5 Tahun 5 Bulan





Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 509
Tarikh Terbitan : 2007
ISBN : 978-983-43217-2-7
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Alhamdulillah, akhirnya aku dapat juga 'khatam' karya terakhir penulis hebat yang telah pun melekat di hatiku ini seperti kena gam gajah sebagai penutup tirai tahun ini.

I'm speechless you know....aku rasa karya ini agak berlainan sekali dengan karya yang telah aku baca terdahulu. Kerana pendapat peribadi, aku mengakui karya kali ini lebih melelahkan aku untuk habis baca buku ini. Nak tahu kenapa ? Sebabnya dua watak utama Ana dan Along dalam karya ini masing-masing keras hati dan lambat sangat nak meluahkan perasaan hati dan terlalu banyak memikirkan kebarangkalian 'kalau' yang akan berlaku. Dan memang buat aku rasa sakit hati je TETAPI akhir ceritanya pada aku memang MANIS dan berbaloi sabar baca hingga akhir muka surat. Memang buat aku sengih sorang-sorang je dan tersenyum bahagia bila akhirnya Afiq melafaz kata "Along sayang Ana".



Apa yang pasti aku memang sudah terpaut dan serasi dengan gaya penulisan Hlovate yang unik ini. Setiap karyanya mempunyai suatu kelainan dan kebanyakan watak-watak di dalam karyanya seperti mempunyai kaitan dan sambungan cerita di antara satu sama lain. Karya kali ini penulis mengungkap roman-komedi ini dalam bahasa basah dan jenaka yang selamba. Pelajar luar negara ini mengadun 5 Tahun 5 Bulan secukup rasa; enak di mulut; berkhasiat di minda; penawar di hati...mengisi nurani.


Cerita tentang Ana (Johanna) yang bekerja sementara sebagai orang gaji di rumah En Lafty dan menguruskan tiga orang anak remaja majikannya iaitu Angah, Nina dan Nana. Ana kemudiannya telah bertemu dengan anak sulung majikannya, Along (Afiq Hafizi) seorang Engineer yang sentiasa mencari kesalahannya setiap kali bertentang mata. Tetapi Ana lebih banyak beralah dan menurut sahaja setiap arahan dan kritikan dari Along yang diibaratkan seperti 'Along Serbia' yang sarkastik. Setelah bekerja selama tiga bulan, Ana telah berhenti kerja dan menyambung pelajaran ke Aberdeen dalam bidang perubatan. Di sana Ana telah bertemu Bat aka Hang Jebat dan menjadi sahabat baik. Semasa di sana, Along sering menghubungi Ana dan mereka mula mesra dan menjadi teman bercerita merentas benua. Siapakah yang bertakhta di hati Ana dan bagaimanakah kesudahan cerita ini ?  Kalau nak tahu lebih lanjut cuba dapatkan buku ini ye.


 


Ini bukan asam pedas ni. Dah macam masam-kelat pedas aje.
Masin sangat la ni... lain kali nak letak garam banyak mana timbanglah dulu.
Nak bagi kita orang kena diabetes ke Cik Ana oi...?
Bancuh Along kopi O. Kurang gula. Tapi campir sikit honey.

Namun inilah permulaannya dia belajar menjadi Ana...dan
dari sini jugalah Ana semakin dewasa dalam setiap episod kehidupannya...

Kata Ana:
Saya bukan orang yang dicari,Along. Ana yang Along kenal bukan Jo yang sepatutnya Along kenal.

Kata hati Along:
Tanpa diduga dia mengenali seorang Jo didalam Ana.

Siapa Ana? Dan siapa pula JO dalam hidup Along?

Seperti mana dia cekap sebagai orang gaji begitulah dia 'cekap' mengendalikan dirinya sebagai pelajar di Universiti of Aberdeen. Namun apabila bab 'hati' ada yang tidak kena dengannya sejak dulu. Hatinya pernah berperi:boys're stupid,some men too.



Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

... I've Him, yes.  No matter what. Come hell or high water.   Allah is enough for me ...

... All the verses in the Quran are like personal love letters from God to us. 
If you want to find solace and balm for the sore, the words will heal it straight away ...

... Dengan masa, apa sahaja mampu terjadi dengan izin-Nya ...




