Mencari Kiblat Cinta




Penulis  :  Anita Aruszi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction / Cinta
Penerbit :  Gedung Novela Publishing
Bilangan Mukasurat :716
Tarikh Terbitan : Disember 2012
ISBN : 978-967-10425-1-9
Rating : ★★★★★





Ulasan :

Pertama kali meneroka karya penulis ini aku agak tertanya-tanya pada diriku sendiri adakah karya ini dapat memberikan kepuasan kepadaku sepenuhnya setelah terlihat beberapa comments yang begitu mengujakan di perkongsian geng goodreads. Ternyata membaca setiap baris ayat dari karya yang sungguh pilu ini membuatkan mataku bengkak menangis tersedu sedan dan sakit dada. Kisah yang sungguh menyayat hati.


Kerana satu tragedi hitam, dua beradik terpisah. Danira Qurratun Ain dipenjarakan, sepi dan sendiri di gerigi besi. Adiknya Naufal Benjamin pula hilang entah ke mana. Misi pertamanya setelah dibebaskan ialah mencari Naufal, tapi yang ditemukan ialah Tengku Filman, lelaki yang punya segala-galanya. Hidup yang sempurna, kerjaya dihormati serta keluarga yang bahagia. Sedangkan dia gadis yang kontras dengan kesempurnaan Tengku Filman. Jika Tengku Filman A, dia pula C. Jika Filman Mr. Right, dia pula hanyalah gadis di loteng usang. Dan kerana Filman, dia menemukan Aliff …lelaki traumatik dengan kenangan kosong.

Dalam sempurna Tengku Filman, ada sekeping hati yang tidak pernah sembuh. Namun kerana Danira, dingin Tengku Filman melebur. Wajah Danira memenuhi setiap ruang kosong di hatinya.  Cintanya kini berkiblat agung. Bertunjangkan kasih.


Di hadapan orang, dia terlihat bahagia. Miliki segala-galanya yang dimahukan. Tapi dalam senyuman dan gelak ketawanya, rupanya Aliff tidak pernah gembira. Jiwanya menderita, tapi tidak ada sesiapa yang tahu apa yang terpendam sejak sekian lama. Sebuah rahsia hitam, melontar dirinya ke dalam jurang dalam. Namun kehadiran Danira dalam hidupnya telah merubah segala-galanya.



"... Your smile and your heart, make me tremble inside, Danira. Believe it or not..it is already shaking for a few times ..."








Pendapat peribadi aku, karya ini memang terlalu sedih dan pilu seperti dihiris belati yang tajam dan cerita yang penuh dengan air mata kepada siapa yang membacanya. Kalau tidak percaya cuba baca karya ini. Kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang kakak yang sungguh luarbiasa dan sejujurnya amat menyentuh jiwaku ini. Membaca setiap baris ayat dalam keseluruhan karya ini memang membuatkan aku menangis, sebak dan pilu sehingga tidak mampu ku tahan air mata ini melimpah keluar. Penulis berjaya membuatkan aku berfikir panjang mampukah aku berkorban kasih sayang seperti Danira ? Sanggup mengorbankan diri sendiri demi seorang insan yang bergelar ADIK yang amat dikasihi dan mengharungi setiap ujian mendatang dengan sabar dan redha ? Aku rasa tidak ramai yang mampu bertahan dan tidak semudah itu. Terima kasih kepada penulis kerana bukan sahaja berjaya mengadun jalan cerita yang penuh misteri malah penuh dengan unsur kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan, dendam dan cinta dengan bahasa yang bersahaja dan mudah dihadam TETAPI dalam waktu yang sama juga berjaya mencengkam pelbagai rasa di hatiku sewaktu membaca karya ini dari awal hingga akhir cerita.  Teknik penceritaannya juga penuh mendebarkan dan membuatku tertanya-tanya. Walaupun penulis banyak menggunakan teknik imbas kembali dan sentiasa membuatkan aku tidak "keruan" tetapi berjaya merungkai apa yang tersembunyi dalam karya ini dengan amat terkesan sekali di hatiku. Karya ini bukan sahaja amat meruntun jiwa malah sarat dengan pelbagai emosi. Dan berjaya membuatkan aku menjiwai watak-watak utama dalam karya ini dengan deraian air mata sehingga menyesak dadaku.

