Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul





Penulis  :  Fatimah Syarha Mohd Noordin
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    : Love - Religous life - Islam
Penerbit :  Telaga Biru Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 88
Tarikh Terbitan : May 2012
ISBN : 978-967-5102-40-0
Rating : ★★






Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya kedua penulis hebat ini. Karya hebat ini mengisahkan tentang Qaniah, seorang gadis yang amat berhati-hati dalam memilih pasangan hidupnya. Qaniah mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh suami terbaik dalam sebuah rumah tangga. Dengan keazaman dan kesungguhannya itu, Qaniah akhirnya telah berjaya dipertemukan dengan PEMILIK CINTANYA, Setelah ALLAH dan RASUL iaitu seorang suami yang sering mencontohi peribadi Rasulullah SAW dalam kehidupannya.




Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi ilmu dan berjaya menghasilkan bingkisan yang cukup lengkap dan sempurna tidak kira untuk gadis remaja, wanita, isteri, ibu, lelaki bujang, suami atau ayah. Banyak ilmu dan maklumat berguna yang aku perolehi setelah membaca bingkisan cinta ini. Pendapat peribadi aku, karya ini antara bingkisan penulis yang memberi kesan yang amat mendalam dalam jiwa aku. Alhamdulillah, walaupun buku ini agak nipis tetapi penuh dengan panduan, nasihat dan kisah buat para isteri memuliakan suaminya. Juga sebagai penghargaan buat para suami yang membahagiakan isterinya.  Highly Recommended Book. PERFECT - bagaimana menikmati cinta halal.


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

" Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertakwa. " ~ (Surah al-Furqan 25 :74 ) 

' Sesiapa saja yang menikahi wanita bukan kerana hal lain, kecuali agar pandangan matanya dapat dikekang, dan kemaluannya terpelihara atau untuk tujuan menyambung tali silaturahim, maka Allah akan memberkati pernikahannya dengan wanita itu dan wanita itu beroleh berkat pula kerana dipersunting olehnya '

"... Kita sekarang kekurangan Muslim sejati. Umat ini kelihatan ramai tapi sikit kekuatan. Umat ini nampak kaya tapi miskin jiwa. Umat ini nampak cerdik tapi bodoh mengikut telunjuk barat. Umat ini nampak bersatu tapi berpecah sesama sendiri, berdebat hal yang remeh-temeh..."

' Setiap ujian adalah tanda kasih sayang Allah yang tidak terhingga '

' Setiap kesusahan dunia akan berbayar kesenangan di akhirat '


kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ...  
Fatimah Syarha



 

Aku Yang Kau Tinggalkan





Penulis   :  Alina Haizar
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Kaki Novel
Bilangan Mukasurat : 759
Tarikh Terbitan :  February 2011
ISBN  :  978-967-5067-65-5
Rating  : ★★






AKU YANG KAU Tinggalkan ~ tajuk sinis yang begitu menarik-narik hatiku untuk menyelongkar karya penulis yang baharu sahaja aku kenali ini. Pertama kali 'membedah siasat' karya penulis ini setelah terlihat beberapa comments yang begitu mengujakan di perkongsian geng goodreads. 


Sinopsis 

Ikatan perkahwinan di antara Nia Atirah dan Zaril Ikhwan bukanlah atas dasar cinta. Nia memerlukan wang untuk membantu keluarganya, Zaril pula memerlukan seseorang untuk menjaga dirinya yang sakit.

Dalam tempoh menjaga Zaril, Nia mula jatuh cinta dengan suaminya sendiri. Diam-diam dia mengharapkan agar perkahwinannya ini kekal seumur hidup. Namun, akibat salah faham, Nia telah disingkirkan sebaik sahaja Zaril pulih sepenuhnya. Nia meninggalkan Zaril dan membawa hati yang lara ke Turin untuk meneruskan hidupnya sendirian di bumi asing bertahun-tahun lamanya.