Rooftop Rant




Penulis  :  Hlovate
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Jemari Seni Publishing
Bilangan Mukasurat : 538
Tarikh Terbitan : 2009
ISBN : 978-967-5118-07-4
Rating : ★★★★★






Ulasan :

Nampak gayanya aku wajib "membedah siasat" satu lagi karya berat penulis hebat ini sebelum menutup tirai tahun 2013. Itu adalah janjiku and I'll be the greatest fan of your books Hlovate...

I really love this book...Rooftop Rant aku kira satu kelainan, agak berat, paling menyentuh rasa dan menyiksa jiwa aku dengan caranya yang tersendiri berbanding karya-karyanya yang lain yang pernah aku baca setakat ini walaupun nada bahasa yang digunakan hampir sama je. Tapi kali ini, mesej yang ingin diterjemahkan lebih sinis tentang pergolakan jiwa remaja yang ketandusan kasih sayang dan perhatian dalam keluarga. Bagaimana tekanan yang dihadapi dan bagaimanakah cara anak remaja ini menangani tekanan tersebut dalam kehidupan seharian.

Menceritakan tentang Khairul Batrisya Mazni (Trisy) pelajar Sekolah Menengah tingkatan 4 yang jiwanya kosong, sering keseorangan, bosan dan sedih tanpa perhatian keluarga dan sering ponteng kelas tuisyen bertemu dengan Mohd Zaid Mohd Tajuddin (Jade) pelajar Diploma Mass Comm yang lebih suka mendiamkan diri, merasa bosan dan tertekan dengan harapan maknya dan bercita-cita menjadi pelukis komik. Mereka bertemu secara kebetulan sama-sama lepak mencari ketenangan di bumbung Menara Topaz dan mula serasi kerana berkongsi meluah cerita dan rasa kemudian mula mengenali hati budi masing-masing dan saling menyokong antara satu sama lain.  Namun, tekanan yang sering dihadapi oleh Trisy dari ibu ayahnya yang sering bertengkar dan sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing membuatkan Trisy semakin kecewa dan putus asa sehingga makan ubat 'depressed' berlebihan sebagai cubaan bunuh diri dan telah diselamatkan oleh Jade. Akibatnya Trisy telah dihantar ke kampungnya di Johor Bahru untuk tinggal bersama datuk dan neneknya dan meneruskan persekolahan di sana. 

Walaupun Trisy dan Jade terpisah dan tidak pernah bertemu lagi namun Trisy sering memaklumkan perkembangannya kepada Jade melalui surat dan juga membeli majalah Hah Ha untuk mengetahui perkembangan karier Jade sebagai kartunis. Ternyata kehidupannya di kampung telah berjaya mengubah dirinya ke arah yang lebih baik, mula belajar mengenal tuhan dan agama dan telah berjaya melanjutkan pelajaran ke University of Aberdeen. Pada cuti semester tahun pertama, Trisy pulang bercuti ke tanahair selepas 5 tahun tidak bertemu Jade. Setelah dipujuk Pak Su untuk balik ke rumahnya di KL untuk bertemu ibu dan ayah, Trisy menyangka kepulangannya akan disambut oleh ibu dan ayahnya, tetapi hampa lalu dia merajuk hati dan melarikan diri. Jade pula telah berjaya membina kerjaya sebagai kartunis setelah menimba pengalaman beberapa tahun sebagai kartunis di Bandung. Jade yang secara kebetulan datang ke rumah Trisy untuk bertanya kabar pada Buk Jah pada hari itu telah diberitahu oleh Pak Su tentang kehilangan Trisy dan betul-betul merisaukan Jade.  Setelah dipujuk oleh Pak Su dan Jade melalui telefon, Trisy akhirnya pulang semula ke rumah ibu ayahnya walaupun berasa amat malu dengan tindakannya kerana telah melanggar janjinya pada Jade dahulu.  Pak Su yakin hanya Jade yang mengambil berat dan mampu untuk menjaga Trisy dan menanyakan kesanggupannya untuk menjaga Trisy.  Selepas kejadian itu, Jade akhirnya mengambil keputusan untuk melamar Trisy kerana mula menyedari bahawa mereka sebenarnya saling mengambil berat dan menyayangi antara satu sama lain selama ini cuma kewujudan perasaan itu tidak disedari oleh mereka. Mereka akhirnya diijabkabulkan semasa cuti semester tahun kedua Trisy. Harapan mereka besar dalam mencari 'Eternal Happiness' agar dapat melayari bahtera rumah tangga yang baru dibina itu bahagia hingga ke syurgaNya dan menjadi ibubapa yang terbaik dalam mendidik anak-anak mereka nanti insya-Allah.

