Zahrah de Tigris





Penulis   :  Khairyn Othman        
Negara   :  Malaysia        
Bahasa   :  Melayu        
Genre     :  Adventure - Spiritual 
Penerbit  : Jemari Seni Sdn Bhd     
Bilangan Mukasurat :      
Tarikh Terbitan :  October 2007  
ISBN :  978-983-43217-7-2
Rating :   





 
Ulasan : 

Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan dan peluang untuk bernafas di bumi ALLAH ini. Ini buku ketiga selepas Dame Zoete Sarah, Nuansa Kota Merah. Sebenarnya aku patut baca buku ni dulu sebelum baca Dame Zoete Sarah sebab watak utama Nisa wujud dahulu dalam cerita ini. Tetapi biasalah kan aku ni selalu tonggang terbalik. Tak kira yang mana satu awal dan akhir bila hati dah suka he he he.

Permulaan kisah kehidupan seharian Nisa di Baghdad, Iraq sebagai sukarelawan di hospital dan guru, membuatkan aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Nisa sehinggakan dia berani mencampakkan dirinya di negara yang tengah berperang ini. Penulis berjaya mengolah perjalanan cerita melalui teknik flashback dan berjaya menyampaikan mesej melalui monolog pergolakan dan tekanan perasaan yang dialami oleh Nisa dengan begitu berkesan sekali. 

Penulis banyak berkongsi rasa dan pengalaman melalui blognya. Penulis menceritakan bagaimana permulaan perjalanannya ke Baghdad sehinggalah pengalaman berada di negara yang sedang bergolak dan berperang itu. Suatu pengalaman yang sungguh dahsyat dan tidak dapat digambarkan. Aku rasa tidak ramai yang sanggup mengambil risiko seperti Nisa ini untuk merasai pengalaman yang sedemikian. Membaca karya ini bukan sahaja buat aku rasa seolah-olah sedang berada di Baghdad dan mendengar sendiri bunyi bom dan tembakan M16, melihat kesengsaraan rakyat tempatan terutamanya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa yang cedera, mayat yang bergelimpangan mereput merata-rata di sepanjang jalan, bekalan makanan dan minuman tak cukup, tiada bekalan elektrik, keadaan dalam negara yang huru hara dan tidak selamat akibat perbalahan puak. Malah ia meninggalkan pelbagai rasa dihatiku ini seperti kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang mengerti bagaimana keperitan dan kepayahan meneruskan kehidupan di dalam negara yang sedang dijajah oleh tentera bersekutu Amerika ini. 
  

Aku jadi emosi dan teruja nak tahu kesudahan watak Nisa dan Dr Patrick. Banyak ilmu yang dapat aku pelajari melalui karya hebat ini. Aku juga dapat mengetahui tentang pemerintahan pemimpin kuku besi Saddam Husin yang sebenar, tempat-tempat menarik di Baghdad dan bandar-bandar sekitar Iraq dan Jordan. Semoga aku dapat pergi ke sana, tempat bermulanya tamadun Islam ini suatu hari nanti insya Allah.

Sejujurnya cerita ini buat aku jadi sedih dan pilu dengan saudara-saudara Islamku yang menjadi mangsa kekejaman dan kerakusan peperangan di bumi Iraq suatu masa dahulu. Bacalah, kisah ini penuh dengan kisah kemanusiaan, kisah penderitaan dan perjuangan yang dahsyat di bumi Baghdad, Iraq. Kisah ini patut diteladani dan bersama ambil peduli. Bersatulah saudara Islamku membantu saudara di negara Islam yang lain.






Sinopsis



 

Zahrah de Tigris... adalah Khairunnisa Si Kembang Tigris... Anak gadis dari Malaysia yang menuntut di Tanah Ratu ini, memang degil orangnya. Dilarang makin keras, dirayu pula makin tegar. Dia berkelana bersendirian mencari sebuah cinta. Cinta yang paling hakiki: cinta Rabbulizzati.

Nisa pasrah menerokai sebuah kota yang pernah menjadi puncak peradaban Islam suatu waktu dulu. Kota Baghdad yang pernah terkenal dari masyrik sampai ke maghrib itu sedang berantakan: dihamburi mortar dan peluru. Cerita pilu, Kota Negeri Seribu Satu Malam itu menjadi Kota Ngeri Seribu Satu Malam.

Menjadi guru dan jurubahasa, membuatnya mudah memahami budaya orang-orang di Lembah Tigris.


 
Begitu sudah d situ lain pula ujiannya; dia terpaksa keraskan jiwa, kuatkan semangat tetapi perlahan-lahan hati perempuannya diketuk jua. Nam un cinta mereka tak mungkin bersatu kerana Doktor Patrick Dcvereux, seorang ateis.

