Kau Cipta Kasih





Penulis   :  Azilah Wahab
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Alaf 21
Bilangan Mukasurat : 416
Tarikh Terbitan :  2010
ISBN :   978-983-124-559-0
Rating : ★★



 





Ulasan :

 

Pertama kali aku baca karya penulis ini secara online di eMall Karangraf. Aku kira karya ini memang begitu membuai rasa pada sesiapa sahaja yang dapat menghayati jalan cerita yang sungguh meruntun jiwa ini. Cerita yang memang menyayat hati aku hingga mengalirkan air mata dari awal pembacaan hingga akhir muka surat. Secara peribadi, cerita ini memang benar-benar wujud di celah-celah kehidupan kita ni. Cuma kadang-kadang kita hanya dapat menghidu bau-baunya saja tanpa dapat mengetahui isi sebenar yang berlaku kepada mereka. Sejujurnya cerita ini telah memberi suatu gambaran yang cukup hebat kepada aku tentang apa yang berlaku di kalangan masyarakat kita yang kadang-kadang kurang mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Aku tak nak komen lebih-lebih, cukup sekadar aku katakan ini adalah secebis kisah realiti bagaimana kesengsaraan empat beradik yang menjadi mangsa kezaliman nafsu serakah dalam sebuah keluarga yang serba pincang dan jauh dari pegangan agama. Mereka terpaksa berjuang sendirian dalam menghadapi dugaan hidup yang sungguh pilu dan memalukan. Namun, mereka tidak pernah putus asa malah mereka tetap tabah dan terus berusaha dan berdoa meneruskan sisa-sisa kehidupan yang mendatang.


Baca dan renung kisah ini dengan mata hati dan mata akalmu nescaya banyak
pengajaran dan dapat dijadikan motivasi yang amat berguna kepada pembaca terutamanya kepada generasi muda dalam mengenal dan mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini. Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku kepada kita itu ada nikmat dan hikmah yang tidak kita ketahui sebabnya. Hanya ALLAH yang mengetahui. Namun jangan kita mempersoalkannya dan terima segala ujian mendatang itu dengan redha dan berlapang dada. Kebahagiaan yang dicari pasti akan menjadi milik kita dengan izinNYA insya-ALLAH.



Sinopsis


Khadijah - Kakak sulung yang sanggup berkorban impian demi kesenangan adik-adiknya. Kerana itu, ibunya melepaskan tanggungjawab menjaga urusan rumah tangga ke atas bahunya. Dan kerana itu juga, dia menjadi mangsa nafsu serakah bapanya sendiri. Maruah dirinya direnggut sewenang-wenangnya tanpa pembelaan ibunya sendiri.


Idris - Lelaki yang serba kekurangan. Ketempangannya menjadikan dia dibuang ibubapa selepas kelahirannya dan sering dihina dan dianggap menyusahkan orang tua. Selayaknya, dia diberi lebih perhatian, tetapi dia makin jauh tersisih dan tersingkir dari kasih sayang ibu dan ayah. Hidupnya hanya bersama atok dan nenek.

Ramlah - Membawa diri jauh ke luar negara berbekalkan kepintaran yang dianugerahkan oleh ALLAH kepadanya. Sungguh dia kecewa dengan kepincangan institusi keluarganya. Impiannya hanya satu. Mahu merasa bahagia bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya dan dia berazam untuk meraih impian itu!

Hasnah - Dimanjai ayah lebih daripada adik-beradiknya yang lain. Bangga dengan kelebihan yang diperolehi membuatkan dia alpa dan gagal menilai baik buruk sesuatu. Sehinggalah dia ditinggalkan terkontang-kanting sendiri...

Mereka adalah empat beradik yang ketandusan kasih sayang orang tua. Salah merekakah bila ibu bapa gagal menjalankan tanggungjawab mendidik dan mencorak masa depan anak-anak?




No comments:

Post a Comment