Di sebalik kisah yang sungguh meruntun jiwa ini, Alhamdulillah aku dapat menghayati mutiara indah dan maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa anak adalah anugerah dari Allah yang tidak ternilai dan tiada galang ganti. Oleh itu, ibu bapa bertanggung jawab dalam mendidik anak-anak. Sabda Rasulullah SAW anak-anak itu diibarat seperti kain yang putih, bergantung kepada ibu dan bapa untuk mencorakkan dia menjadi Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam. Sayangi mereka, bimbing mereka, beri galakan dan sokongan pada mereka dan jangan biarkan mereka terkapai-kapai sendirian dalam mencari hala tuju di dunia yang sementara ini. Jangan membanding antara anak-anak kerana setiap anak-anak itu ada kelebihan dan keistimewaan mereka yang tersendiri. Jangan biarkan mereka menjadi anak yatim sewaktu masih ada ibu dan bapa. Jadilah ibu bapa 'qudwah hasanah' yang memberi contoh teladan terbaik untuk anak-anak.  Kegembiraan, kasih sayang, lena tidur malam dan talent tidak boleh dibeli dengan duit. Pendek kata, bukan semua benda boleh dibeli dengan duit. Duit hanya sebagai alat untuk mengejar impian sahaja. Allah takkan bebankan hamba-Nya dengan apa yang dia tidak mampu. Jangan pernah putus asa dan harus berusaha untuk memperbaiki diri dan mengecap kebahagiaan. Sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Mohonlah pada Allah untuk dilapangkan dan dipermudahkan segala urusan. Setiap takdir yang Allah dah tentukan adalah yang terbaik untuk setiap insan. Segala benda yang jadi itu tarbiah dan didikan daripada Allah itu untuk kita jadi lebih baik. Untuk dijadikan pengajaran dan sempadan. Yakinlah pada Dia. Eternal Happiness.

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui " ~ (Surah Al-Baqarah : 216)

Diriwayatkan daripada Anas...
" ...none of you should long for death because of a calamity that had befalled him... and if he cannot, but long for death, then pray 'Ya Allah, let me live as long as life is better for me, and take my life if death is better for me' ..." ~ (Sahih Bukhari : 8/6351 - O.P.362)

Hayati mutiara indah yang tertulis di dalam karya hebat ini :-

 ...There're times when strangers are like family, and family are like strangers...

...Live well or live hell, you choose, your choice... 
 
...And its you who decide whether the glass is half-full or half-empty..

...Dare yourself to dream and dare yourself to fulfill it ...



Dia... Isteri Luar Biasa





Penulis  :  Umie Nadzimah
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Penulisan2u
Bilangan Mukasurat : 616
Tarikh Terbitan : October 2013
ISBN : 978-967-0567-15-0
Rating : ★★★★





Ulasan :

Buku ini adalah karya pertama penulis ini yang baru aku baca walaupun sebenarnya penulis ini telah pun menghasilkan beberapa buah karya terdahulu. Namun, karya genre romantik komedi penulis ini serasa serasi dengan jiwaku, aku seperti terpanggil untuk terus ' membedah siasat ' karya penulis hebat ini pula. Di sebalik tajuk yang penuh simbolik ini terselit suatu kisah yang sungguh mencuit hati dan penuh dengan mesej tersirat membuatkan aku asyik ketawa dan tersengih-sengih aje dengan watak Raden Amzar seorang "Dr tumbuhan" yang secara tiba-tiba muncul dengan penuh keajaiban dan berjaya merubah segala dalam hidup Dewi Yusra yang begitu bencikan lelaki menjadi seorang isteri yang boleh aku katakan boleh dibanggakan.

