Penulis : Hana Ilhami
Negara : Malaysia
Bahasa : Melayu
Genre : Malay Fiction
Penerbit : Karya Seni
Bilangan Mukasurat : 1021
Tarikh Terbitan : July 2013
ISBN : 978-967-0246-51-2
Rating :
Ulasan :
Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin-Nya aku telah diberi kesempatan dan terpanggil untuk membaca dan menghayati karya yang sungguh hebat ini. Ya Maulana adalah karya pertama penulis hebat ini yang baru sahaja aku baca dan karya ini aku kira paling simbolik, unik dan boleh di kategorikan sebagai novel tarbiah berbanding dengan novel-novel lain yang pernah aku baca setakat ini. Ini kerana penulis ini bukan sahaja berjaya menyingkap sebuah kisah seorang Maulana yang berjaya mendidik seorang wanita yang jahil berubah menjadi seorang wanita yang beriman, malah berjaya mengangkat martabat seorang Maulana dan kisah ini untuk dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup para pembaca.
Secara tidak langsung, penulis juga berjaya mentarbiah pembaca apakah tanggungjawab sebenar seorang khalifah di atas muka bumi Allah ini. Selain meningkatkan material jangan abaikan pula kerohanian, pengabdian kita kepada Allah dan sentiasa memastikan segala tindak tanduk kita berlandaskan al-quran dan sunnah Rasulullah SAW. Segala yang dilakukan hendaklah atas kerelaan hati demi mencari keredaan Allah SWT. Selain itu, penulis juga banyak menyelitkan mutiara kata, hadis dan sunnah Nabi yang sekaligus menjadikan karya ini amat berbeza sekali dengan novel yang lain di pasaran.
Ya Maulana mengisahkan tentang Mohamad Iqbal Datuk Salam yang mengambil alih pengurusan Pulau Sayak Resort dan Darul Ulum dan cuba mempertahankan rumah anak yatim Darul Ulum At Taufiqiyah di tapak asal tanah pusaka datuknya daripada dipindahkan ke tempat lain untuk pembangunan hotel resort. Kedatangan Cik Adra anak Tan Sri Haniff pemilik projek pembangunan hotel yang lincah dan moden ke Kampung Pulau Sayak bagi membincangkan pembinaan hotel tersebut telah menyebabkan berlakunya insiden sehingga Maulana Iqbal mengambil keputusan menikahi Adra Liyana.
Pelbagai konflik dan tekanan dalaman keluarga dan penduduk kampung terpaksa dihadapi oleh Iqbal, di samping cabaran dan ujian yang perlu dihadapi dalam melayan karenah dan mendidik isteri yang baru dikenali itu. Manakala Cik Adra pula terpaksa mengharungi kehidupan di tempat baru yang amat berbeza bersama orang yang paling dibenci berada di dalam keadaan dilema di antara memenuhi kehendak daddynya bagi meneruskan rancangan projek tersebut dan menjadi isteri kepada Maulana Iqbal. Kalau nak tahu apakah yang terjadi sehingga mereka boleh bernikah ? Adakah Darul Ulum berjaya dipindahkan? Kalau nak tahu bagaimana kesudahan cerita ini, mesti dapatkan buku ini ye....
Adra Liyana, maksudnya si perawan cantik yang lemah lembut. Tetapi sayang, watak tidak secantik namanya. Si anak Tan Sri berambut karat, bermini skirt masuk kampung dengan sebuah agenda, untuk memindahkan Darul Ulum dan membina hotel resort di atasnya. Baginya, Maulana Iqbal tidak ubah seperti seorang ustaz Gothic yang poyo! Dengan berjubah dan berserban bagai.
Maulana Iqbal, Dunianya hanya Darul Ulum At-Taufiqiyah. Al-Quran yang penuh di dalam dada menjadi modal buat pembimbing bakal-bakal hafiz. Hasil tarbiah madrasah, maka lahirlah seorang maulana di Kampung Pulau Sayak.
Pendapat peribadi aku, karya ini merupakan antara karya yang paling terbaik pengisiannya yang pernah aku baca setakat ini. Membaca setiap baris ayat dari karya ini bukan sahaja buat aku tersedar dan menginsafkan aku malah membuatkan aku berfikir panjang, aku terasa seperti berada di dalam watak Adra, jiwaku meronta untuk berubah menjadi seperti wataknya di akhir cerita ini sehingga menitiskan airmataku dan sungguh terkesan hingga ke lubuk hatiku yang paling dalam. Sejujurnya aku mengakui aku juga masih banyak kekurangan dan menginsafi kekhilafan diri ini. Masih banyak tanggungjawabku yang tidak terlaksana dan perlu diteruskan walau sebesar mana sekalipun ujian dan dugaan duniawi yang perlu aku tempuhi, permudahkan aku ya Allah untuk menjadi wanita beriman dan isteri solehah insya-Allah dan aku memohon keredhaan-Mu.
...inilah lagu Awie Wings - Tiada Rahsia Antara Kita yang dinyanyikan oleh Mualana kepada Adra ...
...ini pula lagu D'Baginda - Suka Sama Kamu yang dinyanyikan oleh Maulana kepada kepada Adra ...