Takdir menemukan mereka semula di Turin lalu mencetuskan perasaan benci, marah dan dendam yang terbuku di dalam hati masing-masing. Walaupun masih ada dendam dan rahsia yang dipendam, demi untuk meneruskan hidup ini, perpisahan secara rasmi adalah jalan yang terbaik buat mereka. Tidak perlu lagi menyalahkan takdir walaupun Nia dan Zaril merasakan diri masing-masing yang sebenarnya telah ditinggalkan. Apakah rahsia yang dipendamkan itu ...?


Ulasan :

Secara peribadi, membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku sebak dan pilu seperti dihiris pedang yang tajam sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis berjaya membuatkan aku berfikir panjang mampukah aku berkorban kasih seperti Nia mengorbankan perasaan sendiri, dihina dan membawa diri jauh  demi seorang insan yang bergelar LELAKI dan SUAMI yang amat dikasihi dan mengharungi setiap ujian mendatang dengan sabar dan redha ? Aku rasa tidak ramai yang mampu dan tidak semudah itu...

Permulaan cerita di mulakan dengan kehidupan Nia di Turin, Italy membuatkan aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Nia. Penggunaan teknik  flashback atau mengimbas kembali perjalanan cerita dalam karya ini bermula bagaimana Nia boleh berkahwin dengan Zaril sehinggalah bagaimana mereka boleh berpisah berjaya mengolah cerita dengan berkesan. Walaupun bahasa yang digunakan dalam karya ini nampak agak bersahaja namun ia berjaya menterjemahkan mesej melalui monolog pergolakan jiwa dalaman yang dialami oleh Zaril dan Nia. Malah teknik ini juga berjaya membuatkan aku dapat menjiwai tekanan perasaan yang dialami oleh dua watak utama ini. Penulis juga banyak menceritakan tentang Serravalle, Turin, Naples bandar-bandar di Italy yang sememangnya sinonim dengan fesyen dan barangan berjenama antarabangsa yang terkenal dan popular dan banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati yang diceritakan dalam karya ini.   Membaca karya ini bukan sahaja buat aku rasa seolah-olah berada di Turin malah seperti aku telah berada di sana menikmati keindahannya. Ini membuatkan aku terasa berkobar-kobar dan teringin untuk pergi ke Italy ni satu masa nanti...insya-Allah.

Selain itu juga, penulis berjaya menimbulkan tekanan dan  rasa sakit dihatiku, walaupun aku geram dan benci dengan apa yang Zaril lakukan pada Nia tapi dalam waktu yang sama ada juga perasaan kasihan padanya. Di sebalik kisah yang syahdu ini, penulis berjaya memperlihatkan dan membuka mindaku bahawa inilah yang akan terjadi sekiranya setiap pasangan suami isteri itu malu untuk berterus terang dan tidak meluahkan perasaan kasih, sayang dan segala rasa yang terpendam di hati masing-masing terhadap pasangannya. Perasaan ego dan hanya pentingkan diri sendiri bukan sahaja akan menimbulkan perasaan salah faham pada kedua-dua belah pihak dan akan saling menyalahkan bahkan ia juga akan memusnahkan kebahagiaan dalam sesuatu perhubungan dalam sekelip mata. Oleh itu sentiasa hargai, cuba fahami dan amalkan sikap berterus-terang apa yang kita rasa dengan pasangan kita dan sentiasa beralah dan saling maaf-memaafkan dalam rumahtangga tidak kira anda bergelar seorang suami atau pun isteri. Cintailah pasangan kita kerana ALLAH dan Cintainya Tanpa Syarat. Dengan ini, ia akan dapat mengelakkan daripada timbulnya perasaan prasangka terhadap pasangan. Kemaafan adalah dendam yang terindah. Highly Recommended Book kepada yang bergelar ISTERI atau SUAMI.

Ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis kerana telah berjaya menghasilkan karya yang hebat sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku malah boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat para pembaca. Apa yang pasti penulis telah berhasil membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hatiku dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku, membaca buku ini dengan deraian air mata yang bukan sahaja buatku lebih bersyukur dan mensyukuri di atas nikmat dan apa yang aku ada disekelilingku, malah membuatkan aku lebih menginsafi kekhilafan diri ini dan akan cuba memaafkan orang lain.


