Bila Allah ada dalam hatimu, kamu seolah-olah memilliki segala-galanya itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki.
No comments:
Post a Comment