Syabas dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penulis hebat ini kerana telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang memberi kesan yang sungguh mendalam kepada pembaca sehingga menggetarkan seluruh jiwa ragaku. Cerita ini bukan sahaja boleh dijadikan iktibar dan pengajaran buat para pembaca malah menyedar dan menginsafkan. Ada mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada pembaca bahawa kasih sayang antara adik beradik itu ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Dendam tidak akan beri kita kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan hanya akan dapat dirasai sepenuhnya apabila kita dapat memaafkan diri sendiri dan juga orang lain. Jangan pernah menyesali setiap apa yang telah ditakdirkan berlaku kepada kita. Apa yang pasti penulis telah berhasil membuatkan aku membaca buku ini bukan hanya dengan mata hati dan mata akalku sahaja malah seluruh pancainderaku. Jangan pernah kita merasakan hanya kita yang paling banyak diuji dan hilang iman dan keyakinan diri sehingga membuatkan kita berputus asa serta tidak menyakini qadak dan qadar. Jangan pernah berfikiran begitu kerana sebenarnya ada orang lain yang lebih hebat diuji berbanding kita. Wallahuallam.


Highly Recommended Book. PERFECT - Kasih sayang tulus suci nan abadi



kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... Anita Aruszi / Mazni Aznita


 

Seteguh Fayqa




Penulis   :   Hanina Abdullah
Negara   :  Malaysia
Bahasa   :  Melayu
Genre     :  Malay Fiction
Penerbit  :  Penulisan2u
Bilangan Mukasurat : 776
Tarikh Terbitan : August 2014
ISBN  :  978-967-0567-35-8
Rating  : ★★★★






Ulasan :

Seteguh Fayqa adalah karya kedua penulis ini yang baru aku 'bedah siasat' dan kalau nak tahu buku ini aku beli terus dari penulis ni via fb Hanina.

Kisah pertemuan singkat Fayqa Lara Lyana Abdul Rahim (Fayqa) dengan Muhammad Dzariff Dzulqarnain (Dzariff) di hospital sewaktu kawan baik sekuliahnya Dzahim terlibat dalam pergaduhan telah menyebabkan Fayqa terpaksa tinggal bersama keluarga Dzariff untuk sementara waktu. Duduk sebumbung bersama keluarga Dzahim menyebabkan Fayqa sering berhadapan dengan Dzariff abang sulung kepada Dzahim yang sentiasa buruk sangka padanya dan sentiasa mencari kesalahannya setiap kali bertentang mata. Ada sahaja arahan dan karenah Dzariff yang membuatkan Fayqa hampir hilang sabar sehinggakan Fayqa menggelarnya 'Jeneral Sengal'. Perkenalan yang singkat ini tanpa disedari telah membuahkan suatu perasaan kasih dan sayang di dalam hati Dzariff dan terus mengambil keputusan melamar Fayqa.