- Memberi salam ialah sunat tapi menjawab salam ialah wajib.
- Menyambut tetamu dengan baik ialah sunnah Nabi SAW.
- Lelaki dan wanita yang bukan mahram haram bersentuhan.
- Bila bersin, kita ucap syukur kepada Allah "Alhamdulillah".
- Ada kelebihan sunnah dalam berjubah dan berserban.
- Khidmat adalah yang kedua penting selepas dakwah. Jangan tunggu disuruh khidmat, atau lari daripada berkhidmat. Kita kena cari peluang untuk memberi khidmat.
- Berbincang atau mesyuarat ialah sunnah Rasulullah SAW
- Apa saja percakapan atau perbuatan kita, kena sentiasa berhubung kait dengan Pencipta. Kalau dapat dilafazkan, itulah yang terbaik kerana itulah dakwah. Jika tidak ingatkan sahaja dalam hati.
- Hati ialah tempat iman terbentuk. Jika hati bersih, tidak ada sifat dengki dan iri hati, bahkan akan timbul rasa kasih sayang sesama umat.
- Nabi SAW berpesan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamu dan wajib melayan tetamu selama tempoh tiga hari. Selepas tempoh itu bukan dikira tetamu lagi.
- Lelaki beriman hendaklah menundukkan pandangan daripada wanita ajnabi.
- Nabi SAW berpesan antara empat kriteria cantik, berharta, keturunan yang disegani dan agamanya, pilihlah yang paling kuat agamanya sebagai calon isteri/suami.
- 500 dirham perak ialah mahar yang diberikan oleh Nabi SAW kepada Siti Aisyah radiallahuanhu. Sebagai tanda menghargai wanita, memberikan mahar yang berpatutan adalah sebaik-baiknya.
- Solat berjemaah adalah lebih afdal bagi lelaki. Dan lagi baik berjemaah dalam kumpulan yang ramai.
- Makan dengan menggunakan jari ialah sunnah dan dapat ganjaran pahala sunnah.
- Bacalah "Assalamualaina waa'la i'badillahissolihin", salam yang diberi sebelum memasuki rumah yang tiada berpenghuni. Memasuki rumah hendaklah didahului dengan kaki kanan.
- Surah Yasin merupakan surah yang dibacakan oleh Nabi SAW setiap pagi. Barang siapa yang membaca Yasin pada pagi hari, nescaya akan disempurnakan atau diselesaikan segala keperluan atau masalahnya sepanjang hari itu.
- Suami bertanggungjawab untuk memastikan solat isterinya sempurna. Solat tak sempurna kalau aurat dalam solat tak dijaga dengan sempurna.
- Makan sama-sama ini sunnah. Suami isteri elok makan sepinggan atau sedulang untuk tambah kemesraan dan kasih sayang.
- Saudara susuan haram bernikah. Sepupu rapat masih dikira ajnabi. Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya)
- Tidak boleh bersalaman dengan anak saudara suami/isteri kerana mereka bukan mahram. Mahram seorang wanita ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi :-
1. Bapa kandung 6. Anak susuan
2. Bapa mertua 7. Saudara lelaki kandung
3. Bapa susuan 8. Saudara lelaki susuan
4. Anak kandung 9. Anak saudara lelaki
5. Anak tiri (yakni anak suami) 10. Bapa saudara
- Apabila isteri buat salah pada suami, wajib minta maaf, salam dan cium tangan.
- Tutup aurat bukan setakat tutup rambut dan tutup kulit. Malah sembunyikan segala perhiasan diri. Tidak boleh pakai pakaian yang menampakkan bentuk tubuh.
- Adab ketika minum baca Basmalah kemudian hirup sekali, berhenti, hirup kali kedua, berhenti, hirup kaki ketiga. Usai tiga kali tegukan barulah hirup hingga hilang dahaga.
- Kemaafan ialah penawar bagi segala dendam.
- Ucapkanlah "Hasbunallah wa nikmal wakil. Nikmal maula wanikmal nasir. Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung" bila dalam keadaan marah.
- Cinta agung ialah cinta yang berlandaskan agama. Tidak salah kalau mencintai sesama makhluk jika tujuannya untuk meraih cinta Allah sepertimana cinta para sahabat dan sahabiah kepada Rasulullah.
- Cinta antara uda dan dara pun tidak salah asalkan dipandu atas jalan-Nya melalui ikatan yang halal.
- Apa yang kita mahu tidak semestinya baik untuk kita. Namun apa yang kita tak suka belum tentu tak baik pada pandangan Allah.
- Wanita paling mudah masuk syurga Allah. Bila seorang perempuan itu taat perintah Allah dengan mentaati Rasul dan suaminya, dia boleh masuk mana-mana pintu syurga yang dia suka.
- Tujuan perkahwinan bukan untuk nafsu semata. Perkahwinan ialah jalan menuju kepada Allah.Meramaikan umat dan mengembangkan syiar Islam. Segala amalan dilipatgandakan apabila telah berpasangan. Itu janji Allah.