Pendapat peribadi aku setelah membaca karya penulis ini buat pertama kalinya, aku seperti sudah jatuh cinta pandang pertama orang kata...Aku tidak pasti bagaimana dengan karya-karya penulis ini sebelumnya tetapi sejujurnya aku memang 'suka giler' dengan jalan cerita karya ini. Tema ceritanya tentang cinta selepas nikah  hampir sama dengan kebanyakan novel terbaru di pasaran sekarang ni TETAPI  plot ceritanya agak sedikit unik dan berbeza dan penulis berjaya meletakkan unsur suspen yang menyebabkan aku tertanya-tanya dan nak habiskan baca cepat-cepat nak tahu siapakah sebenarnya yang telah memerangkap Dewi dan Raden semasa insiden di tangkap khalwat di rumah Raden pada malam itu. Gaya penulisannya memang santai dan bersahaja tiada konflik yang beratkan kepala dan begitu menghiburkan dari awal hingga akhir cerita. Pendek kata memang buatkan aku tersengih sorang-sorang jer baca buku ni tau dan boleh hilangkan stress aku...


Di sebalik kisah yang mencuit hati ini, terselit mesej dan mutiara indah yang cuba disampaikan oleh penulis bahawa jangan sesekali kita mempertikaikan jodoh dari Allah SWT kerana itulah jodoh dan takdir Allah namanya dan ia adalah suatu amanah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Jangan kita menilai seseorang itu hanya dari luaran sahaja. Jangan pernah membina bahagia atas kelukaan insan lain. Rasa cinta sahaja tidak mencukupi jika tidak dilengkapi dengan tanggungjawab. Aku begitu tersentuh dengan kata-kata Raden dalam karya ini...

 



" Dalam rumah tangga ni, jika berlaku sesuatu yang kurang elok, tak semestinya berpunca dari lelaki saja, perempuan pun ada buat hal ...sebab itu bila kita tengah bahagia, gembira dan aman ni, jangan sesekali lupa, ujian Allah bila-bila masa boleh datang. Kena banyak-banyak doa dan berusaha untuk kekalkan dan perbaiki hubungan. Tak boleh lalai sikit pun. Dua-dua kita kena kerja keras dan saling mengingatkan..."







SINGLE is simple, double is trouble...

Itu moto hidup Dewi Yusra. Katanya, dia boleh hidup tanpa lelaki, lagi mudah dan tidak serabut otak. Lelaki menyusahkan, suka ambil kesempatan!

Perempuan tak kahwin pun boleh ada anaklah! Bukan spesies angkat-angkat ya, yang asli datang dari rahim Dewi Yusra. Kau gila ke Dewi, ingat nak buat anak tu semudah buat nasi ayam ke? Hesy... Mesti ada jalanlah…

Dewi serius! Walau dengan apa cara pun, Dewi tetap ingin punya anak dari darah dagingnya. Anak yang akan mewarisi syarikat perniagaan Cik NAB a.k.a Nasi Ayam Bonda.

“Aku akan kahwin! Syaratnya aku nak kahwin sampai mengandung aje ya, lepas tu aku chaw. No husband anymore. Sebelum aku sakit hati ditinggalkan, lebih baik aku blah dahulu” - DEWI YUSRA

Maka bermulalah usaha Dewi untuk mendapatkan ‘Suami Sementara­’ dari lelaki baik-baik, gen terhebat, genius dan stok sembahyang atas kapal terbang.

“Saya Amzar... errr... Radin Amzar yang duduk sebelah you dalam flight dari Heathrow hari tu...” - RADEN AMZAR

Bagai nak tercabut jantung Dewi dengar. Lelaki edisi terhad tu hubungi dia? Macam tak percaya pun ada. Ingatkan lelaki itu akan terus hilang. Tuhan berikan Dewi peluang ke ni?

Berjayakah rancangan Dewi Yusra untuk memerangkap Dr. Radin Amzar, lelaki terpilih sebagai ‘Suami Sementara’nya untuk seorang zuriat? Bagaimana pula rancangan Kamarul yang terlalu menyintainya?

Temui jawapannya dalam DIA... Isteri Luar Biasa, kisah seorang gadis yang terpaksa bangkit dari peristiwa kelam hidupnya.