 

Hayatilah sebuah novel adventure-spiritual daripada penulis yang pernah menjadi Wartawan Terbaik Bahasa Inggeris 2003. Sebuah cerita yang harus dihayati oleh siapa sahaja yang cintakan kemanusiaan sejagat.






... lagu Tak Kenal maka Tak Cinta - Fran & Roy ...




kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Khairyn Othman  


 

Nuansa Kota Merah





Penulis   :  Khairyn Othman      
Negara   :  Malaysia      
Bahasa   :  Melayu      
Genre     :  Fiction, Thriller, Romance    
Penerbit  : Jemari Seni Sdn Bhd   
Bilangan Mukasurat :  511   
Tarikh Terbitan :  June 2011   
ISBN :   978-967-5118-62-3
Rating :   
 







Ulasan : 

Ini buku kedua selepas Dame Zoete Sarah. Alhamdulillah, aku terpesona dan terbuai dengan kisah sejarah para mujahid Islam terdahulu yang penuh dengan nilai-nilai murni yang patut diteladani dan ambil peduli. Bukan sekadar kisah yang sarat dengan pengajaran dan menyedarkan malah dapat dijadikan muhasabah diri. T.E.R.B.A.I.K.


Pendapat peribadi, kisah yang ditonjolkan dalam karya ni memang punya aura yang tersendiri. Penulis mengolah perjalanan cerita dan watak-watak utama yang ada dalam cerita ni dalam dua bahagian iaitu bahagian pertama kisah kehidupan Dina dan pertemuannya dengan
Aaron Mauricio sewaktu bercuti di Sepanyol dan tempat-tempat menarik tinggalan sejarawan Islam yang dilawatinya. Bahagian kedua pula menceritakan tentang para pejuang Islam suatu waktu dahulu bernama Salma dan Shuib semasa mempertahankan perjuangan Islam di bumi Sepanyol.

Sejujurnya cerita ini berjaya buka mata hati dan mata akalku tentang zaman sejarah Islam di bumi Sepanyol suatu masa dahulu. Apa yang pasti kisah ini menggamit aku untuk menggali semula sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol dan untuk berkelana ke sana suatu hari nanti insya Allah.

 

Sinopsis 

Bagaimana mungkin cinta antara dua benua, dua zaman, dua bangsa, dua peradaban dan dua kepercayaan boleh bersatu dalam Nuansa Kota Merah? 




Babak 1:


Dina menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Aaron Mauricio, tetapi dengan cepat lelaki itu mengangkat kedua-dua tangannya. Dia tidak menyumbangkan segaris senyuman. Dina dapat merasakan renungan tajam di balik tabir cermin mata hitamnya. Dina mengerutkan dahi. Boleh tahan sombong juga lelaki ini!

 







 Babak 2:

 
Matanya liar mencari sasaran. Apabila sasaran sudah ditemui, Salma terus menumpukan sepenuh perhatiannya lalu melepaskan tali panah. Anak panah bermata tajam yang sedia bersalut racun berbisa terus meluncur laju membelah angin langsung menikam mangsanya.


Babak 3:
 
Shuaib, lelaki bersemangat waja yang mengetuai satu kumpulan kecil mujahidin tergamam ketika Razi memberitahu, “Abi berwasiat padaku, bahawa dia mahu kau dijodohkan dengan Salma.”

Bagaimana mungkin cinta antara dua benua, dua zaman, dua bangsa, dua peradaban dan dua kepercayaan boleh bersatu dalam Nuansa Kota Merah?

* * *

KHAIRYN OTHMAN menulis sesuatu yang baharu, lain daripada yang lain. Kali ini dia menggunakan kemahiran kewartawanannya untuk memperincikan Bumi Sepanyol pada pembacanya.


 
... lagu Sejati - Faizal Tahir ...



Dame Zoete Sarah





Penulis   :  Khairyn Othman    
Negara   :  Malaysia    
Bahasa   :  Melayu    
Genre     :  Fiction, Thriller, Romance  
Penerbit  : Jemari Seni Sdn Bhd 
Bilangan Mukasurat :  425  
Tarikh Terbitan :  2009  
ISBN :   978-967-5118-99-9
Rating :   




 
Ulasan : 

Pertama kali membedah siasat karya penulis ini.

Dalam bahasa Belanda, Dame maksudnya lady dan Zoete pula, maksudnya manis. Jadi Dame Zoete Sarah ialah Si Gadis Manis Sarah.