...inilah lagu Cinta Tanpa Syarat - Afgan yang ku gambarkan luahan rasa hati Zaril kepada Nia ...

 


...ini pula lagu Jauh - Afgan yang ku gambarkan luahan rasa hati Nia kepada Zaril ...







kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ...  
Alina Haizar  






Untuk Kita Pendosa





Penulis  :  Hilal Asyraf
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Muslim - Conduct of life
Penerbit :  PTS Millennia
Bilangan Mukasurat : 230
Tarikh Terbitan : 2013
ISBN :  978-967-411-076-5
Rating : ★★






Ulasan :

Dosa adalah ujian. Untuk kita para pendosa, terbuka ruang, seluas-luas ruangan. Kemudian, ingatlah kita kepada pesan Tuhan dalam ayat berturutan.

" Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab. Ini kerana, sesudah itu kamu tidak diberikan pertolongan. " 
~ ( Surah Az-Zumar : 54 ) 


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar !!! Buku ini  merupakan sebagai penawar dan pengubat segala duka lara yang telah bersarang di hatiku selama ini. Membaca setiap perkataan dan ayat dalam karya penulis hebat ini membuatkan aku begitu sebak dan meruntun jiwaku ini sehinggakan setiap kali pembacaan terpaksa kuhentikan seketika dek kerana tidak tertahan mataku ini mengalirkan air mata deras. Aku yakin sesiapa sahaja yang membacanya pasti akan merasai apa yang ku rasa di ketika ini. Apakah yang kita faham dengan dosa ? Adakah kita boleh nampak dosa itu ? Adakah dosa itu ada kaitan dengan iman seseorang ? Dosa dan iman kita sebenarnya adalah dua perkara yang berlawanan. Jika iman kita baik dan benar, kita akan rasa sensitif dengan dosa. Manakala jika iman kita lemah dan tidak jelas, kita akan melihat dosa itu seperti perkara biasa sahaja.

Petikan dari Hilal Asyraf   

“Iman itu bukan sekadar cita-cita, bukan sekadar kata-kata, tetapi ianya adalah apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal.”

sabda Rasulullah SAW:
  “Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” 
Hadith riwayat Bukhari.


Sungguh aku terasa alangkah banyaknya dosaku dan lemahnya imanku sepanjang aku bernafas di bumi Allah ini dan seringkali aku bersangka buruk kepada-Nya walaupun aku telah diberi peluang dan segala kenikmatan duniawi ini tanpa aku sedari akan rahmat dan kasih sayang-Nya kepadaku.  Highly Recommended Book kepada yang ada kesedaran dan ada keinginan untuk berubah dan membersihkan diri dari dosa serta mendapatkan kasih sayang dari Allah. Jangan pernah bersangka buruk kepada Allah di atas segala yang berlaku dalam hidup kita. Jangan berhenti berdoa dan memohon petunjukNya dan sentiasa bertawakal serta serahkan segala-galanya kepadaNya, insya-Allah. Ingatlah kita adalah Pendosa Yang Sentiasa Di beri Peluang Dan Harapan Selalu Ada. Rebutlah peluang selagi masih ada. Semoga kita sentiasa diberi peluang dan dipermudahkan. Semoga ALLAH SWT mengampunkan semua dosa kita insya-ALLAH amminn.




