Penulis : Alina Haizar
Negara : Malaysia
Bahasa : Melayu
Genre : Malay Fiction
Penerbit : Kaki Novel
Bilangan Mukasurat : 759
Tarikh Terbitan : February 2011
ISBN : 978-967-5067-65-5
Rating : ★★★★★
AKU YANG KAU Tinggalkan ~ tajuk sinis yang begitu menarik-narik hatiku untuk menyelongkar karya penulis yang baharu sahaja aku kenali ini. Pertama kali 'membedah siasat' karya penulis ini setelah terlihat beberapa comments yang begitu mengujakan di perkongsian geng goodreads.
Sinopsis
Ikatan perkahwinan di antara Nia Atirah dan Zaril Ikhwan bukanlah atas dasar cinta. Nia memerlukan wang untuk membantu keluarganya, Zaril pula memerlukan seseorang untuk menjaga dirinya yang sakit.
Dalam tempoh menjaga Zaril, Nia mula jatuh cinta dengan suaminya sendiri. Diam-diam dia mengharapkan agar perkahwinannya ini kekal seumur hidup. Namun, akibat salah faham, Nia telah disingkirkan sebaik sahaja Zaril pulih sepenuhnya. Nia meninggalkan Zaril dan membawa hati yang lara ke Turin untuk meneruskan hidupnya sendirian di bumi asing bertahun-tahun lamanya.
Takdir menemukan mereka semula di Turin lalu mencetuskan perasaan benci, marah dan dendam yang terbuku di dalam hati masing-masing. Walaupun masih ada dendam dan rahsia yang dipendam, demi untuk meneruskan hidup ini, perpisahan secara rasmi adalah jalan yang terbaik buat mereka. Tidak perlu lagi menyalahkan takdir walaupun Nia dan Zaril merasakan diri masing-masing yang sebenarnya telah ditinggalkan. Apakah rahsia yang dipendamkan itu ...?
Ulasan :
Secara peribadi, membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku sebak dan pilu seperti dihiris pedang yang tajam sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis berjaya membuatkan aku berfikir panjang mampukah aku berkorban kasih seperti Nia mengorbankan perasaan sendiri, dihina dan membawa diri jauh demi seorang insan yang bergelar LELAKI dan SUAMI yang amat dikasihi dan mengharungi setiap ujian mendatang dengan sabar dan redha ? Aku rasa tidak ramai yang mampu dan tidak semudah itu...
Permulaan cerita di mulakan dengan kehidupan Nia di Turin, Italy membuatkan aku tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Nia. Penggunaan teknik flashback atau mengimbas kembali perjalanan cerita dalam karya ini bermula bagaimana Nia boleh berkahwin dengan Zaril sehinggalah bagaimana mereka boleh berpisah berjaya mengolah cerita dengan berkesan. Walaupun bahasa yang digunakan dalam karya ini nampak agak bersahaja namun ia berjaya menterjemahkan mesej melalui monolog pergolakan jiwa dalaman yang dialami oleh Zaril dan Nia. Malah teknik ini juga berjaya membuatkan aku dapat menjiwai tekanan perasaan yang dialami oleh dua watak utama ini. Penulis juga banyak menceritakan tentang Serravalle, Turin, Naples bandar-bandar di Italy yang sememangnya sinonim dengan fesyen dan barangan berjenama antarabangsa yang terkenal dan popular dan banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati yang diceritakan dalam karya ini. Membaca karya ini bukan sahaja buat aku rasa seolah-olah berada di Turin malah seperti aku telah berada di sana menikmati keindahannya. Ini membuatkan aku terasa berkobar-kobar dan teringin untuk pergi ke Italy ni satu masa nanti...insya-Allah.
Selain itu juga, penulis berjaya menimbulkan tekanan dan rasa sakit dihatiku, walaupun aku geram dan benci dengan apa yang Zaril lakukan pada Nia tapi dalam waktu yang sama ada juga perasaan kasihan padanya. Di sebalik kisah yang syahdu ini, penulis berjaya memperlihatkan dan membuka mindaku bahawa inilah yang akan terjadi sekiranya setiap pasangan suami isteri itu malu untuk berterus terang dan tidak meluahkan perasaan kasih, sayang dan segala rasa yang terpendam di hati masing-masing terhadap pasangannya. Perasaan ego dan hanya pentingkan diri sendiri bukan sahaja akan menimbulkan perasaan salah faham pada kedua-dua belah pihak dan akan saling menyalahkan bahkan ia juga akan memusnahkan kebahagiaan dalam sesuatu perhubungan dalam sekelip mata. Oleh itu sentiasa hargai, cuba fahami dan amalkan sikap berterus-terang apa yang kita rasa dengan pasangan kita dan sentiasa beralah dan saling maaf-memaafkan dalam rumahtangga tidak kira anda bergelar seorang suami atau pun isteri. Cintailah pasangan kita kerana ALLAH dan Cintainya Tanpa Syarat. Dengan ini, ia akan dapat mengelakkan daripada timbulnya perasaan prasangka terhadap pasangan. Kemaafan adalah dendam yang terindah. Highly Recommended Book kepada yang bergelar ISTERI atau SUAMI.
Ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada penulis kerana telah berjaya menghasilkan karya yang hebat sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku malah boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat para pembaca. Apa yang pasti penulis telah berhasil membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hatiku dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku, membaca buku ini dengan deraian air mata yang bukan sahaja buatku lebih bersyukur dan mensyukuri di atas nikmat dan apa yang aku ada disekelilingku, malah membuatkan aku lebih menginsafi kekhilafan diri ini dan akan cuba memaafkan orang lain.
...inilah lagu Cinta Tanpa Syarat - Afgan yang ku gambarkan luahan rasa hati Zaril kepada Nia ...
...ini pula lagu Jauh - Afgan yang ku gambarkan luahan rasa hati Nia kepada Zaril ...