Pendapat peribadi, kisah thriller yang ditonjolkan dalam karya ni memang realistik dan penuh dengan fakta bukan auta ye. Genre sebegini memang favourite aku. Kisah Cik Wartawan dan Encik Polis ni penuh dengan aksi-aksi yang mendebarkan dan buat aku tersenyum je. Buat aku tidak senang duduk dan memang tak boleh letak buku ni selagi tak habis, betul tak tipu. Memang betul-betul mencabar tahap kesabaranku nak habiskan baca buku ni. Penulis berjaya mengolah perjalanan cerita dan watak-watak utama yang ada dalam cerita ni melalui unsur suspen, teknik flashback, romantis dan humor pendek kata  P.A.R.F.A.I.T. !!!

Aku jadi teruja nak tahu kesudahan watak Sarah dan Salim yang terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa. Banyak ilmu yang dapat aku pelajari melalui karya hebat ini. Baru aku tahu rupanya bidang kerjaya sebagai wartawan dan polis ni bukan sahaja begitu mencabar malah amat merbahaya dan  berisiko tinggi. Ada bermacam designer drugs/jenis dadah dalam bentuk serbuk dan cecair dan dadah jenis perangsang/amphetamine adalah paling bahaya dan sering dijual dalam bentuk kapsul atau pil dikenali dengan pelbagai nama seperti syabu, iced baby, crystal, meth, speed, ya ba, ya ya, erimin 5, katamin. Dadah yang paling prominent ialah jenis cocaine dan amphetamine yang boleh menyebabkan kematian seperti serangan jantung, badan jadi terlalu panas/hyperthermia dan brain damage. Kombinasi dua jenis dadah ni, walaupun dalam dos paling sedikit, kira macam bunuh diri sebab risiko serangan jantung 24x lebih tinggi daripada orang yang tidak ambil dadah ni. Aku juga dapat mengetahui tentang asal-usul bunga tulip dan tempat-tempat menarik di Leiden dan Amsterdam. Terasa macam nak terbang pergi sana je dan terbayang-bayang bunga tulip tu depan mata ha ha ha.

Tahniah cik penulis, cerita anda memang mengasyikkan !!! Anda berjaya buatku terpikat, terpaku dan terbuai dengan Sarah dan Tuan Salim. Walaupun pada awalnya aku memang tak berapa suka dengan watak polis Tuan Salim yang berlagak bagus dan perasan handsome ni, tapi tak sangka di akhir cerita aku jadi jatuh tergolek-golek suka pulak dengan Tuan Salim 'kerek' yang berubah jadi jiwang karat ni he he he. 
Kalau tak percaya, cuba baca ye !!! Lepas ni aku kena cari karya-karya yang lain pulak. Semoga cik penulis akan terus berkarya dengan genre sebegini ye.
 



Sinopsis 

Dame Zoete Sarah ialah si manis Sarah


 
Walaupun Sarah Adam ada seribu peran, yang pasti dia cumalah seorang gadis yang ada hati dan perasaan. Terperangkap di tengah-tengah kemelut sindiket dadah antarabangsa, Sarah Adam dituduh terlibat sebagai pengedar, juga didakwa menjadi pembunuh sehingga membuat gadis yang manis pabila tersenyum ini, menjadi pelarian serta terpaksa menyamar untuk melintas laut ke negeri kincir angin.

 
Keadaannya bertambah sulit apabila dia bukan sahaja diburu oleh pasukan keselamatan negara, kumpulan penjahat, malah dia diburu oleh jiwanya sendiri! Keadaan menjadi semakin rumit, apabila setiap orang yang dia kenal dan dia jumpa, mati dibunuh. Kenapa ?




Jomlah bantu Sarah Adam untuk membersihkan namanya, jomlah bantu Sarah Adam meloloskan diri daripada 'Encik Selamat',      Interpol yang kerek !





"Sarah, kemana pun kau pergi, aku akan cari kau. Ke mana pun kau lari, aku akan kejar. Jangan lupa tu" ~ Salim











Gadisku
Seri mewangi bagai disiram selautan kasturi

Gadisku
Termanis senyummu biar ku telan selautan hempedu
Dialah gadisku selalu

Tak peduli kata orang terhadap dirinya
Aku tahu dia gadisku
Tak peduli nista yang terlempar padaku
Dia tahu dia gadisku

Cinta kan bermakna jika sama saling memahami
Cinta kan bercahaya jika disulami cinta suci

Gadisku
Terindah padamu kerna tak pernah meminta selain cinta
Dialah gadisku selama-lamanya
Dikala hidup ini rasa tak bermaya
Dia datang membawa harapan
Dikala hari-hariku menjadi gelita
Dia datang membawa cahaya

Cinta ku bermakna kerna sama saling memahami
Cinta ku bercahaya kerna disulami cinta suci
Gadisku...



... lagu Gadisku - Search ...



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye ... Khairyn Othman