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... 
Hilal Asyraf







Menunggu Cinta Tuhan





Penulis  :  Lily Haslina Nasir
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  PTS Litera Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat : 469
Tarikh Terbitan :  6 October 2009
ISBN :  978-983-3892-54-9
Rating : ★★







Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA sekali lagi, aku telah terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh luar biasa ini. Karya yang telah berjaya membuatkan aku bersengkang mata mengorbankan masa tidur semalamanku sebaik sahaja mataku tertancap 'menghadam' butir-butir ayat di muka surat pertama dari awal malam sehinggalah ke awal pagi...pergh sungguh luar biasa kan ?  Novel ini memang EXTRAORDINARY mempunyai aura kelainannya yang tersendiri. Nak kata novel cinta pun bukan, nak kata novel magis pun bukan juga entahlah UNBELIEVABLE percaya atau tidak tapi yang pasti inilah karya pertama dan belum pernah lagi aku membaca karya seumpama ini. Ia bukan kisah cinta yang penuh dengan ayat-ayat bergula ya tetapi lebih kepada cerita benar kerana adanya sifat mazmummah di dalam hati. Tentang manusia yang hanya pentingkan nafsu sendiri, ilmu hitam dan sihir dan kerakusan manusia apabila berkiblatkan syaitan dan semakin nipis iman di dada, nafsu serakah menguasai diri dan akal tidak berguna lagi akhirnya terjerumus ke lembah yang hina.  Karya ini memang telah berjaya meremangkan bulu tengkukku sepanjang pembacaanku.

Sinopsis  

Khalida Atikah jiwanya bening lagi putih mengalir kalau berbicara tentang roh Islam. Dia mungkin tidak punya cinta tapi tetap punya cita-cita. Impiannya cuma satu. Biar apa jua keadaannya, Islam tetap nur di jiwa. Dia juga ada ketika terkeliru dan celaru. Dunia surat khabar ada ketika memaksanya jadi zalim. Mampukah dia? “Alamak... macam mana nak tulis gosip? Nanti aku fitnah orang?”

Ketuanya, Azrul amat digeruni. Lelaki muda itu matanya tajam menikam, lidahnya mampu menghiris, tindakannya menghancur lumatkan kerjaya kewartawanan yang baru bermula. Namun antara Azrul yang digelar Harimau Dinamik dengan Allah SWT, Tuhan Yang Menguasai Seluruh Alam, Khalida tunduk sujud gentar lagi penuh cinta pada Yang Khalid!


Azrul Rasyid.. dia lelaki keras, kasar lagi lantang. Kata-katanya penuh luka, bibirnya penuh duri. Cintanya hanya pada diri, tulisannya penuh menyakitkan hati. “Hah?! Budak Khalida jadi anak buah aku?” “Bertudung, lurus bendul, aliran agama... Apa Khalida tahu tentang hiburan dan artis?” “Menulis di ruangan hiburan pun macam beri kuliah subuh!”

Renungannya pada Khalida penuh benci dan keji. Gadis ini memang menyusahkan! Tapi entah mengapa wajah polos jernih itu ada ketika menggugah hati bekunya. Nureen, gadis seksi penuh misteri, angkuh, tamak lagi haloba. Cita-cita dan nafsu dipacu menjadi satu. Sihir bobrok mainan bibir, amalan harian. Setinggi mana mampu mereka menongkat langit. Sejauh manakah cinta mampu bertahan di antara Nureen dan Azrul Rasyid seandainya di antara mereka ada wajah hitam yang menguasai.

Cinta Tuhan tidak perlu ditunggu. Cinta Tuhan tidak perlu dinanti. Kasih sayang dan manis rindu pada Tuhan seharusnya menjadi nafas kita setiap saat. Di antara Khalida Atikah, Azrul Rasyid dan Nureen siapa yang lebih luhur lagi putih untuk disapa cinta PenciptaNya?