Usia perkenalan yang singkat selama beberapa bulan dan seterusnya melangsungkan perkahwinan telah mewujudkan banyak cabaran dalam perhubungan setelah mereka berkahwin. Kebahagiaan yang baru dirasai oleh Fayqa yang masih muda, naif dan perbezaan usia yang jauh sering dikejutkan dengan kehadiran dan gangguan dari Musyrifah rakan kongsi perniagaan Dzariff sehingga membuatkan Nina menjeruk hati dan merasa terpinggir. Nina merasakan Dzariff tidak memperdulikannya, sering lupa pada janji dan terlalu sibuk dengan urusan perniagaannya dan banyak menghabiskan masa bersama Musy tidak kira di pejabat mahu pun di rumah. Walau bagaimanapun, Nina tetap cuba mempertahankan rumahtangga yang baru dibina itu dan cuba belajar untuk bersabar dan tidak buruk sangka dan cuba menjadi isteri yang terbaik buat Dzariff walaupun sering diingatkan oleh kakak-kakak iparnya tentang Musy yang seakan cuba mengganggu gugat rumahtangga mereka. Selepas kejadian Fayqa diculik, kesetiaan dan keikhlasan cinta Dzariff mula dipertikai. Fayqa mula merasakan Musy sedang cuba untuk merampas Dzariff darinya dan seringkali panggilannya dimatikan oleh seseorang di pejabat Dzariff.  Bermulanya konflik dalam rumahtangga mereka apabila Musy meluahkan perasaannya pada Fayqa dan ingin berkongsi kasih Dzariff.  Adakah Dzariff setuju ? Adakah Dzariff berjaya mendapatkan kepercayaan dan memujuk Fayqa semula? Dan berjayakah mereka mempertahankan mahligai cinta yang baru dibina itu ? Kalau nak tahu bagaimanakah kesudahan cerita ini cuba dapatkan buku ini ye...sedih dan sebak jugaklah...

Secara peribadi, aku rasa jalan cerita dalam buku ini lebih kurang sama dengan cerita Arluna kisah rumah tangga yang diganggu oleh orang ketiga. Sebabnya aku sudah baca karya Rin tu terlebih dahulu...Jadi aku seakan dapat buat andaian sendiri apa kesudahan cerita ni. Sebelum baca karya ini aku mengharapkan jalan cerita karya ini lebih 'ummpphh' dari karyanya yang pertama aku baca iaitu 'Projek Memikat Suami' tetapi aku memang agak terkilan kerana tidak seperti yang aku harapkan...biasalah kan cerita melayu ni kan klise. Gaya penulisan bahasanya memang menghiburkan dan mudah difahami.  Watak-watak utama dalam karya ini berjaya mencuit hati aku terutamanya watak Fayqa dan Dzariff. Penulis berjaya menghidupkan watak-watak penting dalam cerita ini secara keseluruhannya melalui pengolahan dan perjalanan cerita yang menarik dan ada sedikit unsur 'suspen'. Ini berjaya membuatkan aku tertanya-tanya dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui akhiran cerita ini.  Selain itu, penulis juga berjaya memeriahkan suasana cerita ini melalui dialog 'sempoi' dan aksi nakal dan bersahaja yang memang boleh menaikkan bulu roma aku aje. Aku rasa buku ini hanya sesuai dibaca dan dihayati oleh golongan yang telah pun bergelar ISTERI sahaja. Pengisian yang cuba diketengahkan oleh penulis lebih kepada pergolakan perasaan pasangan yang baru sahaja melayari bahtera ikatan perkahwinan. Terima kasih kepada penulis kerana berkongsi karya yang bukan sahaja memberi maklumat dan pengajaran serta mengajak pembaca untuk sama-sama merenung, menerima dan yakin jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita adalah yang terbaik, terindah dan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Sentiasa memaafkan suami atau isteri kita kerana masing-masing ada kelemahan dan kekurangan. Berusaha baiki kelemahan diri dan bantu pasangan kita untuk berbuat yang sama. Sentiasa TEGUH hadapi dugaan dengan pasangan kita, pertahankan hak kita, jangan mudah mengalah dan menyerah kalah walau apa sekalipun badai yang melanda. Sentiasa berbincang dari hati ke hati dengan pasangan kita, cari jalan yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan mahligai yang baru dibina demi mencapai matlamat keluarga bahagia. Semoga kita dipermudahkan melayarkan bahtera rumah tangga ini hingga ke syurga-Nya, insya-Allah.


...inilah lagu Love - Nat King Cole yang dinyanyikan oleh Fayqa...

 
 
kalau ingin tahu lebih lanjut tentang karya penulis boleh klik link ini ye... hanina abdullah