- Ada banyak nikmat yang Allah kurniakan di dunia ini. Nikmat iman ialah nikmat yang paling berharga berbanding segala kenikmatan yang Allah beri kepada kita.
- Tujuan Islam memerintahkan hijab adalah untuk melindungi kaum wanita. Lelaki ini ada satu nafsu. Tapi nafsunya yang satu itu sangat besar dan boleh memusnahkan dirinya sendiri ataupun orang lain kalau tidak dikawal.
- Jangan harap pada makhluk tapi harap kepada Allah. Jangan meminta kepada makhluk tapi mintalah hanya kepada Allah. Semuanya berada di dalam genggaman-Nya.
- Bacalah surah Al-Mulk selepas Maghrib kerana ia boleh membantu kita sewaktu di alam barzakh nanti.
- Usai membaca Al-Quran kucuplah tiga kali sebagai tanda menghormati al-Quran.
- Beri salam setiap kali masuk ke dalam rumah. Walaupun rumah tidak ada orang pun perlu beri salam cuma cara bacaan salam berbeza sedikit daripada bacaan salam rumah berpenghuni.
- Dalam Islam tidak seharusnya bersandarkan kepada ucapan ' kalau '. Sesuatu yang terjadi adalah qadak dan qadar yang wajib diimani setiap orang Islam. Semua yang berlaku ada hikmah-Nya.
- Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan kepada hamba-Nya melainkan telah sedia ada di dalam pengetahuan-Nya. Semua yang terjadi pasti ada hikmah-Nya.
- Lailahaillaahhah merupakan kalimah iman manakala Muhammadur Rasulullah pula ialah kalimah amal. Iman dan amal mesti bergandingan barulah sempurna iman kita. Dengan mengamalkan sunnah bermakna kita melaksanakan perintah Allah. Sunnah terbahagi kepada surah, sirah dan sarirah. Surah adalah apa-apa yang Nabi SAW buat dalam kehidupan harian. Apa yang Nabi SAW pakai, makan, minum, tidur, akhlak Nabi, semua itu mendatangkan pahala yang besar kalau kita dapat amalkan. Mengamalkan sunnah pada akhir zaman terutama dari sudut penampilan diri, bukan mudah. Kita amal sunnah untuk sukakan Allah, bukan untuk tarik perhatian manusia. Kita amal surah hanya untuk diri kita tapi sarirah Nabi adalah untuk seluruh umat. Sirah ialah perjalanan hidup Nabi yang kita boleh ikut.
"
Tidak sempurna iman kamu selagi kamu tidak mengasihi saudara kamu
sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiri " ~ Hadis Nabi SAW
"
Hadis ini ialah dalil yang kukuh tentang betapa pentingnya sifat ikram.
Mengasihi saudara maknanya bantu saudara kita. Jangan sesekali ada
sifat mementingkan diri. Biar kita susah asalkan orang lain senang.
Inilah iman. Iman letaknya dalam hati. Kalau hati kotor susah nak
tempatkan iman. Sebab itu kita kena bersihkan hati kita dengan
zikrullah. Cuba amal dan bawa sunnah Nabi sebaik mungkin. Bawa cara
fikir Nabi dalam apa jua suasana. Sentiasa mendahului kepentingan orang
lain berbanding diri sendiri. Sentiasa cuba bawa orang lain amal agama
sepertimana yang dapat kita amalkan, bahkan lebih baik lagi daripada apa
yang kita mampu amalkan. Inilah dakwah ilallah " ~ Maulana Iqbal
- Kita doa, usaha dan tawakal. Selebihnya biar Allah yang menentukan.
- Hati kita milik Allah dan Allah boleh ubah bila-bila masa saja.
- Anak yang soleh ialah harta yang paling berharga. Tiada nilai yang setaranya walau dikumpulkan seluruh kekayaan yang ada di dalam dunia sekalipun. Anak yang soleh menjadi tiket ke syurga buat ibu bapa.
- Dunia ini umpama fatamorgana (tidak kekal dan hanya bayangan kita). Tapi kita masih perlu lalui dan teruskan. Cuma jangan sampai tertipu dengan kemewahan dunia kerana semua itu hanya sementara.
- Pembangunan duniawi mestilah sejajar dengan pembangunan ukhrawi. -
- Mana yang patut didahulukan antara keperluan agama dan keperluan keluarga asalkan tidak bertentangan dengan syarak.
- Kerja sebenar bagi manusia adalah dakwah Ilallah. Di samping mencari keperluan hidup harian, tugas mensyiarkan agama jangan sesekali ditinggalkan. Dakwah itu tidak susah, dengan beri salam, tunjuk akhlak yang baik, cerita tentang kebesaran Allah, tentang akhirat, tentang tanggungjawab sebagai khalifah, maka maksud dakwah itu sudah tercapai.
Semuanya hanya dengan izin Allah. Subhanallah. Setinggi-tinggi penghargaanku dan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Hana Ilhami kerana telah berkongsi karya hebat ini dan berjaya menghasilkan karya yang sungguh padat, mantap dan puitis sehingga menggetarkan seluruh jiwa dan ragaku. Semoga cahaya iman terus menyinari hidupku sekeluarga insya-Allah.