Ulasan

Di sebalik kisah yang buat aku ' kecut perut '  ini, penulis berjaya memperlihatkan kepada pembaca bahawa inilah keadaan sebenar yang berlaku dalam masyarakat melayu dulu dan kini. Masih ada lagi segelintir masyarakat yang memandang sepi perkara-perkara yang menyekutukan Allah demi untuk kepentingan dan keagungan nafsu sendiri tanpa memikirkan akibat dan kesan dari perbuatan syirik tersebut kepada masyarakat keseluruhannya. Syabas dan tahniah serta ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis ini kerana berani mengupas kisah ini dengan begitu mendalam sekali dan berkongsi karya hebat ini untuk membuka akal fikiran pembaca untuk dijadikan sebagai amaran dan peringatan juga untuk menginsafkan pembaca akibat perbuatan yang terkutuk dan dilaknat Allah ini. Namun aku sedikit kecewa kerana 'ending' cerita ini tidak seperti yang aku harapkan...tiada kisah perasaan antara Azrul dan Khalida walaupun ada digambarkan sedikit, seperti ada terbit suatu perasaan dalam hati Azrul terhadap Khalida walaupun Azrul rasa malu dan biasalah ego lelakinya yang tinggi untuk mengakui dan cuba menafikan perasaannya sendiri. Tapi tak pe, aku suka dengan akhiran ceritanya yang memberi bahagia pada dua watak utama yang aku rasa memang 'sweet' ini. Mungkin aku kena cari dan dapatkan sambungan dari kisah syahdu ini. Harapan aku ada sambungan kisah mereka berdua ni. Aku tak mahu komen lebih-lebih, cuba dapatkan buku ini, hayati dan selami karya ini dan fikir-fikirkan dan luaskan kotak minda anda.


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

' Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan melakukan amal kebaikan, saling menasihati agar mengikut kebenaran dan saling menasihati agar kekal bersama kesabaran'  ~ ( Surah al-Ashr, 103: 1-3 )

' Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? ( Jika demikian keadaan mengumpat ) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya ' ~( Surah al-Hujurat : 12 ) 



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... 





Untuk Semua Dosaku




Penulis  :  Rin Ahmad
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Kaki Novel
Bilangan Mukasurat : 618
Tarikh Terbitan : 2012
ISBN :  978-967-5067-32-7
Rating : ★★







Setelah membaca karya pertama penulis, aku begitu tertarik dengan kata-kata di kulit novel "Bist du mit Liebe verliebt oder liebst du der, der die Liebe erschaffen hat ? Are you in love with the idea of love or do you love the creator of love? Hatiku seperti ditarik-tarik dan ingin menyelongkar apakah isi yang terkandung dalam karya ini yang pada firasatku karya ini juga tidak akan mengecewakan aku kerana karya ini telah mendapat perhatian yang meluas dari geng goodreads. Ternyata karya ini begitu berbeza sekali dan seperti kata pepatah melayu karya ini "membuka pekung di dada" memperlihatkan keruntuhan akhlak dan perilaku anak-anak bangsaku yang bijak pandai semakin tersasar jauh bukan sahaja daripada adat dan budaya malah telah luntur iman dan pegangan agama yang tersemat di dada. Walaupun pahit umpama hempedu namun itulah kenyataan yang perlu ditelan dewasa ini.


Sinopsis   



Nur Lisa, gadis pintar yang melanjutkan pelajaran ke Technical University of Munich (TUM) terperangkap menjadi roommate jejaka kacak, Syed Azri dengan sexy-smart-beard yang egonya tinggi melangit di studio kecil Pasing, Jerman. Sikap selamba Nur Lisa telah berjaya menambat hati Syed Azri yang pantang dicabar.
Berpasangan dan berkasih bukanlah tiket untuk hubungan kekal lama apabila cahaya hidayah menjengah ruang hati Nur Lisa. Bertahun hidup bersama di bumi asing merantai kaki Nur Lisa tetapi dia tegar melangkah pergi. Pergi meninggalkan semua dosa.



Impian Nur Lisa yang mendambakan lelaki yang beriman sebagai pasangan yang mampu membimbingnya lebur. Bagi Nur Lisa, sedalam mana cintanya terhadap Syed Azri, perkahwinan bukanlah penghapus dosa silam. Dipaksa berkahwin oleh keluarga yang malu apabila mengetahui kehidupan bebas Nur Lisa bersama Syed Azri di Jerman dulu menambah duka. Betullah kata orang... nak buat baik susah, nak berubah jadi baik, berganda-ganda lagi susah. Tanpa sokongan keluarga dan suami sendiri, mampukah Nur Lisa tegap berdiri di jalan yang telah dipilihnya?  Mampukah Nur Lisa kekal menjadi hamba-Nya yang taat dan menjadi isteri yang solehah kepada Syed Azri? Mampukah Syed Azri berjalan seiring dengan jalan yang telah dipilih oleh Nur Lisa?