Bukan Kerana Aku Tak Cinta




Penulis  :  E-Man Sufi
Negara  :  Malaysia
Bahasa  :  Melayu
Genre    :  Malay Fiction
Penerbit :  Karya Seni
Bilangan Mukasurat : 627
Tarikh Terbitan : April 2013
ISBN : 978-967-0246-45-1
Rating : ★★★★






Ulasan :


' Suami Yang Ku Benci ' adalah karya pertama penulis ini yang telah ku baca dan telah buat aku jatuh hati terus dengan karya penulis ini. Karya genre romantik komedi penulis ini serasa serasi dengan jiwaku , justeru entah kenapa jiwaku ini terus mengelocak seperti terpanggil untuk terus ' membedah siasat ' karya ketiga penulis hebat ini pula.

Seperti karya pertamanya, karya ketiga ini juga masih mengekalkan genre romantik komedi dan memang tidak mengecewakan. Tetapi, secara peribadinya aku merasakan karya pertama penulis ini lebih 'menyengat' dan terasa sengatannya berbanding dengan karya ketiga ini. Tema dan plot ceritanya masih berkaitan cinta antara dua darjat cinta suci yang hadir selepas nikah. Gaya penulisan bahasanya masih bersahaja dan menghiburkan hati. Watak-watak utama dalam karya ini agak kurang berjaya menghasilkan sentuhan humor yang boleh 'menggeletek hati' dan 'sakit perut' aku tahap melampau berbanding dengan karya yang pertamanya dahulu walaupun karya ketiga ini adalah kesinambungan cerita dan watak dari karya yang pertama.  Walau bagaimanapun, aku memang jatuh hati dengan watak 'Abang Jebat' yang mempunyai auranya yang tersendiri dan tahniah kepada penulis kerana berjaya menghidupkan watak-watak penting dalam cerita ini secara keseluruhannya dan memeriahkan suasana cerita ini melalui aksi lucu, nakal, dialog 'sempoi' dan dialog/monolog bersahaja. Terima kasih kerana berkongsi dan berjaya menghasilkan karya yang bukan sahaja mencuit hati malah menyedarkan dan mengajak pembaca untuk sama-sama menginsafi diri, menerima dan yakin jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk kita adalah yang terbaik dan terindah. Setiap manusia itu tidak pernah lari dari dosa dan kisah silam. Oleh itu, berkasihlah dengan pasangan kerana Allah, menerima kekurangan dan kekhilafan pasangan sebagai satu kesempurnaan dalam melayari alam rumahtangga dan saling memaafkan adalah kebahagiaan yang terindah pada setiap pasangan dan yakinlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Ahmad Ziyad atau nama panggilannya Jebat seorang lelaki yang katarsis, berdarah campuran Melayu dan Cina dari jalan hitam kehidupan kepada pencerahan. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk jatuh cinta kerana tujuan hijrahnya hanya untuk menuntut ilmu agama dan melupakan kisah silamnya.  Sifatnya yang tenang, rajin dan baik hati telah menarik perhatian Hannah Mastura, adik kepada Hannah Maryam dan juga adik ipar kepada majikannya Uwais. Pelbagai cara digunakan oleh Mastura untuk menarik perhatiannya hingga Jebat naik rimas dan lemas. Walau berkali-kali ditolak, Mastura tidak juga berputus asa. Dia tidak pernah menyangka gadis cantik, kaya dan bijak seperti Mastura terpaut hati kepadanya, seorang lelaki biasa yang tidak begitu tampan kerana mempunyai parut di bahagian matanya. Mereka umpama The Beauty and The Beast.  



 


Namun mampukah rumah tangga yang dibina atas nama cinta pandang pertama ini bertahan? 
Masih adakah cinta dan kesetiaan dalam hati Mastura apabila mengetahui rahsia sebenar yang Jebat ialah bekas ketua kumpulan gengster yang mempunyai tatu naga di badan !  Sementelah pula lelaki dengan sejarah hitam sebegitu bukanlah suami impiannya.



" Maka barangsiapa bertaubat (dalam kalangan pencuri-pencuri itu) setelah melakukan kejahatan dan memperbaiki dirinya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang ." ~ (Surah Al-Maidah : 39)



lagu Salahkah - Hafiz ft Rossa