Ulasan :

Di sebalik kisah yang syahdu ini ia membuktikan kepada kita alangkah ruginya jika seorang hamba kehilangan kasih Allah, dia akan hilang segala-galanya. Walaupun kita berdosa sebanyak bintang di langit, sebanyak debu di gurun atau sebanyak buih di lautan, yakinlah kasih sayang Allah dan keampunannya terlalu luas. Yakinlah di sebalik semua yang terjadi dan berlaku kepada kita itu ada hikmah dan nikmat yang akan kita syukuri satu masa nanti. Walaupun penulis menceritakan tentang kisah pergaulan bebas watak-watak utama secara jelas dalam karya ini namun aku kira secara tidak langsung kisah ini juga sebagai kiasan untuk memperlihatkan kepada pembaca bahawa inilah keadaan sebenar yang terjadi kepada segelintir anak bangsa melayu yang menimba ilmu di perantauan yang hilang jati diri dan semakin nipis iman yang diharap menjadi pelapis dan pejuang agama, bangsa dan negara.  Syabas dan tahniah serta ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis ini kerana berani menggarap kisah ini dan berkongsi karya hebat ini untuk dijadikan tauladan kepada para pembaca.  

Secara peribadi, aku dapati banyak maklumat dan persoalan sebagai seorang hamba-Nya, sebagai isteri dan sebagai anak dikupas dengan begitu sempurna sekali dalam karya ini.  Juga, banyak ilmu rumahtangga dan tanggungjawab isteri yang boleh dijadikan sebagai ikutan, panduan dan pengajaran untuk membimbing suami ke jalan yang diredhai oleh ALLAH swt dengan penuh helah manja menggunakan sepenuhnya kuasa wanita dengan cara yang  taat. Sejujurnya aku mengakui ayat-ayat dalam karya hebat ini yang mengatakan memang benar ramai orang yang bertemu hidayah jauh di rantau orang, kerana di sana hati cepat menjadi sunyi, menjadi walang dan mudah tersentuh. Paling penting, di tempat orang senang nak membezakan baik dan buruk. Jelas perbezaannya. Di tempat sendiri kadang-kadang nur ilahi terkambus antara adat dan budaya, terselimut antara yang fasik dan yang benar.  

Highly Recommended Book kepada yang berkeinginan untuk berubah dan menemui Pencipta juga kepada yang akan bergelar ISTERI. Jangan pernah berhenti berdoa kerana doa seorang isteri itu akan makbul jua, insya-Allah. Buatlah apa saja asalkan niat kita kerana Allah dan untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Ya Allah tetapkan imanku dan bimbinglah aku agar sentiasa mengerjakan amal soleh dan sentiasa taat dan menjadi isteri yang solehah, semoga dipermudahkan insya-Allah. Amin.


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

"...Sometimes the bad things that happen in our lives put us 
DIRECTLY 
in the path of the BEST things that will ever happen to us ..."

" Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hamba-Nya 
di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, 
sedangkan hamba-Nya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah istidraj "

Rasulullah SAW bersabda :
 " Ketika kamu mahu tidur bertasbihlah sebanyak 33 kali , bertahmid 33 kali dan bertakbirlah 33 kali. Sesungguhnya zikrullah memberi kekuatan jiwa dan membantu menanggung segala penderitaan hidup dan  Allah akan sentiasa bersama orang yang basah bibirnya dengan zikrullah "

Allah berfirman dalam satu hadis qudsi. 
Innamal a'malu bil niat
Setiap amal tergantung pada niat


Bist du mit Liebe verliebt oder liebst du der,

der die Liebe erschaffen hat ?

Are you in love with the idea of love or

do you love the creator of love?

 

Untuk Semua Dosaku

Fuer alle meine Suenden 

  

 

 

... Jay Jay & Dayangku Intan - Kita Insan Biasa ~ gambaran hati Lisa ...

 


kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Rin Ahmad



Cerita Cinta AHMAD AMMAR




Penulis  :  Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD)
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Tokoh
Penerbit :  Karya Bestari
Bilangan Mukasurat  :  359
Tarikh Terbitan  : 2014
ISBN : 978-967-86-0430-7
Rating :  ★★






Ulasan :


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akhbar !!! Buku ini telah sebulan kubeli TETAPI terpaksa kutangguh pembacaannya ekoran dari tidak tertanggung sebak yang terbuku menggunung dihatiku ini...setiap kali pembacaan terpaksa kuhentikan seketika kerana betapa mudahnya mataku ini mengalirkan air mata deras. Aku yakin sesiapa sahaja yang membacanya pasti merasa sebak dan hiba. Terasa begitu kerdil dan jauhnya aku jika dibuat perbandingan kerana sudah terlalu lama aku hidup dalam comfort zone yang amat selesa ini.  Setelah ku habisi pembacaan ini, Allahu Akhbar aku turut terkesan dan sungguh merasa kesannya dengan pemergian Ahmad Ammar seperti dikejutkan dari lena yang panjang...aku mula memikirkan tentang cahaya iman dan ilmu dalam diriku ini, mati syahid dan bagaimana untuk membantu saudara-saudara Islamku.  

Buku terbitan Karya Bestari ini khusus menceritakan tentang perjalanan hidup almarhum Ahmad Ammar daripada pandangan dan luahan hati dan kata keluarga almarhum, sahabat dan beberapa orang yang rapat semasa hayatnya. Cetusan idea menerbitkan buku ini adalah sebagai pemangkin sebuah kebangkitan Islam dan sebagai pencetus semangat baru di kalangan generasi muda dan umat Islam seluruhnya. Semoga kita dapat sama-sama mengambil teladan dan pengajaran daripada kisah dan peristiwa yang terjadi kepada almarhum Ahmad Ammar ini dan meneruskan kehidupan sebagai Muslim menurut ajaran Islam sekali gus memartabatkan keindahan Islam di sisi kita dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai ini insya-ALLAH. Semoga kita dipermudahkan oleh ALLAH SWT dalam perjuangan ini insya-ALLAH amminn.



Al-Fatihah buatmu Ahmad Ammar 
didoakan Almarhum bertemu dan ditempatkan bersama-sama 
insan agung junjungan Rasulullah SAW



 " ... Abah, dunia ini adalah tempat untuk berjuang 
dan tempat untuk kita berpenat. 
Kita rehatlah bila mati 
dan syurga-NYA sedang menanti ..."




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang GPTD boleh klik link ini ye ...  







Cinta High Class & Cintaku Kerana Agamamu




Penulis  :  Fatimah Syarha & Dr Farhan Hadi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Tarbiah
Penerbit :  Galeri Ilmu Sdn Bhd
Bilangan Mukasurat :  492
Tarikh Terbitan : 2012
ISBN :  978-983-097-361-6
Rating : ★★






Ulasan :

Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-NYA aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Cinta High Class adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku baca. Karya hebat ini boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah dan boleh dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup untuk para pembaca tentang erti sebenar cinta halal dalam Islam terutama sekali untuk yang belum bergelar atau pun yang sudah bergelar Suami atau Isteri.

 




Cinta High Class bukan eksklusif milik sesiapa. Cinta High Class berhak dimiliki oleh kita semua. Jangan tunggu esok. Hari ini juga kita dan si dia mesti mencintai secara high class. Jangan lupa, bantu si dia agar mampu mencintai secara high class juga.






 



Cintaku Kerana Agamamu. Dalam agama Islam, ada perkara yang baik dan perkara yang TERBAIK. Adat yang selari syariat elok diraikan. Masyarakat akan lebih berbaik sangka denan setiap pilihan orang lain apabila mereka mengamalkan mana yang menjadi prioriti. Inilah namanya konsep fiqh al-awlawiyat.








Karya ini memaparkan kisah yang sungguh menyentuh hati dari sudut pandangan seorang LELAKI iaitu Dr Muslih dan juga seorang PEREMPUAN iaitu Qani'ah Syumaila. Ia juga sebagai makanan kepada jiwaku yang masih kosong selama ini, aku cuba menghayati dan menghadam mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis disebalik maksud yang tersirat Cinta High Class sebagai seorang Muslim. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam, malah banyak menyedarkan aku tentang erti cinta itu sendiri dari perspektif  seorang Muslim. Penulis juga berjaya mentarbiah pembaca bagaimana cara untuk meningkatkan kualiti iman sebagai seorang lelaki dan perempuan dalam mengharungi hidup di dunia yang penuh dengan dugaan dan cabaran.  Selain itu juga, penulis juga banyak menyelitkan ayat-ayat al-Quran, sabda Nabi dan kata-kata mutiara para ulama muktabar tersohor yang sekaligus menjadikan novel ini nyata berbeza sekali dengan novel yang lain di pasaran yang telahku baca sehingga kini.

Ya ALLAH sesungguhnya aku mengakui aku telah banyak melakukan kesilapan di dunia fanamu ini dan masih cetek ilmu akhirat dalam diri ini. Masih banyak ilmu yang tidak lagi kupelajari dan masih banyak tanggungjawabku sebagai seorang Muslim yang masih tidak terlaksana dan perlu ditambah, diperbaiki dan dicarigali. Aku tidak mahu comment lebih-lebih disini, cukup hanya aku menyatakan di sini masih belum terlambat untuk para pembaca budiman sekalian untuk menambah ilmu di dada untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar. Kalau ingin tahu lebih lanjut dan menghayati serta menimba ilmu yang cukup hebat dalam karya yang aku pasti memang hebat ini, cuba dapatkan karya ini dan buat penilaian sendiri setelah membacanya. Anda pasti menemui jawapan disebalik persoalan yang tidak terjawab di minda selama ini insya-ALLAH.


Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berkongsi ilmu dan berjaya menghasilkan karya yang cukup lengkap rencahnya, sempurna dan sungguh mantap sehingga berjaya menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Banyak maklumat dan persoalan sebagai seorang muslimin dan muslimat dikupas sempurna dalam karya ini, bagaimana mendidik nafsu dan menyalurkan cinta halal dalam Islam dan seterusnya sehingga ijab qabul dilaksanakan. Di samping itu juga, banyak ilmu rumahtangga dan tips berguna yang dapat dijadikan sebagai ikutan, panduan, pedoman dan pengajaran untuk mendapat pahala dan keredhaan ALLAH di dunia yang fana ini. This is the best Islamic novel that I've ever read and its really worth to buy it  and Highly Recommended Book untuk yang belum, akan atau sedang  menempuh alam perkahwinan dan ingin menimba ilmu untuk menjadi seorang insan yang soleh dan solehah yang sentiasa mendapat keredhaan ALLAH SWT. Ya Allah kuatkan imanku dan bimbinglah aku untuk menjadi wanita dan isteri yang solehah, semoga dipermudahkan insya-Allah.


Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

" Islam sememangnya menggalakkan kita untuk mencari rezeki, tetapi kemewahan bukanlah matlamat yang hakiki. Betapa ramai orang yang mampu membeli rumah yang mewah, namun tidak mampu membeli kebahagiaan di dalamnya. Betapa ramai orang yang mampu membeli tilam yang empuk dan mahal, namun tidak dapat membeli lena semasa tidur. Ramai orang yang mampu membeli makanan enak,  namun tidak dapat membeli selera semasa makan. Sebab itulah dikatakan, kemewahan harta bukanlah penentu kebahagiaan pada diri kita. "



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Fatimah Syarha & Dr Farhan Hadi